Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Terima kasih Tuan
Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Timbalan Menteri. Tuan Yang di-Pertua,
sebenarnya soalan asal saya yang saya kemukakan itu adalah dituju kepada
Perdana Menteri, tetapi saya tidak tahu bagaimana ia telah pergi kepada
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri kerana soalan saya adalah berkaitan
dengan aplikasi undang-undang.
Walau bagaimanapun, Tuan Yang di-Pertua, di dalam negara
kita pernah ada satu kes di mana terdapat satu pasangan pelancong dari
luar negeri yang disyaki beragama Islam, disyaki belum berkahwin dan
kerana duduk sebilik di dalam sebuah hotel walaupun mereka telah
berkahwin, telah diambil tindakan oleh pihak pejabat agama Islam.
Tuan Yang di-Pertua, dalam negara kita, kita dapat
melihat ramai pendatang asing yang telah masuk ke negara kita sama ada
sebagai pelancong atau pekerja ataupun pendatang asing dan kebanyakan
pendatang asing yang datang dari negara Bangladesh, Pakistan dan
Indonesia, khususnya, adalah beragama Islam.
Maka saya hendak tanya bagaimanakah pihak kerajaan dapat
memantau dan menjaga atau memantau kelakuan mereka kerana ramai pekerja
asing dan pendatang asing itu tidak berkahwin dan mereka duduk di
Malaysia. Pihak kementerian walaupun tidak ada data, tetapi pejabat
imigresen boleh menyemak dari segi visa dan jenis agama mereka. Minta
penjelasan daripada pihak kementerian. Terima kasih.
Datuk Tan Chai Ho: Tuan Yang di-Pertua, semua
pelawat asing datang ke Malaysia wajib menghormati undang-undang di
negara ini. Jadi sesiapa yang melanggar undang-undang negara ini mereka
boleh diambil tindakan undang-undang. Jadi apa yang disebutkan oleh Yang
Berhormat tadi mengenai kes itu, pihak JAKIM ada kuasa untuk mengambil
undang-undang syariah atau ambil tindakan ke atas mereka jika mereka
disabit kesalahan.