|
UCAPAN LOH SENG KOK, AHLI PARLIMEN KAW. KELANA JAYA (P104)
MENYOKONG USUL MENJUNJUNG KASIH TITAH UCAPAN SERI PADUKA BAGINDA YANG
DI-PERTUAN AGONG DI MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL PERTAMA, DEWAN RAKYAT,
PARLIMEN KESEBELAS, 19-5-2004.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Terima kasih, Tuan Yang Di-Pertua,
Salam Sejahtera kepada semua.
Terlebih dahulu, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang
Di-Pertua kerana sudi memberi peluang kepada saya untuk menyokong usul
yang dicadangkan oleh Yang Berhormat bagi Temerloh, iaitu usul
menjunjung kasih titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong
semasa merasmikan Mesyuarat Dewan Rakyat Pertama, Penggal Pertama,
Parlimen kesebelas di Dewan yang mulia ini semalam.
Tuan Yang Di-Pertua,
Ini adalah kali ulung saya berdiri di Dewan yang
mulia ini. Saya mohon, Tuan Yang Di-Pertua,
“Buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan,
saya anggota baru belajar,
kalau salah tolong tunjukkan.”
Tuan Yang Di-Pertua,
RASUAH DAN SISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM
Dalam
pilihanraya umum ke-11 yang telah diadakan pada bulan Mac tahun ini,
majoriti yang diperolehi oleh Parti Barisan Nasional (BN) menunjukkan
rakyat jelata bersetuju dengan pimpinan YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad
Badawi sebagai Perdana Menteri. Sifat kepimpinan beliau yang sederhana
tetapi tegas telah banyak membawa pembaharuan walaupun hanya memegang
jawatan sebagai Perdana Menteri dalam tempoh kurang dari satu tahun.
Beberapa pendekatan yang telah beliau ambil, seperti mengisytiharkan
‘perang’ terhadap masalah rasuah menerusi penstrukturan semula operasi
kerja dan peningkatan mutu sistem penyampaian Perkhidmatan Awam telah
mendapat sokongan padu daripada rakyat jelata.
Selepas
mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelima beliau telah
mengarahkan Ketua Setiausaha Negara menstruktur semula fungsi pejabat
dan Pegawai daerah serta pihak berkuasa tempatan (PBT),
memastikan setiap kementerian menubuhkan pasukan petugas khas untuk
menangani kerenah birokrasi yang dikenalpasti sebagai salah satu punca
amalan rasuah.
Tuan Yang
Di-Pertua,
Pentadbiran Kerajaan perlu memperkenalkan sistem penyampaian
perkhidmatan awam yang lebih cekap agar masalah rasuah dapat diatasi.
Sasaran Malaysia adalah untuk mencapai rasuah sifar. Walaupun ini
sebenarnya sangat sukar, kita boleh mengurangkan insiden rasuah sebanyak
mungkin dengan tekad dan keazaman yang konsisten, menjadikan sektor
awam bebas dari kerenah birokrasi dengan mengamalkan cara kerja bersih,
cekap dan amanah.
Perhatian
lebih serius harus diberikan terhadap meningkatkan mutu perkhidmatan
kaunter bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat perkhidmatan yang cepat
dan berkualiti. Pejabat-pejabat yang mempunyai kaunter yang berhadapan
dengan orang ramai harus bekerja mengikut prosedur dan mengkaji semula
proses kerja bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan kepada
masyarakat lebih optimum.
Begitu
juga, budaya masyarakat Malaysia perlu dibaiki di mana masyarakat
seharusnya mempunyai sikap benci dan menolak sebarang perlakuan menyuap
dan menerima rasuah.
Sehubungan
dengan itu, Tuan Yang Di-Pertua,
PELAN INTEGRITI NASIONAL
Saya mengambil kesempatan di sini menyeru Dewan ini mengalu-alukan
perlancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan
Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini oleh YAB
Perdana Menteri. Sesungguhnya ini adalah hasrat rakyat yang telah
dinanti-nantikan sekian lama. Antara tujuan PIN ini sebagai dasar
payung untuk memantapkan integriti negara ialah menggubal strategi,
memberi hala tuju kepada semua lapisan dan golongan masyarakat supaya
mereka dapat bekerjasama dan mengambil bahagian secara langsung dalam
usaha memantapkan nilai etika dan integriti, demi membentuk sebuah
masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etika, dengan para warganya
mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh
budi pekerti yang luhur.
PIN juga bertujuan menangani masalah rasuah yang berleluasa dalam
masyarakat kita, terutamanya di dalam sektor awam. Tahniah dan syabas
kepada Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, kerana
sanggup mengemukakan masalah ini dan berusaha membendungnya. Ini bukan
perbuatan “membuka pekung di dada sendiri” tetapi adalah
usaha untuk memajukan diri dan kesungguhan untuk memajukan negara.
Adanya nakhoda sedemikian, barulah kapalnya selamat dinaiki,
pelayarannya wajar diceburi.
Institut Integriti Malaysia akan menjalankan kajian berkala mengenai
persepsi umum terhadap rasuah setiap dua tahun. Ini adalah usaha yang
baik, tetapi selain kajian pasif sedemikian, IIM boleh memainkan peranan
lebih aktif untuk meresap ke dalam jabatan-jabatan dan badan-badan
kerajaan sebagai pemberi minda kepada mereka. Dengan berbuat sedemikian,
nescaya hasil kajian selepas dua tahun kemudian diharap akan menunjukkan
data-data yang lebih positif.
Sesungguhnya usaha untuk mengwujudkan sebuah masyarakat yang beretika
dan integriti perlu penceburan daripada semua pihak dan peringkat,
daripada teratas sampai ke akar umbi. PIN menggesa penglibatan semua
peringkat dengan melihat kepada perkara biasa dalam tabiat hari-harian
kita seperti mematuhi lampu isyarat, tidak melompat giliran, tidak
meludah sewenang-wenangnya, tidak merosakkan harta awam dan sebagainya.
Ini adalah sesuatu yang dapat dilakukan oleh sesiapa sahaja jika
berhajat. Kita patut menimba ilmu daripada falsafah konfusianisme
seperti kata-kata seorang tokohnya Mencius bahawa jika tidak melakukan
perbuatan murni sedemikian “bukan kerana tidak terdaya, tetapi
adalah tidak berhajat”.
Negara kita sedang mengorak langkah menuju ke arah negara maju, tetapi
kemajuan yang kita impi-impikan bukannya sekadar mercu-mercu tanda
seperti Menara Berkembar (Twin-Tower) sahaja, kita
inginkan kemajuan rohaniah juga. Kita ada banyak rancangan-rancangan
dan projek-projek fizikal yang membangunkan negara, tetapi kurang
projek-projek rohaniah. PIN muncul tepat pada masanya. Dengan
terlancarnya PIN, moga-moga keseimbangan pembangunan fizikal dan
rohaniah di negara kita akan lebih terlaksana mulai sekarang.
Tuan Yang Di-Pertua,
BELIA & PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA
Saya menyokong titah ucapan Seri Paduka Baginda Ynag Di-Pertuan Agong,
bahawa Kerajaan hendaklah merapatkan hubungan kaum antara belia-belia
Malaysia dan terus mengekalkan semangat muhibah dan saling
hormat-menghormati antara kaum yang merupakan asas keharmonian dan
kemajuan yang dinikmati selama ini.
Golongan belia merupakan golongan teristimewa yang bakal mewarisi segala
harta, kekayaan dan khazanah yang terdapat di negara ini. Mereka jugalah
golongan yang akan mengambilalih kedudukan kepemimpinan dan generasi
tua, yang mana mereka akan dipertanggungjawabkan untuk memastikan adanya
kesinambungan pembangunan bangsa dan negara.
Dengan itu, teras pembangunan belia kini hendaklah melahirkan “Belia
Malaysia” yang berdisiplin, bersatupadu, bersikap positif, bersemangat
waja, berkeyakinan diri, setia kepada negara demi mengujudkan satu
bangsa Malaysia yang senada, sehati, sejiwa, di samping
mepertingkatkan pengetahuan dan kemahiran yang perlu membolehkan mereka
menghadapi cabaran dan dapat menyesuaikan diri dengan olakan zaman dan
pembangunan yang pesat.
Menyedari hakikat ini, maka usaha pembentukan “Belia Malaysia” yang jitu
dan berkualiti ini hendaklah dimantapkan, diselaras dan diselenggarakan,
khususnya di antara Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelajaran,
Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, badan-badan
bukan Kerajaan (NGO) dan juga Kementerian Pertahanan yang
diberi mandat baru-baru ini untuk melaksanakan Program Latihan Khidmat
Negara (PLKN).
Menyentuh tentang PLKN, Tuan Yang Di-Pertua,
Saya ingin ucapkan tahniah kepada pelatih-pelatih siri 1 yang telah
berjaya melalui program ini bermula pada 16 bulan Februari 2004, dan
untuk pelatih-pelatih siri 2 dan 3 yang masih mengikuti latihan, selamat
berjuang. Syabas kepada Kementerian Pertahanan, JLKN, MLKN, IPTA, para
tenaga pengajar, jurulatih dan semua pihak yang terlibat atas
kesungguhan dan kerajinan bagi memastikan PLKN dapat berjalan dengan
lancar menepati matlamatnya.
Seperti yang diketahui umum bahawa PLKN mempunyai
objektif-objektif murni yang tak perlu saya huraikan satu per satu.
Namun sedemikian, terdapat kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku
dalam pelaksanaan PLKN, seperti kelemahan logistik, insiden-insiden
negatif, kes-kes jenayah dan kesalahan yang mana bukan sahaja pelatih,
tetapi jurulatih, staf, dan pegawai juga terlibat. Kejadian-kejadian ini
telah mencemarkan objektif-objektif murni PLKN dan menimbulkan kesulitan
serta mengaibkan usaha Kerajaan membina sebuah generasi muda yang lebih
patriotik, lebih berdisiplin, bersatu padu, mempunyai jati diri dan
semangat waja untuk mendukung wawasan negara.
Keadaan ini membuka ruang kepada pihak-pihak tertentu mengambil
kesempatan “menangguk di air keroh”, mengutuk Kerajaan dan
bertanggapan “nila setitik, rosak susu sebelanga” serta
mahu PLKN dibatalkan. Cadangan membatalkan PLKN hanyalah dari persepsi
sempit dan merupakan pendekatan ibarat mencurahkan air di daun keladi
yang tidak mendatangkan sebarang kesan dan faedah. Kita sepatutnya
mengambil langkah yang lebih praktikal dan pragmatik setelah
mempertimbangkan manfaat jangka panjang dan kelebihan-kelebihan PLKN.
Saya sebagai Ahli Jawatankuasa Naziran PLKN, telah menerima banyak aduan
dan juga cadangan dari pelbagai pihak, termasuklah badan-badan NGO.
Dengan itu, saya ambil kesempatan ini mengemukakan cadangan berkenaan
untuk dipertimbangkan. A) Mengasingkan pelatih mengikut Jantina, B)
Mengadakan kem latihan dengan pengubahsuaian modul untuk pelatih yang
tercicir dari sistem persekolahan menengah C) Tenaga pengajar
berkualiti dan berkelayakan dipilih melalui sistem saringan yang lebih
terperinci D) Menentukan kuantiti tenaga pengajar adalah mencukupi
sebelum pelaksanaan program E) mengadakan rujukan bidang tugas
(terms of reference) yang jelas untuk setiap lapisan pegawai dan
petugas, termasuklah komandan kem di IPTA F) memperkenalkan rujukan
kelakuan (code of conduct) yang tegas untuk pelatih,
tenaga pengajar dan lain-lain pegawai G) mempelbagaikan kaedah latihan
bagi modul kenegaraan dan modul pembinaan karakter di IPTA H)
Pengambilan jumlah pelatih hendaklah berasaskan premis yang sedia ada
mampu menampung semua pelatih bahawa pelatih akan memulakan latihan
dengan modul latihan fizikal di kem-kem latihan, bukannya modul-modul
lain di IPTA I) Mengkaji semula modus operandi keseluruhannya yang
melibatkan pengurusan logistik, pengangkutan, pembekalan barangan dan
makanan, penyediaan kem dan prasarana kemudahan, keselamatan dan kawalan,
Cadangan-cadangan ini harap mendapat pertimbangan sewajarnya supaya
pelaksanaan PLKN lebih teratur dan licin.
Tuan Yang Di-Pertua,
Seperkara yang berkaitan dengan PLKN ialah, Saya rasa kita harus
berterima kasih kepada kebebasan akhbar yang sedia ada. Memang benar
PLKN yang julung kali ini mempunyai nilai berita atau “news
worthiness” yang sungguh tinggi. Namun, seolah-olah kita
terbaca lebih banyak berita buruk sungguhpun berita positif yang
disiarkan juga tidak kurang daripadanya. Walau bagaimanapun, saya
percaya pihak media adalah berniat baik dan ingin turut memainkan
peranan yang aktif supaya program ini lebih mantap dan disegani pada
masa hadapan. Segala kritikan yang konstruktif harus diteliti. Apa
yang baik biarlah dikekalkan dan apa yang kurang eloklah diperbetulkan.
Liputan akhbar mengenai penyalahgunaan dadah, gangsterisme, pergaduhan,
gangguan seksual dan sebagainya memang mengimbaskan situasi sebenar
pemuda-pemudi zaman kini. Dengan ini, PLKN sememangnya harus diteruskan
supaya membetulkan akhlak dan sahsiah mereka.
Memang benar adalah sedikit gopoh untuk melaksanakan
PLKN dalam masa yang agak singkat. Namun, setelah menerima ikhtibar
dari tiga siri pengambilan yang terkandung dalam kelompok pertama, saya
percaya pihak JLKN sudah bersedia untuk menjalankan tugas dengan lebih
baik pada masa hadapan. Kita juga harus ingat supaya jangan patah
semangat danm putus asa disebabkan beberapa insiden yang tidak
dijangkakan. Janganlah “kerana marahkan nyamuk seekor, kelambu
dibakar”. Selepas langkah-langkah diambil untuk memperbetul dan
memperbaiki kurikulum, metodologi dan modus operandi program, PLKN boleh
diteruskan dengan prinsip-prinsip murninya yang asal demi masa hadapan
negara kita yang tercinta.
Tuan Yang Di-Pertua,
PROGRAM INTEGRASI PELAJAR
Selain PLKN bagi remaja, untuk memantapkan lagi usaha
Kerajaan ke arah menyatupadukan masyarakat terutama dari kalangan
generasi muda, maka Program Integrasi Pelajar yang melibatkan
murid-murid dari berbilang kaum yang datang dari ketiga-tiga jenis
sekolah rendah iaitu SK, SJK(C) dan SJK(T) hendaklah dilaksanakan semula
sebagai pelengkap kepada PLKN. Program ini diperkenalkan oleh YAB
Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi pada tahun 1986 sewaktu beliau
menjadi Menteri Pelajaran.
Bagai kata “melentur buluh biarlah dari rebungnya”,
sekolah-sekolah adalah tempat yang paling sesuai untuk menyemaikan
benih-benih perpaduan. Di bawah Program Integrasi Pelajar, murid-murid
berbagai keturunan dari SK, SJK(C) dan SJK(T) terutamanya
sekolah-sekolah yang berhampiran, boleh bermesra dan berinteraksi
melalui Kegiatan-kegiatan Khas Ko-kurikulum yang terancang. Demikianlah
jika peluang bergaul dapat disediakan dengan baik dan dilaksanakan
secara sedar serta bertanggungjawab, proses integrasi murid-murid
pelbagai kaum dari ketiga-tiga jenis sekolah itu dapat dipupuk dan
dibina lebih awal sebelum mereka masuk ke sekolah-sekolah menengah.
KEMISKINAN DI BANDAR
Seterusnya, saya ingin membangkitkan isu kemiskinan di bandar. Selama
ini, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar yang efektif untuk
membasmi masalah kemiskinan di Malaysia. Dasar Ekonomi Baru yang
dilaksanakan antara tahun 1970-1990 contohnya telah menunjukkan keazaman
tinggi kerajaan menuju ke arah ini.
Mengimbas kembali keberkesanan Dasar Ekonomi Baru
pada hari ini, memang tidak dipertikaikan bahawa ia telah membawa
sumbangan yang besar dalam merapatkan jurang pendapatan antara kaum dan
mengurangkan kadar kemiskinan negera. Menurut perangkaan, kadar
kemiskinan nasional telah menurun dengan drastik dari 49% pada tahun
1970 kepada hanya 5.1% sahaja pada tahun 2002.
Walau bagaimanapun, dalam era pembandaran (urbanization)
dan globalisasi yang pesat ini, kemiskinan bukan lagi wujud di kawasan
luar Bandar dan pendalaman sahaja. Kemiskinan penduduk bandar adalah
fenomena baru yang berkembang dengan pantas. Menurut perangkaan, kadar
kemiskinan negara semakin berkurangan, tetapi malangnya kadar kemiskinan
di bandar pula meningkat.
|
|
1990 |
1995 |
|
Kadar Kemiskinan Negara |
16.5% |
7.5% |
|
Kadar Kemiskinan
hardcore Negara |
3.9% |
1.4% |
|
|
1995 |
1999 |
|
Kadar Kemiskinan di bandar |
83800 keluarga |
86800 keluarga |
|
Kadar Kemiskinan
hardcore di bandar |
21800 keluarga |
15600 keluarga |
(sumber: Rancangan Malaysia ke-8,
2001-2005)
Ini menunjukkan bahawa dasar pembasmian
kemiskinan Kerajaan selama ini telah mengabaikan keadaan kemiskinan di
bandar. Jika tanpa campur tangan aktif daripada Kerajaan, pembangunan
bandar secara tidak terancang boleh menimbulkan bencana manusia yang
dahsyat. Lebih membimbangkan apabila kehidupan terdesak sering dikaitkan
dengan pencemaran alam sekitar, gejala sosial, jenayah, keganasan,
keciciran dalam kehidupan dan pendidikan akibat peningkatan kadar
kemiskinan di bandar.
Untuk membasmi kemiskinan, langkah pertama ialah menentukan
takrif miskin dari semasa ke semasa. Unit Perancang Ekonomi (EPU) perlu
mengkaji semula takrif yang betul-betul sesuai dengan keadaan sebenar
mengikut keadaan di setiap kawasan. Ini kerana taraf kehidupan di
bandar besar amat tinggi manakala di luar bandar lebih rendah. Sudah
tentu tahap kemiskinan di kedua-dua kawasan itu juga berbeza.
Berdasarkan garis
panduan EPU pada 2002, golongan miskin merujuk kepada keluarga
berpendapatan bulanan di bawah paras RM529 di Semenanjung,, RM600 di
Sarawak dan RM690 di Sabah.
Bagaimanapun,
pendapatan isi rumah RM529 mungkin hanya boleh dikategorikan sebagai
golongan miskin di luar bandar tetapi bukannya di bandar. Di kawasan
bandar, jumlah itu mungkin boleh dianggap sebagai kategori kemiskinan
tegar. Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan oleh EPU
perlu membezakan dengan jelas pendapatan isi rumah di kawasan bandar dan
luar bandar, dan mengambilkira bilangan ahli keluarga yang perlu
dibiayai.
Kedua, penekanan dan fokus membasmi kemiskinan di bandar oleh
Kerajaan harus ditonjolkan agar semua pihak dan setiap lapisan
masyarakat sedar serta berusaha sama atau “integrated effort”
menangani masalah ini. Lantaran itu, satu agensi pelaksana yang
ditugaskan secara khas perlu diwujudkan untuk mengendalikan isu
kemiskinan di bandar ini dan melaksanakan polisi Kementerian Perumahan
dan Kerajaan Tempatan yang diberi mandat untuk menyelia usaha ini.
Ketiga, selama ini, terdapat banyak badan sukarela juga bergiat
secara aktif dalam memberi bantuan kepada golongan miskin di bandar.
Badan ini selalunya berunsur keagamaan dan kebajikan. Usaha membasmi
kemiskinan di bandar adalah satu rangka kerja jangka panjang, maka
Kerajaan harus mendapatkan kerjasama dan bantuan dari badan sukarela
sedemikian. Lantaran itu, Kerajaan juga harus memberikan sokongan
kewangan dan pengiktirafan kepada badan ini supaya badan ini boleh
meneruskan usaha baik mereka ini dengan lebih licin.
Keempat, untuk menyelesaikan masalah kemiskinan di bandar secara
berkesan, bantuan peringkat akar umbi adalah mustahak. Malangnya,
didapati pekerja komuniti yang bekerja secara sepenuh masa adalah jauh
tidak mencukupi, baik dari Jabatan Kebajikan, Jabatan Pendidikan atau
Jabatan Belia dan Sukan.
Oleh itu, untuk memenuhi kekurangan ini, Kerajaan harus mengupah lebih
banyak pekerja komuniti (social / community workers) untuk
memberi fokus dalam aspek kerohanian, kebajikan, counseling dan
bimbingan kerjaya penduduk miskin di bandar. Selain itu, kempen-kempen
merekrut (recruit) pekerja komuniti yang rela bekerja
secara sukarela, ke arah mewujudkan satu masyarakat penyayang.
Kelima, mendirikan flat di tapak asal kawasan rumah setinggan
yang merupakan kawasan tumpuan penduduk miskin di bandar. Hampir semua
penduduk rumah setinggan enggan berpindah ke kawasan perumahan kos
rendah yang jauh dari bandar atau kediaman asal mereka, kerana kawasan
baru itu adalah jauh, tidak ada ameniti sosial yang berhampiran,
kekurangan peluang kerja, pengangkutan awam yang serba kekurangan dan
sebagainya.
Keenam, pendidikan merupakan antara aspek yang paling penting
untuk meningkatkan kedudukan dan mobiliti sosial penduduk miskin ini.
Namun, oleh kerana anak-anak di keluarga miskin ini tidak mendapat
perhatian yang mencukupi, maka kadar keciciran mereka dari sekolah
adalah tinggi, sehingga mereka hanya layak dan mampu menjalankan kerja
buruh atau industri yang tidak membawa ganjaran upah yang tinggi.
Untuk meningkatkan keupayaan mereka di pasaran tenaga kerja, maka pihak
Kerajaan perlu menyediakan beberapa kemudahan kepada mereka, termasuk
mendirikan dewan dan pusat komputer, mengadakan tusyen percuma kepada
anak-anak murid, atau kadang-kadang mengadakan latihan kursus tambahan
kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Ketujuh, kemudahan asas di rumah setinggan, rumah panjang atau
“transit home” adalah buruk dan perlu ditingkatkan, khasnya
dari segi bekalan elektrik dan air, dan pengutipan sampah. Kawasan
berkenaan ini juga selalu ditimpa banjir kerana masalah perparitan.
Tempat rekreasi juga harus disediakan untuk memupuk cara hidup sihat di
kalangan penduduk ini.
Kelapan, kemudahan penjagaan anak juga perlu disediakan di
kawasan kediaman orang miskin, ini memudahkan ibu bapa mereka keluar
bekerja. Di kawasan luar bandar dalam bidang perladangan dan estet,
kemudahan ini sebenarnya adalah diwajibkan dibekalkan oleh pihak majikan.
Namun bagi kawasan setinggan di bandar ini, Kerajaan Tempatan seharusnya
bertanggungjawab membekalkan kemudahan ini.
Kesembilan, membantu menubuhkan Jawatankuasa Penduduk di kawasan
rumah setinggan. Suara penduduk setinggan miskin ini adalah lemah kerana
mereka terdiri daripada golongan tidak berpelajaran yang tidak menyedari
hak asasi diri sendiri. Maka banyak pihak seperti majikan yang tidak
bertimbang rasa, cuba mengambil peluang menindas hak mereka.
Di kawasan kampong, terdapat jawatankuasa keselamatan untuk menjaga
kepentingan penduduk setempat.Tetapi bagi penduduk miskin di bandar ini
pula, mereka kekurangan satu barisan perwakilan untuk menjaga kebajikan
dan menyuarakan masalah mereka secara berkesan.
Kesepuluh, salah satu punca utama yang mewujudkan banyak golongan
miskin di Bandar, adalah kerana polisi kerajaan yang membenarkan
kemasukan dan penglibatan pekerja asing dalam bidang kerja tertentu,
seperti pembinaan, ladang, perkhidmatan dll.
Peluang kerja dalam bidang ini sudah dimonopoli oleh pekerja asing yang
hanya diberi gaji rendah, menyebabkan warganegara sendiri yang hidup
miskin di bandar tidak dapat mencari kerja yang diingini, atau
menyebabkan kadar gaji dalam bidang kerja ini semakin jatuh.
Selain itu, banyak juga rumah setinggan telah didiami oleh pendatang
asing yang haram, mengganggu keamanan setempat. Untuk mengatasi masalah
ini, pendatang haram harus dihantar balik. Bilangan pendatang asing yang
sah juga harus dikurangkan. Bagi pendatang asing yang sah juga, Kerajaan
mesti menetapkan polisi ketat, mewajibkan pihak majikan menyediakan
kawasan kediaman kepada mereka. Mereka adalah tidak dibenarkan mendiami
kawasan rumah setinggan.
Kesebelas, dalam menangani masalah kemiskinan di bandar
ini, saya berpendapat bahawa tahap inflasi dan taraf hidup di bandar
juga perlu diberi kawalan yang baik. Tahap inflasi dan taraf hidup ini
boleh menurut tahap pembangunan sesebuah negara serta bersepadan dengan
kemampuan rakyat. Jika tidak, penduduk di bandar akan terus menghadapi
masalah kesempitan kewangan walaupun mereka menerima amaun pendapatan
yang sebenarnya agak tinggi.
PENDIDIKAN
DYMM dalam titah ucapan baginda ada menyentuh beberapa isu pendidikan,
antaranya ialah pewujudan Sekolah Wawasan, pelaksanaan Program
Integrasi Pelajar serta pelaksanaan Program Pengajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris. Baginda memberi perhatian kepada
isu-isu semasa pendidikan dan prihatin terhadap perkembangannya. Oleh
yang demikian, marilah kita melihat satu gambaran besar tentang
pendidikan negara kita.
Pendidikan sebagai satu alat pupukan identiti rakyat negara perlulah
berwawasan. Pendekatan yang digunakan perlulah mudah diterima dan
sesuai dengan masa. Ia sepatutnya dapat menyempurnakan cita-cita
pendidikan untuk mengwujudkan rakyat yang bermoral, berilmu, beragama,
berbadan sihat, muhibbah dan bersatu padu serta berdaya apersiasi
terhadap seni. Lantaran itu, system pendidikan sekarang yang terlalu
menitikberatkan kepada penyampaian ilmu dan kemahiran di negara kita
perlulah diteliti dan difikir masak-masak perkembangan dan implikasinya.
Jika kita ada sekolah-sekolah yang terlalu mementingkan keputusan
peperiksaan sahaja sehingga mengabaikan tumbesaran mental
pelajar-pelajar, siapa yang perlu dipersalahkan? Jika anak-anak kita
terpaksa berusaha keras sehingga pukul 11 malam untuk menyiapkan
kerjarumah yang diberi cikgu dan ada-ada saja peperiksaan yang menunggu
mereka, siapa yang akan rasa sakit hati? Pendek kata, kita perlu
menilai semula system pendidikan negara kita. Oleh yang demikian, saya
mencadangkan kepada Dewan ini supaya satu Jawatankuasa Pernilaian Semula,
dengan izin, A Review Committee, yang diketuai bersama oleh YB
Menteri Pelajaran dan YB Menteri Pengajian Tinggi dibentuk untuk
meangani perkara ini.
Tuan Yang Di-Pertua,
BAHASA INGGERIS, MATEMATIK & SAINS
Saya ingin menyentuh topik tentang pengajaran matapelajaran sains dan
matematik dalam Bahasa Inggeris. Tidak dapat dinafikan bahawa Bahasa
Inggeris adalah satu bahasa antarabangsa. Adalah satu kemestian bagi
rakyat kita untuk menguasai, dengan izin, “lingua-franca”
ini demi meningkatkan daya-saing negara di arena antarabangsa.
Program pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris telah
dilancarkan pada tahun lepas. Hasrat kita adalah agar daya penguasaan
bahasa Inggeris di kalangan pelajar dapat dipertingkatkan. Di samping
itu, kita juga ingin melihat peningkatan dari segi penguasaan matematik
dan sains.
Beberapa isu telah ditimbulkan dan izinkan saya menerangkan isu-isu ini.
Pertama, kita risau bahawa daya penguasaan bahasa ibunda di kalangan
pelajar terjejas. Kita sedari tentang kepentingan menguasai bahasa
Inggreris. Tetapi janganlah sampai merugikan anak-anak kita sehingga
mereka kandas dalam bahasa ibunda mereka sendiri!
Kedua, kita risau keputusan peperiksaan bagi matapelajaran sains dan
matematik akan merosot. Ini adalah kerana sebahagian pelajar lemah dalam
bahasa Inggeris. Pada tahun 2002, keputusan UPSR bagi bahasa Inggeris
mencatatkan kelulusan 63.4%. Manakala kelulusan bagi
bahasa Melayu, Tamil dan Cina adalah lebih 80%. Adakah ini bermaksud
program penggunaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran sains dan
matematik kita ini perlu dihentikan? Tidak sama sekali.
Usaha ke arah meningkatkan daya penguasaan bahasa Inggeris di kalangan
warga Malaysia ditangani secara objektif dan sistematik. Pelajar wajar
didedahkan kepada penggunaan bahasa Inggeris secara beransur-ansur. Sila
ambil perhatian bahawa tujuan program ini bukanlah untuk menguji tahap
dan daya penguasaan bahasa Inggeris. Kita tidak mahu anak-anak kita
tercicir dalam peperiksaan semata-mata kerana lemah dalam bahasa asing.
Maka, saya mencadangkan agar ujian dan peperiksaan bagi matapelajaran
sains dan matematik, di sekolah-sekolah jenis kebangsaan, diuji dalam
bahasa ibunda masing-masing.
PEMBINAAN SJK
Pembangunan sektor pendidikan nampak lebih signifikan apabila YAB
Perdana Menteri membuat rombakan kabinet dengan mengujudkan Kementerian
Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Langkah ini menunjukkan
bahawa Kerajaan terus memberi penekanan yang khusus dalam sektor
pendidikan. Ini adalah kerana dasar-dasar pendidikan yang dilaksanakan
haruslah relevan dengan kehendak semasa dan memberi peluang-peluang
pendidikan dengan skop yang seluas dan ke tahap yang setinggi mungkin
kepada generasi muda kita demi kepentingan jangka panjang negara.
Dalam konteks ini, pendidikan dijadikan sebagai satu alat untuk
memenuhi keperluan sumber manusia yang berkualiti untuk pembangunan
negara serta melahirkan masyarakat yang berintegriti. Dengan itu, kita
perlu menubuhkan lebih banyak institusi pendidikan yang kondusif dan
selesa untuk pengajaran dan pembelajaran. Strategi yang harus
digunapakai ialah mempelbagaikan dan memperbanyakkan kemudahan pelajaran
di semua peringkat, dari pra- sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah
hinggalah ke kolej dan universiti.
Kita semua sedia maklum bahawa saiz optimum sebuah sekolah ialah dengan
keluasan tanah 6 ekar, bilangan pelajar tidak melebihi 805 orang, tidak
melebihi 23 bilik darjah dengan bilangan pelajar tidak melebihi 35 orang
satu kelas. Namun begitu, terdapat sekolah-sekolah dengan keluasan tanah
yang kecil tetapi terpaksa menampung beribu-ribu pelajar. Keadaan ini
adalah sangat ketara di kawasan bandar dan bandaraya termasuklah Kuala
Lumpur, Johor Bahru, Petaling Jaya dan lain-lain lagi. Saya ambil SJK(C)
Lick Hung di dalam kawasan Parlimen Kelana Jaya sebagai contoh, di mana
ianya dengan keluasan tanah 3.2 ekar terpaksa menampung seramai 3836
orang murid, 78 kelas dibuka dengan 50 orang satu kelas. Banyak lagi
sekolah menghadapi keadaan yang sama di Daerah Petaling dan
bandar-bandar lain.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa Kerajaan ada berusaha membina
sekolah-sekolah baru, akan tetapi bagi kawasan-kawasan kritikal yang
tersebut di atas, misalan di Daerah Petaling, di mana kadar pertambahan
bilangan murid bagi SJK setiap tahun di antara 1998 hingga 2004, adalah
di dalam lingkungan 7.5% hingga 8.5%, maka untuk menampung keperluan
penempatan murid, mempelbagaikan dan memperbanyakkan kemudahan pelajaran
yang kondusif, tapak-tapak rezab sekolah di kawasan perumahan baru
hendaklah diperuntukkan bagi pembinaan SJK.
Saya percaya, Kerajaan yang jujur, prihatin dan mengutamakan rakyat di
bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, akan memastikan
anak-anak kita dididik dan dibesarkan dalam persekitaran yang kondusif,
membolehkan mereka menjadi warganegara yang berpengetahuan, beretika,
bertanggungjawab dan berkebolehan bagi mencapai taraf hidup yang lebih
baik serta memenuhi kehendak-kehendak negara selaras dengan
prinsip-prinsip Rukunegara.
Tuan Yang Di-Pertua,
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan
kepada Dewan yang mulia ini dan sekali lagi ucapan terima kasih kepada
Tuan Yang Di-Pertua kerana diberi peluang untuk menyokong usul
menjunjung kasih titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
“Berterbangan sekawan rama-rama
hinggap seekor di atas lalang
marilah kita berusaha sama-sama
jadikan negara tercinta cemerlang, gemilang
dan terbilang”
Dengan pantun ini, saya
mohon menyokong usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat bagi Temerloh.
Sekian, terima kasih.
|