|
(Extracted from hansard dated
18-04-2007)
10.05 am
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]
minta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyatakan tatacara dan bilangan
terkini pemberian taraf penduduk tetap kepada warga asing mengikut agama
dan negara. Bagaimana siasatan latar belakang terhadap pemohon dibuat
dan keperluan mengemukakan pengesahan setaraf dengan Sijil Kelakuan Baik
daripada negara asal pemohon.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri [Datuk Tan Chai Ho]:
Tuan Yang di- Pertua, tatacara yang diguna pakai bagi pemberian taraf
pemastautin tetap kepada orang asing yang mempunyai permit masuk yang
sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dan memiliki pasport
antarabangsa negara asal.
Taraf ini juga diberikan kepada mereka yang lahir di Malaysia sebelum
merdeka yang mana kedua-dua ibu bapanya bukan warganegara dan menetap di
Malaysia. Mereka yang menggunakan sijil anak angkat di mana maklumat
mengenai taraf ibu bapa kandung disahkan tidak diperoleh juga boleh
diberikan taraf pemastautin tetap.
Sungguhpun begitu, taraf pemastautin tetap bukan hak kepada individu
tetapi satu anugerah oleh Kerajaan
Malaysia
kepada orang asing. Kerajaan mempunyai garis panduan mengenai golongan
yang biasanya dipertimbangkan taraf tersebut adalah seperti berikut:
(i)
seseorang yang mempunyai kelulusan profesional atau kepakaran yang
membolehkannya memberikan perkhidmatan profesional dan kepakarannya
kepada negara ini tanpa menjejaskan kepentingan warganegara negara yang
sedia ada;
(ii)
seseorang yang kemasukannya memberi faedah ekonomi kepada negara ini;
(iii)
isteri atau suami yang sah kepada warganegara yang telah tinggal bersama
pasangannya di negara ini secara berterusan selama
lima tahun atau lebih;
(iv)
anak-anak kepada warganegara
Malaysia berumur di bawah enam tahun; dan
(v)
seseorang yang dibenarkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri masuk ke
Malaysia
atas dasar belas kasihan.
Sehingga kini seramai 377,842 orang asing telah diberikan taraf
pemastautin tetap. Mereka terdiri daripada pelbagai negara seperti
Indonesia, China, India, British, Thailand, Filipina, Singapura, Jepun
dan lain-lain. Proses permohonan bagi mendapatkan taraf pemastautin
tetap mengambil masa kerana setiap permohonan perlu diteliti, dikaji dan
diperhalusi supaya setiap permohonan diproses secara adil dan saksama.
Pemohon akan ditemu duga oleh pegawai imigresen bagi mendapatkan
maklumat dan menyoal siasat. Selain daripada itu tapisan keselamatan
daripada pihak polis juga merupakan salah satu prosedur yang perlu
diikuti oleh pemohon. Ia akan dijadikan asas dan alasan dalam pemberian
taraf tersebut. Sekian, terima kasih.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya berkenaan dengan pemberian
taraf penduduk tetap dan juga Sijil Kelakuan Baik. Semenjak tahun 1992,
jumlah pendatang asing tanpa izin yang terlibat dalam kegiatan jenayah
telah meningkat hampir tiga kali ganda dari 1,313 kes dalam tahun 1992
kepada 3,500 kes pada tahun 2004.
Dari tahun 2003 hingga 2005, lebih daripada 62% pendatang asing tanpa
izin yang terlibat dalam kes jenayah adalah pendatang asing tanpa izin
Indonesia. Sehingga Mac 2006, seramai 149,269 warga asing dari 10 buah
negara iaitu Indonesia, Kemboja, India, Singapura, Filipina, China,
Thailand, Brunei, Taiwan dan Britain telah diberi taraf sebagai penduduk
tetap. Dalam angka itu, lebih kurang 95% warga asing dari 10 negara itu
yang menjadi penduduk tetap adalah warga Indonesia.
Soalan saya ialah selain berdasarkan kepada latar belakang profesionnya,
kelulusan akademik, pelaburannya, kepakarannya, banyak negara juga
menerima seseorang itu menjadi warga penduduk tetap berdasarkan kepada
pengesahan kelakuan baik daripada negara asalnya. Mengapakah ini tidak
dilakukan di dalam negara kita? Berapa ramaikah penduduk tetap yang
didapati bersalah di sisi undang-undang telah dilucutkan taraf penduduk
tetap dan apakah mekanisme yang boleh digunakan oleh pihak kementerian
untuk merujuk kepada institusi kehakiman ataupun agensi-agensi kerajaan
yang lain tentang penduduk-penduduk tetap yang bersalah supaya tarafnya
dilucutkan dan dirujuk kepada pihak imigresen untuk tindakan selanjutnya.
Minta penjelasan.
Datuk Tan
Chai Ho:
Terima kasih Tuan
Yang di-Pertua. Sebelum warga asing diberikan taraf pemastautin sebagai
penduduk tetap, latar belakang warga asing disiasat oleh pihak polis.
Apabila kita dapat
green light
dengan izin
iaitu di mana warga asing yang tidak terlibat dalam jenayah. Jadi
kementerian ini barulah boleh timbangkan sama ada memberikan taraf
pemastautin tetap kepada warga asing itu. Jadi, jika pihak polis tidak
ada memberitahu kementerian ini yang katakan warga asing itu tidak
mempunyai apa-apa rekod jenayah. Jadi kita baru boleh setuju supaya PR
boleh dibagi kepada warga asing itu. Jadi selepas itu, kalau warga asing
yang mempunyai PR dan melakukan jenayah, jadi ini akan disiasat oleh
pihak polis dan mereka akan menghadapi tindakan perundangan oleh pihak
polis dan Menteri kementerian ini ada kuasa untuk menarik balik taraf PR
itu. Setakat ini yang saya dapat tahu sudah 17 orang warga asing yang
mempunyai taraf PR yang telah ditarik balik oleh kementerian ini.
|