|
(Extracted from hansard dated
03-09-2007)
Tuan Loh Seng
Kok [Kelana Jaya]
minta Menteri
Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan punca dan tahap pencemaran
buangan industri dalam negara, serta kawal selia ke atas pelepasan air
kumbahan yang tidak dirawat. Sejauh mana pengawasan kualiti air sungai
di seluruh negara oleh pihak JAS.
Setiausaha
Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar [Dato' Sazmi bin Miah]:
Terima
kasih Ahli Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang
Berhormat, pada tahun 2006 Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
melalui Jabatan Alam Sekitar telah mengenal pasti sebanyak 18,956 punca
pencemaran yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan
peraturan-peraturan di bawahnya.
Punca-punca ini
terdiri daripada 9,060 loji rawatan kumbahan, 8,543 industri pembuatan,
869 ladang ternakan babi dan 484 industri berasaskan pertanian. Pada
tahun 2006 pemeriksaan penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Alam
Sekitar mendapati 85% mematuhi peraturan-peraturan kualiti alam
sekeliling tahun 1979, dan di samping itu bagi kilang kelapasawit tahap
pematuhan pelepasan efluen adalah 75% dan bagi kilang getah asli mentah
adalah 81%.
Pelbagai langkah
telah diambil bagi mengawal selia pelepasan air efluen dan kumbahan yang
tidak dirawat. Antaranya termasuklah mempertingkatkan pemeriksaan
penguatkuasaan ke atas premis-premis industri yang tertakluk di bawah
Akta Kualiti Alam Sekeliling.
Selain itu,
pemeriksaan penguatkuasaan susulan juga dijalankan ke atas premis yang
mempunyai rekod pematuhan yang rendah dan surat arahan, notis arahan,
denda dan tindakan mahkamah akan dikenakan ke atas premis yang gagal
mematuhi keperluan perundangan tersebut.
Jabatan Alam
Sekitar juga menjalankan pengawasan kualiti air sungai ke atas 146
lembangan sungai yang melibatkan 1,064 stesen pengawasan di seluruh
negara. Di samping itu pengawasan melalui 15 stesen automatik juga
dijalankan, terima kasih.
Tuan Loh Seng
Kok [Kelana Jaya]:
Terima kasih Tuan
Yang di-Pertua. Terima kasih atas jawapan yang telah diberikan oleh Yang
Berhormat Setiausaha Parlimen tentang kerja-kerja yang telah dilakukan
oleh pihak kementerian untuk mengawal selia kualiti air sungai di
seluruh negara. Sebelum saya bertanyakan soalan, mungkin saya hendak
minta pihak kementerian berikan kepada kita semua setiap negeri, satu
sungai yang paling tercemar di setiap negeri.
Tuan Yang
di-Pertua, kita lihat banyak lagi kes-kes punca pencemaran seperti mana
yang telah diberitahu oleh Yang Berhormat Setiausaha Parlimen. Kita
hendak tanya sama ada Jabatan Alam Sekitar benar-benar ada taring untuk
mengambil tindakan terhadap mereka yang telah mencemarkan air sungai,
itu soalan yang sangat serius. Walau bagaimanapun saya minta penjelasan
daripada Yang Berhormat Setiausaha Parlimen agar memberitahu Dewan ini,
berapakah sungai yang telah menjadi sungai mati dan sungai mati menjadi
sungai hidup. Minta penjelasan, terima kasih.
Dato' Sazmi
bin Miah:
Terima kasih Ahli
Yang Berhormat. Cerita pasal taring-taring ini tidak bolehlah cerita
taring-taring. Sebenarnya alam sekitar ini adalah tanggungjawab kita
bersama, ia bukannya pasal kementerian ada taring, Jabatan Alam Sekitar
ada taring, tapi kalau kita juga yang mencemar taring siapa kita hendak
buang? Jadi maksudnya ini adalah masalah kita semua. Jabatan Alam
Sekitar dan kementerian hanya di sini untuk menjalankan tugas-tugas yang
tertakluk di dalam akta-akta yang telah disediakan. Apa-apa yang tiada
dalam akta kita kena buat akta baru, kita kena buat undang-undang baru.
Jadi sampai bila pun tidak akan berakhir.
Jadi sebab itulah
pada bulan Ogos baru ini kita melancarkan Kempen Kesedaran Alam Sekitar,
di mana kita akan memperkasakan Ahli-ahli Parlimen dan juga Ahli-ahli
Dewan Undangan Negeri untuk bersama-sama dengan kita di dalam memulihara
alam sekitar kita.
Berkenaan dengan
lembangan sungai yang tercemar, apabila kita bercakap berkenaan
lembangan sungai, ianya termasuklah daripada punca sungai tersebut iaitu
di kawasan bukit sehinggalah ke muara sungai tersebut. Jadi apabila kita
mengambil kualiti air, ianya kita ambil daripada hulu sungai sehinggalah
ke muara sungai. Yang masalahnya ialah di bahagian hulu sungai sebelum
adanya penempatan, sebelum adanya industri dan sebagainya, keadaan
sungai adalah bersih dan tidak tercemar, tapi apabila sampai ke
penghujung iaitu di muara sungai-sungai tersebut kualiti airnya amat
tercemar. Terdapat 9 buah lembangan secara purata, maksud saya sungai
yang tercemar di negara ini. Saya akan berikan nama sungai-sungai
tersebut di setiap negeri kepada Ahli Yang Berhormat selepas ini. Terima
kasih.
|