|
UCAPAN LOH SENG KOK, AHLI PARLIMEN KAW.
KELANA JAYA
PERBAHASAN TITAH DI-RAJA SEMPENA MESYUARAT
PERTAMA, PENGGAL KEDUA, DEWAN RAKYAT, PARLIMEN KESEBELAS, 31-3-2005 (KHAMIS)
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Terima kasih, Tuan Yang Di-Pertua,
Salam Sejahtera kepada semua.
Terlebih dahulu, saya mengucapkan ribuan
terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua kerana sudi memberi peluang
kepada saya untuk turut membahas titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan
Agong semasa merasmikan Mesyuarat Dewan Rakyat Pertama, Penggal Kedua,
Parlimen kesebelas di Dewan yang mulia ini.
Tuan Yang Di-Pertua,
PERANCANGAN PENGGUNAAN DAN PENYEWAAN
TANAH / TAPAK RIZAB
Titah Yang Di-Pertuan Agong ada menyentuh
tentang pertumbuhan tidak seimbang di kalangan wilayah, antara bandar
dan luar bandar perlu diatasi. Saya berpendapat, salah satu usaha
pengimbangan yang boleh dilaksanakan ialah melalui perancangan
pembangunan jangka pendek atau jangka panjang, yang melibatkan
penggunaan tanah.
Keluasan negara adalah 330,252 kilometer
persegi terdiri dari Semenanjung Tanah Melayu meliputi seluas 131,805
kilometer persegi, serta kawasan pantai barat daya Pulau Borneo (Sabah
73,997 kilometer persegi dan Sarawak 124,450 kilometer persegi).
Sehubungan ini, penggunaan tanah-tanah lapang,
tanah terbiar, tapak rizab untuk sesuatu pembangunan secara berhemat
akan membantu memantapkan pertumbuhan ekonomi negara kita, khususnya
bagi kawasan-kawasan yang perlu pemangkin ekonomi, haruslah diutamakan.
Banyak syarikat pemajuan mempunyai kaki dan
tangan, mata dan telinga, menjalin hubungan dengan agensi kemajuan,
perbadanan, jabatan, khususnya agensi-agensi Kerajaan, untuk mencari
tanah Kerajaan di dalam kawasan komersial dan kawasan perumahan
membangun, dan berharap dapat memperolehi pulangan yang teramat tinggi “very
high return” dengan bayaran premium atau sewa yang rendah untuk
tujuan perniagaan dan kemajuan syarikat masing-masing.
Selain dari mencari peluang mengaut keuntungan
dari guna tanah dalam jangka masa pendek, syarikat-syarikat berkenaan
sepatutnya mempunyai tanggungjawab sosial, iaitu membantu Kerajaan dan
semua golongan masyarakat untuk memperolehi pembangunan seimbang dari
segi pembangunan sumber manusia, pembangunan infrastruktur dan prasarana,
pengujudan peluang-peluang pekerjaan, penggalakan perkembangan industri
atau perusahaan tertentu di kawasan-kawasan yang kurang membangun.
Dalam pada itu juga, pihak agensi Kerajaan
yang mempunyai tanah atau tapak rizab untuk disewa atau pindahmilik
seperti pegawai pengawal yang diberikan mandat, contohnya Pesuruhjaya
Tanah Persekutuan, juga harus mempunyai keprihatinan yang sama semasa
mempertimbangkan sama ada tanah atau tapak rizab berkenaan disewa atau
tukar syarat kegunaan tanah untuk tujuan lain.
Maka, apabila terdapatnya tanah Kerajaan atau
tapak rizab agensi Kerajaan yang belum dibangunkan dan ingin disewakan
atau pindahmilik kepada pihak swasta, ianya hendaklah berdasarkan kepada
kesemua prinsip yang saya cadangkan seperti berikut:
1)
penyewaan ke atas tanah Kerajaan atau
tapak rizab agensi Kerajaan itu hendaklah mendatangkan pulangan optimum
yang manasabah;
2)
penggunaan tanah tersebut hendaklah
tidak bercanggah dengan maksud asal rancangan struktur (Structural
Plan) dan/atau rancangan tempatan (Local Plan).
Sekiranya tidak ada rancangan tempatan, maka Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) hendaklah mempertimbangkan permohonan Kebenaran Merancang
(Planning Approval) mengikut proviso dalam Akta
Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172), tanpa mengabaikan hak-hak
penduduk tempatan untuk terlibat bersama dalam perancangan pembangunan,
bersesuaian dengan kehendak Local Agenda 21 (LA21), dan
mengambilkira impak sosial, impak persekitaran, impak trafik dan
kesihatan, seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 21A, Akta Perancangan
Bandar Dan Desa 1976;
3)
Walaupun kemungkinan penyewaan tanah
itu adalah jangka pendek, penggunaan tanah tersebut hendaklah mempunyai
potensi untuk merangsang pembangunan tempatan dan menjana pertumbuhan
ekonomi tempatan;
4)
The immediate needs,
keperluan segera masyarakat atau komuniti tempatan di mana terletaknya
tapak itu, hendaklah diberi keutamaan, seperti untuk kegunaan rekreasi,
padang dan kemudahan infrastruktur, seperti balai polis, klinik
kesihatan dan lain-lain. Pada masa kini, tahap kawasan lapang dan
rekreasi jauh daripada piawaian perancangan, iaitu tidak mencapai tahap
minima 10% piawaian perancangan kerajaan tempatan;
5)
Jika tanah tersebut telah diwartakan di
bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56), maka prosedur yang
betul harus digunakan untuk pemansuhan warta (degazette),
iaitu berdasarkan kepada Seksyen 64 Kanun Tanah Negara 1965, di mana
“public enquiry” perlu diadakan di bawah Seksyen 24 Kanun
Tanah Negara. Prosedur yang betul diamalkan tidak akan menimbul masalah
dan kontroversi seperti di Hutan Simpanan Bukit Cahaya dan Sg Buloh;
6)
Pemberi milik tanah (alienation
of land) oleh Kerajaan Negeri harus dilakukan mengikut
perancangan yang betul di bawah Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976.
Tuan Yang Di-Pertua,
Dengan memenuhi prinsip-prinsip di atas, maka
penggunaan tanah atau tapak itu membawa semua pihak mencapai suatu
keadaan “Win-Win-Win situation”; yakni agensi Kerajaan
menang kerana tanah belum dibangun itu mendatangkan hasil kepada rakyat
dan Kerajaan, penyewa atau pengusaha masih boleh cari keuntungan dan,
masyarakat tempatan dapat menikmati faedah pembangunan tanah berkaitan.
Dengan hujah di atas, saya ingin menarik
perhatian Dewan ini terhadap tapak-tapak rizab agensi kerajaan, seperti
tapak rizab balai polis.
PEMBINAAN SEGERA BALAI POLIS / IPD
SUBANG JAYA DI TAPAK RIZAB BALAI POLIS USJ 8, SUBANG JAYA
Bagi kawasan-kawasan yang kritikal dari segi
soal keselamatan dan ketenteraman awam, tapak rizab polis hendaklah
dibina prasarana, balai polis dan kemudahan polis dengan segera, dan
bukannya disewa untuk tujuan lain. Contohnya di dalam kawasan
perbandaran dalam kawasan Parlimen Kelana Jaya (saya pernah
membangkitkan isu yang sama dalam persidangan Parlimen pada 30 September
2004). Terdapat sebidang tapak rizab balai polis di Lot 42567, Mukim
Damansara, USJ8, Subang Jaya.
Buat masa kini, hanya terdapat sebuah pondok
polis bersebelahan dengan tapak tersebut dengan kekuatan polis seramai
46 orang sahaja. Kawasan pentadbiran pondok polis ini terbahagi kepada
13 sektor dan meliputi Putra Heights, Alam Megah, Putra Bahagia, Taman
Industri Subang, sebahagian kawasan Shah Alam, USJ 1 hingga USJ 28
Subang Jaya dan jumlah penduduk adalah melebihi 200,000 orang.
Demi keperluan dan kepentingan keselamatan di
kawasan berkenaan, saya berharap balai polis atau Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Subang Jaya dapat dibina segera di tapak rizab balai polis
USJ8 dalam tahun 2005/2006 mengikut konsep Build, Lease and
Transfer (BLT). (Dalam mesyuarat penyediaan cadangan projek
peringkat Daerah Petaling untuk Rancangan Malaysia ke-9 pada 10 Disember
2004, saya telah cadangkan IPD Subang Jaya dibina di atas tapak rizab
balai polis USJ 8) Ini adalah kerana IPD Subang Jaya yang baru
ditubuhkan pada 1 Januari 2005 sedang menyewa bangunan kedai sebagai
pejabat. Sekiranya pembinaan balai polis bagi IPD Subang Jaya secara
BLT tidak dapat dilakukan, maka projek ini hendaklah diberi
keutamaan khas dalam Rancangan Malaysia ke-9.
Tuan Yang Di-Pertua,
KAWASAN LAPANG / TAPAK REKREASI
HENDAKLAH DIWARTAKAN
Menyentuh tentang soal tanah lagi, YAB Dato’
Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 18 Ogos 2003, ketika itu beliau
sebagai Timbalan Perdana Menteri, setelah mempengerusikan mesyuarat
ke-51 National Council for Local Government, menyatakan
keputusan mesyuarat itu bahawa kawasan lapang yang telahpun dikenalpasti
sebagai tapak rekreasi dalam skim-skim
pemajuan perumahan hendaklah diwartakan
(to be gazetted) dan dijadikan sebagai kawasan rekreasi seperti
tujuan asalnya.
Kita dimaklum bahawa banyak tapak yang
diperuntukkan sebagai kawasan lapang dalam rancangan asal pemaju telah
ditukar (converted for development or other purposes)
untuk tujuan pembangunan lain.
Para pemaju tidak boleh menafikan hak penduduk
dari kawasan lapang dan rekreasi yang telah dijanjikan kepada mereka
melalui pengedaran Original Sales Brochure dan
Home-Buyer’s Map. Kerajaan harus mengambil tindakan sewajarnya
supaya kawasan-kawasan lapang dapat kekal sebagai tapak kemudahan
rekreasi. Agensi Kerajaan yang bertanggungjawab, misalannya pejabat
tanah hendaklah memastikan tiada geran tanah berasingan atas kawasan
lapang itu dikeluarkan kepada pemaju selepas projek pemajuan siap
disempurnakan. Pemaju seharusnya menyerahkan tapak kawasan lapang itu
kepada pejabat tanah atau PBT untuk terus diwartakan sebagai tapak
rekreasi.
Kalau tidak, dari masa ke semasa, terdapat
angkara-angkara, usaha-usaha tertentu untuk membuat cadangan pembangunan
dan ini sungguh tidak adil kepada penduduk tempatan di mana ketenteraman
dan kualiti hidup tidak terjamin. Kalau tidak, berapa kalikah Wakil
Rakyat, ahli-ahli sesuatu majlis perbandaran dan PBT dikehendaki
bertengkar, berdebat dan menolak permohonan pembangunan.
KAWASAN SUBANG RIA RECREATIONAL PARK
DIWARTAKAN
Sehubungan itu, tapak yang dinyatakan sebagai
taman rekreasi, seperti di atas Lot 17394, Mukim Damansara, Daerah
Petaling Selangor seluas 29.39 hektar, yang telahpun diberi nama Subang
Ria Recreational Park semenjak projek pemajuan Subang Jaya dimulakan
pada 1970an hendaklah diambil tindakan oleh agensi Kerajaan berkaitan,
PBT, pejabat tanah atau pemaju untuk diwartakan segera mengikut
proviso Seksyen 62, Kanun Tanah Negara.
PERLUASKAN SKOP PROGRAM LATIHAN KHIDMAT
NEGARA
Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan
Agong juga sekali lagi menekankan agar Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
ini akan dapat meningkatkan semangat cintakan negara dan perpaduan di
kalangan remaja yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama..
Kumpulan remaja tanpa mengira jantina yang
umurnya dalam lingkungan 18 tahun disasarkan menyertai PLKN untuk
menanam semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk
perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif
menerusi nilai murni. Para peserta PLKN yang dikehendaki menjalani
latihan selama tiga bulan itu terdiri daripada pelbagai kaum, jantina
dan negeri yang dipilih secara berkomputer.
Akan tetapi, daripada kira-kira 480,000 remaja
sebaya yang layak setiap tahun, hanya 85,000 orang sahaja yang dipilih
untuk menyertai PLKN. Bagaimana pula dengan kebanyakan remaja sebaya
lain yang seumur seramai lebih kurang 400,000 orang? Apa program untuk
mereka yang tidak terpilih?
Menyedari hakikat ini, maka sukacita saya
cadangkan bahawa, dalam usaha Kerajaan mempertingkat dan menambahkan
tenaga jurulatih, prasarana, kemudahan latihan secara berperingkat,
memperkemas dan menambahbaik modul latihan, skop PLKN hendaklah
diperluaskan, iaitu remaja lain diberi peluang menyertai latihan mirip
pasukan seragam dalam sektor kepolisan dan kejururawatan.
Saya yakin, penglibatan sektor kepolisan dan
kejururawatan juga boleh memberi ruang untuk membimbing dan merangsang
remaja ke arah pencapaian matlamat murni PLKN. Di samping itu, saya
yakin, apabila skop PLKN diperluaskan, bukan sahaja lebih ramai remaja
berpeluang menyertai PLKN, mereka juga dapat membuka mata tentang
kerjaya kepolisan dan kejururawatan, ini juga membantu menyelesaikan
masalah kekurangan anggota polis dan jururawat dalam negara kita.
Tuan Yang Di-Pertua,
Dengan ini, saya mohon
menyokong
Sekian, terima kasih.
|