|
YB. Tuan Loh
Seng Kok minta MENTERI TENAGA, AIR DAN KOMUNIKASI menyatakan sama
ada dasar tenaga negara menggunakan bahan-bahan alternatif bagi
pembekalan elektrik dapat diselaraskan bersama galakan kitar semula dan
usaha pemeliharaan alam sekitar dengan menggunakan bahan-bahan buangan
sisa pepejal.
JAWAPAN:
Tuan Yang
di-Pertua,
Untuk makluman
Ahli Yang Berhormat, di bawah Dasar Lima Bahanapi yang diperkenalkan
dalam tahun 2000 (Fifth Fuel Policy) bahan buangan sisa pepejal
merupakan salah satu daripada enam sumber tenaga yang boleh diperbaharu
(Renewable Energy, RE) bagi penjanaan tenaga elektrik selain
sumber RE yang lain seperti biomass, biogas, solar, angin dan mini hidro.
Suka saya maklumkan bahawa pada masa ini Kementerian Tenaga, Air dan
Komunikasi (KTAK) sedang menyediakan Pelan Tindakan Tenaga Yang Boleh
Diperbaharu (Renewable Energy Action Plan) bagi melengkapi Dasar
Lima Bahanapi disamping memantapkan pelaksanaan program Small
Renewable Energy Programme (SREP) iaitu salah satu usaha Kerajaan
untuk menggalak dan meningkatkan penggunaan sumber RE di dalam penjanaan
tenaga elektrik.
Pelan yang
dijangka siap pada akhir tahun 2007 ini akan mengambilkira dan
diselaraskan dengan semua peraturan yang terkandung dalam Akta
Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 di bawah kawalan
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Wakil KPKT turut
dijemput menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pelan Tindakan RE yang
dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KTAK dimana segala pandangan
berhubung aktiviti galakan kitar semula dan usaha pemeliharaan alam
sekitar melalui penggunaan bahan-bahan buangan sisa pepejal akan
diambilkira dalam penyediaan pelan tindakan berkenaan.
|