|
TUAN LOH SENG
KOK (KELANA JAYA)
minta PERDANA MENTERI menyatakan kesediaan Negara kita menggubal
undang-undang berhubungan dengan kebebasan maklumat dan hak mendapat
maklumat seperti Freedom of Information Act atau Right to Information
Act yang telah berjaya digubal di negara lain.
JAWAPAN:
Pada masa ini
Kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan undang-undang berhubung dengan
hak atau kebebasan untuk mendapat maklumat. Sungguhpun demikian,
Kerajaan sentiasa bersikap terbuka dalam mengemukakan maklumat kepada
rakyat melainkan jika maklumat tersebut merupakan maklumat yang perlu
dirahsiakan atas sebab-sebab keselamatan atau kepentingan awam atau
apa-apa sebab lain yang difikirkan wajar oleh Kerajaan.
Kesediaan
Kerajaan untuk mendedahkan maklumat kepada orang awam atau mana-mana
pihak tertentu dan hak seseorang untuk mendapatkan maklumat adalah
tertakluk kepada undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88]
dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 [Akta 82]. Akta Rahsia Rasmi 1972
menyentuh mengenai tanggungjawab untuk memelihara dan melindungi rahsia
rasmi manakala Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 memperuntukkan
mengenai hak Menteri, ahli Lembaga Penasihat atau mana-mana pegawai awam
untuk tidak mendedahkan maklumat yang difikirkan boleh menjejaskan
kepentingan negara (seksyen 16).
Beberapa negara
seperti Australia, New Zealand, Kanada dan Ireland telah mewujudkan
undang-undang berhubung dengan hak dan kebebasan untuk mendapatkan
maklumat tetapi pada masa yang sama undang-undang berkenaan turut
memperuntukkan bahawa hak atau kebebasan untuk mendapat maklumat
tersebut tidak boleh terpakai jika maklumat itu merupakan-
(a) maklumat
yang boleh menjejaskan keselamatan negara;
(b) maklumat
yang pendedahannya dilarang oleh mana-mana undang-undang lain yang
berkuat kuasa;
(c) rahsia
perniagaan (trade secrets); dan
(d) maklumat
peribadi atau maklumat perubatan mana-mana orang.
Oleh yang
demikian, walaupun negara ini tidak mempunyai undang-undang khusus
berhubung dengan hak atau kebebasan untuk mendapatkan maklumat, prinsip
keterbukaan dan ketelusan yang diamalkan oleh Kerajaan (iaitu tertakluk
kepada dasar dan undang-undang negara mengenai larangan mendedahkan
maklumat-maklumat tertentu) tidaklah bertentangan dengan hak atau
kebebasan untuk mendapatkan maklumat yang diwujudkan dalam undang-undang
di negara-negara tersebut.
|