|
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]
minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan bilangan
kes pencemaran yang diambil tindakan oleh JAS mengikut negeri, jenis
pencemaran dan sumber maklumat. Bagaimanakah rangkaian usaha sama antara
JAS dengan agensi kerajaan atau penguatkuasa lain agar orang awam boleh
membuat laporan pencemaran melalui PBT dan polis yang kewujudannya lebih
menyeluruh.
JAWAPAN:
Tuan Yang Dipertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sepanjang tahun 2006, bilangan kes
pencemaran dibawah bidangkuasa Kementerian yang telah diambil tindakan
adalah sebanyak 3199 kes manakala 1575 kes lagi adalah diluar
bidangkuasa Kementerian.
Setakat ini, tiada rangkaian usaha sama yang khusus diwujudkan antara
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan agensi kerajaan atau penguatkuasa
lain. Namun demikian JAS bersedia dan telah menerima aduan pencemaran
yang disalurkan melalui agensi kerajaan yang lain.
Dalam aspek tertentu, telah wujud kerjasama usahasama antara JAS dengan
agensi-agensi kerajaan atau penguatkuasa lain, seperti yang termaktub
dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS), 1974. Sebagai contoh, agensi
yang telah diperwakilkan kuasa untuk menyiasat pembakaran terbuka (Seksyen
29A, AKAS, 1974) termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,
Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kesihatan Malaysia, Pihak Berkuasa
Tempatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Labuan.
Selain itu, Agensi-agensi maritim lain seperti Jabatan Kastam & Eksais
DiRaja Malaysia, Tentera Laut DiRaja Malaysia, Jabatan Laut Semenanjung
Malaysia, Jabatan Laut Sabah, Jabatan Laut Sarawak, Polis DiRaja
Malaysia dan Jabatan Perikanan juga telah diperwakilkan kuasa untuk
melaksanakan peruntukan perundangan pencemaran marin iaitu Seksyen 27
dan Seksyen 49, AKAS, 1974.
Sekian, terima kasih
|