USUL
dicadangkan oleh LOH SENG KOK, AHLI DEWAN RAKYAT KAWASAN KELANA JAYA
sempena MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL PERTAMA, PARLIMEN KE-11, TAHUN 2004
(17/05-14/06)
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Bahawa Dewan ini melahirkan rasa
kesal terhadap kelemahan-kelemahan logistik, kejadian-kejadian negatif,
kes-kes jenayah dan kesalahan yang melibatkan pelatih, jurulatih dan
staf, yang berlaku semasa pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
yang dijalankan mengikut peruntukan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta
628) sepertimana yang diluluskan oleh Dewan ini.
Bahawa Dewan ini menyedari bahawa
teras PLKN antaranya adalah untuk membentuk sebuah masyarakat yang
berdisiplin, membina perwatakan positif generasi muda, bersemangat waja,
berkeyakinan diri, setia kepada negara, sentiasa bersedia menghadapi
sebarang cabaran dan dugaan serta untuk memupuk kerjasama dan perpaduan
di kalangan pelbagai kaum di negara ini.
Bahawa Dewan
ini merasa amat kesal dengan kejadian-kejadian di atas yang mencemarkan
objektif-objektif murni PLKN dan menjejaskan reputasi Majlis Latihan
Khidmat Negara sebagai sebuah badan yang dikehendaki melaksanakan fungsi
yang diberikan oleh atau di bawah Akta 628 dan hendaklah menasihati
Menteri Pertahanan tentang segala perkara yang berhubungan dengan
latihan khidmat negara, yang mana keanggotaan Majlis adalah dilantik
oleh Yang di-Pertuan Agong.
Maka Dewan ini
mengambil ketetapan agar sebuah Jawatankuasa Khas ditubuhkan serta merta
untuk mengkaji semula segala modul operandi PLKN supaya PLKN dapat
diteruskan dengan prinsip-prinsip murninya ditegakkan.
|