|
YB. TUAN LOH SENG KOK (KELANA JAYA) minta
PERDANA MENTERI menyatakan bilangan tindakan yang telah diambil
terhadap kakitangan awam mengikut agensi atau jabatan, dari segi
tindakan perundangan yang melibatkan kes kecurian, displin, rasuah dan
salahguna kuasa.
JAWAPAN:
Tuan Yang di Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan maklumat kepada Laporan
tatatertib Pegawai Awam Tahun 2005 yang telah dibentangkan kepada
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai keutuhan pengurusan
Kerajaan (JKKMKPK) mengenai tindakan tatatertib bagi pegawai dalam
Perkhidmatan Awam Persekutuan, Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa
Berkanun Persekutuan dan Pihak Berkuasa tempatan, sebanyak 1,594 orang
pegawai awam telah dikenakan tindakan tatakelakuan dan disiplin
termasuklah mereka yang disabitkan dengan kesalahan jenayah oleh
mahkamah seperti mencuri, rasuah dan salah guna kuasa.
Sebanyak 1,998 bilangan hukuman tatatertib telah dikenakan ke atas
pegawai awam yang melakukan pelbagai kesalahan. Jumlah bilangan hukuman
lebih banyak berbanding dengan jumlah bilangan pegawai kerana seorang
pegawai yang melakukan kesalahan boleh disabitkan dengan lebih dari satu
jenis pelanggaran tatakelakuan dan lebih dari satu jenis hukuman
tatatertib boleh dikenakan.
|