|
Tuan Loh Seng Kok (Kelana
Jaya)
minta
MENTERI KESIHATAN menyatakan apakah kesan kesihatan akibat
penghisapan 'shisha' dengan penggunaan 'hookah' dan pemipit bersama.
Sejauh mana tindakan diambil untuk mengawal budaya penghisap 'shisha'.
Jawapan:
Tuan Yang di-Pertua,
'Hookah' adalah satu peralatan yang berasal dari India tetapi telah
mendapat sambutan yang hangat di negara-negara Arab, la mempunyai balang
dasar yang biasanya diperbuat dari kaca dengan beberapa corong paip yang
digunakan untuk menghisap asap dari tembakau yang dibakar bersama-sama
bahan lain seperti buah-buahan atau herba di mana asap ini perlu
terlebih dahulu melalui air yang terkandung dalam balang tersebut.
Terpulang kepada lokasi penggunaannya, 'hookah' turut dikenali dengan
nama-nama lain seperti shisha, water pipe, ghalyan dan okka.
Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) dalam kenyataanya baru-baru ini telah menegaskan bahawa
'hookah' adalah tidak selamat untuk digunakan. Menghisap 'hookah' akan
membawa risiko kesihatan yang sama seperti merokok atau penggunaan
produk tembakau yang lain. Dengan demikian, 'hookah' bukanlah alternatif
atau gantian kepada perbuatan menghisap rokok. Bertentangan dengan
kepercayaan sebelum ini, asap tembakau yang keluar dari balang air
'hookah' sebenarnya mengandungi toksin-toksin yang diketahui menyebabkan
penyakit paru-paru, penyakit jantung dan berbagai lagi penyakit
merbahaya yang lain.
Kajian mendapati bahawa para pengguna 'hookah' pada setiap satu masa
biasanya akan menghisap asap tembakau dari alat ini dalam tempoh yang
jauh lebih lama berbanding jika mereka menghisap sebatang rokok.
Penghisap rokok akan menyedut sebanyak 8 hingga 12 kali sedutan yang
kebiasaannya mengambil masa selama 5 hingga 7 minit dan menyedut 0.5
hingga 0.6 liter asap. Penghisap 'hookah' pula menyedut sebanyak 50
hingga 200 kali sedutan yang mengambil masa selama 20 hingga 80 minit
yang dianggarkan sebanyak 0.15 hingga 1 liter asap akan disedut. Menurut
WHO, penyelidikan awal ini menunjukkan perbuatan menghisap
'hookah' selain mendatangkan risiko yang sama seperti merokok, ia boleh
juga mengakibatkan lain-lain risiko kesihatan yang khusus (some
unique health risks).
Perbuatan berkongsi
paip penyedut juga boleh membawa risiko jangkitan penyakit berjangkit
termasuk tuberculosis dan hepatitis. Biasanya bahan panas yang
digunakan untuk membakar tembakau adalah terdiri dari bara kayu atau
arang yang dilihat boleh meningkatkan risiko kesihatan kerana bila
sesuatu proses pembakaran berlaku, ia akan menghasilkan bahan toksik
tersendiri termasuk paras karbon monoksida yang tinggi, logam dan kimia
yang boleh menyebabkan kanser.
Di
Malaysia penggunaan 'hookah' kini semakin popular terutamanya di
kalangan golongan belia di kawasan bandar. Setakat ini msih belum ada
kajian mengenai penggunaan ‘hookah’ di Malaysia, namun diketahui secara
am bahawa ‘hookah’ dihidangkan kepada pelanggan di lokasi-lokasi seperti
gerai malam, restoran, hotel dan kelab-kelab tertentu di bandar-bandar
besar.
|