|
Tuan Loh
Seng Kok [ Kelana Jaya ]
minta MENTERI HAL EHWAL DALAM
NEGERI menyatakan hasil dan tahap keberkesanan sistem kawalan
imigresen setelah melaksanakan Sistem Biometrik PATI dan Sistem
Pemantauan Pendatang Asing (Foreign Workers Recruitment and Management
System). Berapakah kos pelaksanaan dan penyelenggaraan kedua-dua sistem
itu.
JAWAPAN :
Tuan Yang DiPertua,
Selaras dengan dasar Kerajaan
Elektronik (E-Government), Jabatan Imigresen Malaysia telah
memperkenalkan dua sistem iaitu Sistem Aplikasi Biometrik PATI bermula 1
Disember 2004 dan Sistem Pemantauan Pekerja Asing (Foreign Workers
Monitoring System) pada 15 Februari 2006.
Sistem
Biometrik PATI telah menelan belanja sebanyak RM34,793,001.00 dan telah
beroperasi sepenuhnya di semua DEPOT Imigresen di seluruh negara.
Pendatang haram yang ditahan akan diambil biometrik mereka dan
direkodkan. Manakala Sistem Pemantauan Pekerja Asing (FORMS) pula
bernilai sebanyak RM2,500,000.00 dan digunakan untuk merekodkan data
biometrik pekerja asing. Data tersebut dimasukkan apabila mereka masuk
ke negara di pintu utama Imigresen.
Kedua-dua sistem ini direka dan
diperkemaskan berdasarkan keperluan Jabatan Imigresen Malaysia
terutamanya dari aspek kawalan dan penguatkuasaan. Sebelum sistem
biometrik ini diperkenalkan, kemasukan adalah berdasarkan data sedia ada
dalam pasport yang boleh di manipulasi dan dipalsukan. Dengan adanya
sistem ini, individu yang menggunakan pasport palsu atau milik orang
lain tidak akan dapat membolosi sistem keselamatan sedia ada kerana
butiran biometrik mereka telah direkodkan.
Sistem
FORMS pula membolehkan Jabatan Imigresen mengesan pekerja asing
berdasarkan alamat majikan dan memastikan mereka tidak dimanipulasikan
untuk bekerja secara haram dengan majikan lain. Ini membantu dari segi
pembekalan data yang diperlukan dengan cepat dan memastikan
penguatkuasaan yang berkesan berbanding cara manual sebelum ini. Bagi
pekerja-pekerja asing yang terlibat dalam kes-kes jenayah yang lain,
Sistem FORMS akan memastikan mereka tidak dibenarkan masuk ke negara ini.
|