|
YB
Tuan Loh Seng Kok [ Kelana Jaya ] meminta:
a) Kementerian menjawab teguran bahawa pelantikan
pegawai JASA tidak mencerminkan komposisi rakyat di Malaysia yang
sepatutnya dan peranan yang kurang jelas dimainkan oleh pegawai-pegawai
berkenaan.
b) Kementerian menyatakan apakah usaha-usaha untuk memastikan
penyatuan dari segi kawalan dan seliaan terhadap stesen televisyen
Kerajaan dan swasta.
c) aspek latihan, kemahiran, maklumat dan pengetahuan
pegawai-pegawai penyiar terutamanya yang muncul di kaca televisyen
diperhebatkan lagi.
d) supaya berita 24 jam dapat diwujudkan dalam konteks
globalization bagi memastikan rakyat dan seluruh dunia dapat
menikmati perkembangan terkini yang berlaku di Malaysia.
JAWAPAN:
(a)
Pelantikan pegawai JASA adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang
ditetapkan mengikut Skim Perkhidmatan. Syarat asas pelantikan
adalah memiliki kelayakan akademik seperti ijazah Sarjana Muda dari
universiti yang diiktiraf bagi jawatan Pegawai Penerangan dan Sijil
Pelajaran Malaysia serta lulus Ujian Lisan Bahasa Malaysia bagi jawatan
Pembantu Penerangan. Di samping itu, jabatan akan mengambil kira
kebolehan calon-calon dalam kemahiran komunikasi bersemuka.
Pemilihan pegawai JASA juga adalah berdasarkan kepada matlamat asal
penubuhan jabatan dan skop operasi jabatan iaitu bagi mengembalikan
keyakinan rakyat terhadap kerajaan khasnya berkaitan politik dan agama.
Jabatan ini juga ditugaskan untuk menangkis tohmahan pihak tertentu yang
memutarbelitkan fahaman agama dengan menuduh kononnya kerajaan yang
memerintah sekarang sekular, tidak Islamik, zalim dan sebagainya.
Pelantikan pegawai bukan Melayu dibuat berdasarkan kepada keperluan
politik setempat, majoriti pengundi serta kesesuaian calon untuk
ditempatkan di kawasan Parlimen dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)
berkenaan. Hal sedemikian adalah bertujuan untuk membolehkan
pegawai-pegawai berkenaan dapat memainkan peranan yang berkesan sesuai
dengan keperluan masyarakat setempat.
(b)
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau AKM 1998 yang menggantikan Akta
Penyiaran tetap memperuntukkan kawal selia terhadap stesen televisyen
Kerajaan dan swasta. Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK)
bertanggungjawab memantau stesen televisyen swasta manakala Kementerian
Penerangan melaksanakan pemantauan ke atas stesen televisyen Kerajaan.
Walaupun pemantauan ke atas stesen-stesen televisyen milik Kerajaan dan
swasta dilaksanakan oleh dua Kementerian, namun kesemua garis panduan
dan peraturan yang digunakan adalah selaras kerana ia pada akhirnya akan
memastikan kandungan bahan siaran sesuai bagi tontonan awam serta
melindungi kepentingan negara, Kerajaan dan orang awam.
Salah satu usaha Kerajaan dalam penyatuan kawal selia ini adalah melalui
penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan Siaran Televisyen dan
Radio Awam dan Swasta (JKPPSTRAS) yang ditubuhkan pada 14 Julai 2004
berasaskan keputusan Jemaah Menteri. Jawatankuasa ini dipengerusikan
oleh KTAK dan dianggotai oleh Kementerian dan agensi awam yang
berkepentingan termasuklah Kementerian Penerangan.
JKPPSTRAS telah menyiapkan Garis Panduan Menyeluruh Mengenai
Penyiaran Program Televisyen dan ianya akan mula diguna pakai secara
menyeluruh di semua stesen televisyen tempatan, sama ada stesen awam
mahupun swasta setelah mendapat kelulusan Kerajaan.
Garis panduan ini member! penekanan kepada lima aspek iaitu keagamaan
dan kepercayaan, ideologi dan politik, ketertiban dan kesusilaan,
sosiobudaya serta kesenian dan kebudayaan. Walau bagaimanapun, garis
panduan sedia ada, seperti Garis Panduan Lembaga Penapisan Filem, Kod
Kandungan Komunikasi dan Multimedia, Garis Panduan Penyiaran RTM, Kod
Pengiklanan Kementerian Penerangan dan Garis Panduan Penapisan Kandungan
Bahan-bahan Penyiaran Menyentuh Seni dan Budaya akan terus diguna pakai.
(c)
Kementerian Penerangan amat sedar untuk menjadi seorang penyiar dan
penyampai radio dan televisyen yang berketerampilan, berwibawa dan
berjaya memikat perhatian penonton kepada maklumat yang hendak
disampaikan, mereka bukan sekadar perlu tahu teknik berhadapan dengan
kamera dan berkomunikasi dengan baik tetapi juga perlu melengkapkan diri
dengan pengetahuan. Ciri-ciri seperti inilah yang turut diberikan
keutamaan oleh RTM dalam memilih penyampai di televisyen sama ada
daripada kalangan kakitangan sendiri ataupun yang diundang dari luar.
Kemahiran ini perlu ada pada setiap penyampai berita, wartawan di lokasi,
pengulas acara siaran langsung, pengerusi forum bicarawara ataupun
pengacara rancangan hiburan. Aspek inilah yang turut diberikan penekanan
oleh setiap penerbit rancangan dalam memilih penyampai bagi
rancangan-rancangan mereka. Melalui sesi kursus anjuran Institut
Penyiaran Tun Abul Razak (IPTAR) atau taklimat dengan penyampai, perkara
yang sama turut dimaklumkan. Selain itu, penerbit rancangan selalu
memperingatkan setiap penyampai supaya membuat persiapan membaca
maklumat berkaitan topik mengenai rancangan berkenaan dan merancang
soalan wawancara untuk tetamu undangan. Persiapan ini penting untuk
memastikan mereka nampak benar-benar berpengetahuan dan dapat meyakinkan
penonton agar memahami perkara yang hendak disampaikan dan dapat
menerima mesej secara berkesan.
(d)
RTM
memang mempunyai rancangan untuk mewujudkan saluran berita 24 jam bagi
memastikan rakyat dan masyarakat antarabangsa mengikuti perkembangan
terkini yang berlaku di Malaysia dan dunia. Cadangan mewujudkan saluran
berita ini boleh direalisasikan apabila RTM menggunakan perkhidmatan TV
Digital tidak lama lagi. Bagaimanapun buat masa ini, masyarakat termasuk
di peringkat antarabangsa boleh mengikuti perkembangan yang berlaku di
Malaysia dengan mengikuti saluran televisyen RTM yang turut dipancarkan
melalui satelit MEASAT 3 sejak 25 Januari 2007 yang meliputi 70 peratus
kawasan dunia yang melibatkan 110 negara di samping melalui streaming
di laman web RTM. Melalui laman web berkenaan juga, laman 'BES
ONLINE' turut disediakan yang memaparkan berita-berita semasa di
peringkat tempatan dan antarabangsa dalam bahasa Malaysia dan Inggeris
yang sentiasa dikemaskini.
|