|
UCAPAN LOH SENG KOK,
AHLI PARLIMEN KAWASAN KELANA JAYA (P104) MENYOKONG
USUL MENJUNJUNG KASIH TITAH UCAPAN SPB YANG DI-PERTUAN AGONG XII DI
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KETIGA, DEWAN RAKYAT, PARLIMEN KESEBELAS, 14
& 15-3-2006.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Embargo:
Bahagian-bahagian
teks berkenaan telah diucapkan dalam Dewan Rakyat pada 14hb dan / atau
15hb Mac 2006, dan tertakluk kepada pindaan.
(1)
INTEGRASI NASIONAL
DAN RAKYAT MALAYSIA
(2)
PENGHARAPAN RANCANGAN MALAYSIA KE-9 (RMK-9)
(3)
PENINGKATAN PRODUKTIVITI BAGI MENYERAP KESAN NEGATIF
EKORAN PENARIKAN BALIK SUBSIDI MINYAK
(4)
KEGUNAAN
PENJIMATAN
SUBSIDI MINYAK
& KEYAKINAN RAKYAT
(5)
PENYUSUNAN SEMULA SISTEM
PENGANGKUTAN AWAM
(6)
SUMBER
TENAGA ALTERNATIF
(7)
KPI
PERKHIDMATAN AWAM & SISTEM PENYAMPAIAN
(8)
Industri
Perkhidmatan Air (IPA) & Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara
(SPAN)
(9)
WARISAN
KITA – BUKU TEKS SEJARAH
(10)
BUTIRAN AGAMA DALAM
MYKAD & JABATAN PENDAFTARAN NEGARA
(11)
PERUNTUKAN
& PENYEDIAAN TEMPAT IBADAT SEJAJAR DENGAN
PEMBANGUNAN SEJAGAT
(12)
PEMBATALAN DAFTAR
GEREJA OLEH PENDAFTAR PERTUBUHAN
(REGISTRAR OF SOCIETIES, ROS)
(13)
GARIS PANDUAN
TATACARA MEMBACA DOA & PENUBUHAN JABATAN KEMAJUAN AGAMA
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Terima kasih, Tuan Yang Di-Pertua,
Salam Sejahtera kepada semua.
1. Terlebih dahulu, saya
mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua kerana sudi
memberi peluang kepada saya untuk menyokong usul yang dicadangkan oleh
Yang Berhormat bagi Kuala Pilah, iaitu usul menjunjung kasih titah
ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XII semasa merasmikan
Mesyuarat Dewan Rakyat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen kesebelas di
Dewan yang mulia ini.
2. Rakyat Malaysia amat
bertuah sekali kerana sejak mencapai kemerdekaan, dasar-dasar yang
dilaksanakan oleh Kerajaan telah berjaya menyumbang ke arah pertumbuhan
ekonomi negara dan peningkatan kualiti hidup rakyat. Ini adalah berkat
usaha gigih Kerajaan dengan sokongan padu semua lapisan rakyat jelata.
Biarpun sejak akhir-akhir ini terdapat beberapa kebimbangan akibat
ancaman kesihatan daripada beberapa jenis penyakit seperti SARS, HFM,
“bird flu”, serta serangan keganasan ekstrimis di negara-negara
jiran, namun negara kita terus stabil, menikmati suasana sosio-ekonomi
yang aman dan harmoni.
“Bulan bintang hendak
dipanjat,
Tali sabut siap dipintalkan;
Saya datang membawa hajat,
Hajat rakyat saya utuskan.”
(1)
INTEGRASI NASIONAL
DAN RAKYAT MALAYSIA
3. Isu-isu yang timbul
seperti pertikaian tentang keturunan mangsa “ear squat”,
penyiaran karikatur Nabi Muhammad, dan sebagainya telah menimbulkan
pertanyaan dan kebimbangan rakyat.
Antara persoalan yang
timbul ialah ke mana perginya ketertiban tahun 50an dan awal 60an di
mana integrasi antara kaum direnung dengan rasa nostalgik sebagai lebih
mesra, kerap dan rapat.
4. Misalnya,
dahulu, penuntut-penuntut berlainan kaum dan agama berkongsi satu bilik
hostel, sekarang fenomena ini sudah jarang berlaku. Setelah sekian lama
rakyat kita bersama-sama memerdekakan Malaysia, ada juga di kalangan
kita yang masih lagi membuang masa memperluaskan jurang perkauman dan
bangsa? Integrasi antara kaum sepatutnya sudah jauh dipertingkatkan
sekarang, tetapi apabila kita melihat sekeliling, didapati integrasi
antara kaum agak membimbangkan.
5. Interaksi antara kaum
seolah-olah adalah satu hipokrasi. Sekiranya hipokrasi antara kaum ini
dibiarkan membelenggu tindakan dan fikiran kumpulan-kumpulan kaum, ia
boleh menjadi sebagai sel kanser dalam tubuh yang tidak diketahui bila
masanya akan pecah dan membunuh. Dalam keadaan krisis, hal ini dengan
mudah boleh mencetuskan ketegangan kaum. Sekiranya ini berlaku, maka
segala pembangunan yang dicapai dan dinikmati oleh tanah air kita yang
tercinta ini akan musnah.
6. Tidak dapat
dinafikan bahawa perpaduan tetap menjadi teras pembinaan masyarakat. Memang
bukan mudah untuk menghapuskan konflik kaum dalam konteks Malaysia atas
faktor-faktor yang sedia ada.
Bagaimanapun, segala
pertembungan dan konflik kepentingan kaum-kaum itu akan terus berada
pada tahap terkawal, selagi semua pihak bersikap matang dan rasional, di
samping berfikiran terbuka, kritis dan analitikal.
7. Senario
krisis sosial di negara-negara lain haruslah menjadi renungan yang boleh
membantu pembentukan persepsi positif masyarakat kita terhadap corak dan
masa depan hubungan kaum di negara ini.
Kita sudah disediakan dengan
sebuah masyarakat majmuk. Oleh itu, kita tiada pilihan melainkan membina
kehidupan bernegara yang harmoni.
8. Oleh yang demikian,
pembangunan negara haruslah berpaksikan konsep pembangunan seimbang
iaitu pembangunan ekonomi yang diimbangi dengan pembangunan dan kemajuan
sosial dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual supaya dapat
mencapai matlamat utama pembangunan iaitu kesejahteraan dalam masyarakat
secara keseluruhan. Usaha perlu diambil untuk memperkuat faktor-faktor
seperti kesejahteraan, keharmonian, persefahaman, perkongsian dan
sebagainya yang mendorong anggota masyarakat untuk saling memahami,
bekerjasama dan berkompromi demi mempertahankan kepentingan bersama
dalam merealisasikan masyarakat yang maju dan mantap.
9. Segala usaha perlu
diambil untuk memperkuat sistem sokongan sosial yang sedia wujud,
iaitu sistem keluarga, komuniti, agama, pendidikan dan organisasi sosial.
Kerjasama di kalangan sektor awam dan sektor swasta serta sukarela perlu
dipertingkatkan supaya wujud satu sinergi tenaga dan sumber dalam
masyarakat, berasaskan konsep bahawa pembangunan sosial adalah
tanggungjawab semua.
10. Pencapaian
sebuah negara harmoni yang sebenar hendaklah berpaksi kepada semangat
pengwujudan Perlembagaan yang asal. Pembinaan negara Malaysia
berasaskan Perlembagaan Persekutuan yang berpandukan cadangan Reid
Commission, merangkumi semua hak asasi, kebebasan beragama, hak
pendidikan, hak berkongsi dalam kemajuan negara dan mengambil bahagian
dalam pembangunan ekonomi negara.
11. Setiap
warganegara ialah rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia mempunyai segala ciri
usahasama yang telah diusahakan oleh pengasas-pengasas negara kita
semasa memperjuangkan kemerdekaan. Inilah semangat rakyat Malaysia
yang tersurat dan tersirat di dalam Rukun Negara, ideologi negara
kita. Rakyat Malaysia menjaminkan satu landasan usahasama dan
perkongsian kuasa yang amanah, mesra, adil dan saksama, seperti yang
termaktub dalam Wawasan 2020.
(back to top)
(2)
PENGHARAPAN
RANCANGAN
MALAYSIA KE-9 (RMK-9)
12. Rancangan Malaysia
Ke-8 telahpun sampai ke penghujungnya dan Rancangan Malaysia Ke-9 akan
dicadangkan tidak lama lagi. Yang Di-Pertuan Agong bertitah bahawa RMK-9
hendaklah mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi supaya pertumbuhan dapat
dikekalkan dan kualiti hidup rakyat terus dipertingkatkan.
13. Saya berpendapat,
untuk memastikan adanya kesinambungan dan peningkatan pembangunan, RMK-9
hendaklah berlandaskan agenda Malaysia yang kukuh untuk berkembang
maju sebagai sebuah negara yang mampu berdaya saing secara global pada
abad ke 21 ini.
Penekanan harus diberi
untuk meningkatkan kekayaan ekonomi bagi negara tercinta ini tanpa
mengira kaum, bangsa dan agama. Langkah dan usaha yang dicadangkan
adalah seperti berikut:
a)
Menaikkan taraf pembentukan sumber insan yang berlandaskan ekonomi
berilmu. Meritokrasi perlu diamalkan dalam sistem pendidikan secara
menyeluruh.
b) Suatu rancangan untuk menambah dan menggalakkan penyertaan
rakyat bukan Bumiputera untuk berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam.
Kenaikan pangkat dan saranan untuk kenaikan gaji harus dinyatakan dengan
jelas dan terbuka.
c) Menumpu kepada kekayaan baru dan menambahbaikkan
pertumbuhan bidang ekonomi yang sedia ada.
d) Menjana lebih usaha pemulihan pasaran (market reform),
yang akan membantu Malaysia menuju ke arah pasaran ekonomi yang lebih
liberal.
e) Membantu semua Small-Medium Enterprises (SMEs) yang
perlu untuk perkembangan dan penerokaan perniagaan di luar negara.
f)
Membekalkan bantuan kewangan kepada yang miskin, kurang
upaya dan wargatua. Dalam kes-kes kumpulan yang mengalami masalah
kepincangan ekonomi, sumber-sumber pertolongan boleh disalurkan untuk
pembinaan daya kapasiti.
g) Pembelajaran sepanjang hayat sepatutnya dijadikan satu
tonggak utama dalam pembentukan sebuah negara yang progresif dan berdaya
saing.
Semoga syor-syor di
atas dapat diteliti dan diberi pertimbangan sewajarnya. Sekiranya syor
berkenaan dapat diterima dan dilaksanakan dalam RMK-9, saya yakin
gerabak pembangunan negara dapat bergerak dengan lancarnya di atas
landasan menuju ke arah destinasinya, iaitu stesen Wawasan 2020.
(back to top)
(3)
PENINGKATAN PRODUKTIVITI BAGI MENYERAP KESAN NEGATIF EKORAN PENARIKAN
BALIK SUBSIDI MINYAK
14. Langkah
Kerajaan Malaysia dalam mengurangkan subsidi minyak telah dianggap
menambahkan beban hidup rakyat.
Walau bagaimanapun, jika
dipandang dari sudut ‘sustainability of resources’, langkah ini
perlu diambil.
Ini adalah selaras dengan wacana Malaysia untuk menjadi sebuah negara
yang kompetitif secara global.
15. Malaysia
tidak boleh berharap untuk menjadi negara yang kompetitif jika kita
hanya mampu bereaksi kepada ‘global market forces’, dan, dalam
masa yang sama mengenakan halangan pasaran atau ‘market restrictions’
yang mengubahsuai atau ’distort’ pasaran ekonomi tempatan kerana
mahu memenuhi keperluan tempatan.
16. Sehubungan
ini, subsidi dan kaedah harga kawalan sudah ketinggalan zaman dalam
sebuah ekonomi yang dirancang atau ‘managed economy’. Malaysia
sedang bergerak ke arah sebuah pasaran ekonomi bebas, secara langsung
Kerajaan juga wajar mengkaji semula pengurusan keseluruhan mekanisma
harga atau ‘pricing mechanism’.
17. Tidak dapat
dinafikan cara pengurusan mekanisma harga selama ini telah menyumbang
kepada pembangunan negara kita. Akan tetapi, ia mulai kehilangan
keberkesanannya di dalam konteks ekonomi global. Disebabkan jurang
perbezaan dalam ’disposal incomes’ rakyat yang ketara, maka
subsidi tidak sesuai di terima pakai lagi sebagai suatu ‘blanket
assistance’ kepada rakyat kini. Ini akan
mengakibatkan
tumpuan bantuan ekonomi terpesong dari mereka yang benar-benar
memerlukan kepada mereka yang berada & kaya.
18. Percambahan
efisiensi dan produktiviti amat penting untuk membanteras kesan dari
pengurangan subsidi. Peningkatan produktiviti mesti menyerap kesan
ekoran penarikan balik subsidi bagi mengelakkan peningkatan harga
disebabkan oleh ketidakseimbangan dalam pasaran.
19. Pengawalan
harga juga telah dipraktikkan dalam ekonomi lama kerana tiada mekanisma
yang dapat mengawal perubahan harga dengan penggunaan subsidi. Prinsip
yang sama adalah penting sebagaimana subsidi, pengawalan harga mesti
diberikan ruang untuk penyesuaian ke dalam sistem ekonomi. Ini perlu
untuk mengembalikan keseimbangan dalam harga keseluruhan di sesebuah
ekonomi. Adalah sangat merbahaya jikalau pengawalan harga dimansuhkan
tiba-tiba, dan ini akan membebankan rakyat yang tiada kapasiti untuk
membuat penyelarasan terhadap kejutan dalam sistem tersebut.
20.
Peniaga-peniaga mesti dibenarkan untuk menyelaraskan harga barangan
mereka secara ’gradual’ atau perlahan kerana ’the squeezing
effect’ daripada pengurangan subsidi dan kehadiran harga terkawal
mati akan mengakibatkan ketidakseimbangan harga dan ekonomi
keseluruhannya. Ketidakseimbangan akibat daripada penarikan subsidi masa
ini masih belum ditangani dengan berkesan.
21.
Ketidakseimbangan yang berlaku boleh memaksa peniaga-peniaga undur dari
perniagaan dan kejatuhan keseluruhan industri-industri yang terlibat
contohnya, industri simen, pemborong-pemborong, operator bas.
Industri-industri ini memainkan peranan penting untuk memastikan
perjalanan ekonomi yang lancar. Sebaliknya, sebarang impak negatif boleh
membawa kesan riak (ripple effect) ke atas ekonomi dan
pertumbuhan negatif dalam bidang yang lain.
22.
Ketidakseimbangan polisi harga akan secara tidak langsung menghasilkan
perniagaan yang lebih monopolistik dan oligopolistik. Ini adalah kerana
perniagaan yang besar menikmati kelebihan hasil daripada ‘economies
of scale’ untuk menahan impak daripada penarikan balik subsidi.
23.
Kesimpulannya, penjimatan daripada penarikan balik subsidi mesti
digunakan untuk membantu golongan miskin dan menaiktarafkan
infrastruktur dengan menjana pertumbuhan baru.
Sumber-sumber untuk
kesejahteraan rakyat mesti dikendalikan dengan adanya ‘transparency
and accountability’.
24. Kerajaan seharusnya
fokus terhadap tenaga sumber manusia dan modal sebagai salah satu kunci
untuk pengembangan produktiviti pada masa hadapan.
Pasaran bebas mesti
dibenarkan untuk penentuan sumber-sumber yang paling cekap itu digunakan
dalam ekonomi. Ini selaras dengan perubahan pasaran liberal untuk
menjana keberkesanan ekonomi.
25. Kerajaan
berperanan untuk mewujudkan satu mekanisma ekonomi yang sesuai daripada
hanya menumpu kepada keseimbangan harga yang sepatutnya berdasarkan
pergerakan harga pasaran, bukan pengurusan mikro atau ’micro
management’. Kepincangan dalam sesuatu pasaran bebas seharusnya
ditangani melalui program khusus untuk pembasmian kemiskinan dan ‘capacity
building’ dalam sumber tenaga manusia.
26. Malaysia
sedang bergerak dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan dan ini tidak
boleh diteruskan dengan pembahagian aset-aset dan sumber-sumbernya
melalui penggunaan kaedah lama.
(back to top)
(4)
KEGUNAAN
PENJIMATAN
SUBSIDI MINYAK
& KEYAKINAN RAKYAT
27. Apabila pengurangan
subsidi minyak diumumkan 2 minggu lepas, YAB Perdana Menteri telah
memberi jaminan bahawa kenaikan harga runcit sebanyak 30 sen bagi petrol
dan diesel hanya untuk sekali bagi sepanjang tahun ini. Kenaikan ini
membolehkan Kerajaan berjimat kira-kira RM4.4 bilion bagi tahun 2006.
Jikalau penjimatan ini diserap untuk perbelanjaan dalam Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK-9), bermakna negara dapat berjimat kira-kira lebih RM20 bilion bagi 5 tahun yang akan datang.
28. Untuk meredakan orang
ramai tentang kenaikan harga tersebut, pihak Kerajaan seharusnya
melaporkan secara terperinci bagaimana penjimatan sebanyak RM4.4 bilion
tersebut akan digunakan.
Kerajaan perlu
meyakinkan masyarakat bahawa wang tersebut tidak akan disalurkan untuk
projek-projek yang tidak mendatangkan manfaat.
29. Untuk
mengukuhkan lagi pendirian bahawa pengurangan subsidi tersebut merupakan
pemulangan secara tidak langsung kepada masyarakat, Kerajaan juga perlu
melaporkan ekoran pengurangan subsidi pada tahun-tahun lepas, bagaimana
penjimatan berbilion ringgit telah digunakan? Maklumat ini adalah
mustahak untuk meyakinkan orang ramai bahawa inisiatif Kerajaan ini
sebenarnya mempunyai manfaat / faedah jangka panjang (long term
benefit).
(Peruntukan untuk
pelaksanaan penyusunan semula pengangkutan awam di Lembah Kelang bagi
tahun 2005 ialah RM252 juta dan RM750 juta bagi tahun 2006).
30. Apa yang
terpenting kini ialah meningkatkan sistem pengangkutan awam yang sedia
ada supaya dapat memenuhi kehendak dan keperluan rakyat keseluruhan.
31. Satu kajian
harus dilaksanakan dengan serta merta untuk meneliti segala kelemahan
dan kekurangan dalam sistem pengangkutan awam kita dan cara-cara untuk
mengatasinya.
(back to top)
(5)
PENYUSUNAN SEMULA SISTEM
PENGANGKUTAN AWAM
32. Sistem
transit aliran ringan di bawah STAR dan PUTRA adalah antara
langkah-langkah yang menggalakkan yang diambil oleh Kerajaan dalam
memperbaiki sistem pengangkutan awam. Walaubagaimana, sistem transit
aliran ringan ini masih gagal untuk mengatasi masalah pengangkutan
awam disebabkan kegagalan penguatkuasaan sistem berintegrasi.
Kebaikan sistem transit aliran ringan hanya dikecapi oleh segelintir
rakyat di beberapa destinasi di Lembah Kelang.
Fakta-fakta sokongan adalah
seperti berikut:-
a)
Tiada cadangan untuk
melanjutkan perkhidmatan sistem transit aliran ringan di beberapa
kawasan perumahan yang berpendudukan tinggi seperti di Cheras, Kepong,
Selayang, Subang terutamanya di kawasan-kawasan Utara.
b)
Tiada cadangan untuk
melanjutkan perkhidmatan sistem transit aliran ringan di antara
Putrajaya dan tempat lain untuk membolehkan rakyat yang perlu berurusan
dengan agensi Kerajaan. Kerajaan telah memindahkan kebanyakan
kementerian dan agensinya ke Putrajaya, adakah Kerajaan mengambilkira
tentang kos yang perlu ditanggung oleh rakyat dengan jarak yang begitu
jauh jika ingin berurusan dengan Kerajaan setiap hari?
Kerajaan perlu
mempertimbangkan untuk mengadakan sistem yang sama iaitu Express Rail
Link (ERL) yang kini menghubungkan KLIA dengan KL Sentral.
c)
Sistem transit
aliran ringan ini masih tidak berkesan tanpa sokongan daripada satu
sistem berintegrasi iaitu bas-bas “feeder”. Jadual perjalanan
bas-bas ini ditetapkan oleh syarikat pengangkutan swasta yang
mengutamakan keuntungan. Rungutan pengguna terhadap sistem transit
aliran ringan yang tidak diintegrasikan dengan sistem bas feeder yang
berkesan telah diketengahkan semenjak sistem ini dimulakan. Walau
bagaimanapun, tiada langkah positif diambil.
d)
Sistem
pengangkutan awam juga telah gagal untuk mengambilkira
perkhidmatan-perkidmatan dalam kalangan warga universiti di seluruh
negara. Peningkatan penggunaan kenderaan persendirian oleh pelajar
universiti dan kolej telah meningkat semenjak 1997. Di samping
meningkatkan kos perbelanjaan ibubapa dalam membiayai pendidikan
anak-anak mereka, ia turut menimbulkan beberapa masalah sosial.
Kebanyakan pelajar universiti dan kolej merupakan remaja yang masih
belum sedar akan tanggungjawab mereka semasa berada di jalanraya.
Berikutan itu, nahas jalan raya yang melibatkan remaja telah semakin
meningkat kebelakangan ini.
33. Akhirnya
dasar dan polisi kerajaan dalam pelaksanaan satu sistem pengangkutan
awam yang berkesan adalah bergantung kepada ko-ordinasi yang baik di
antara agensi-agensi Kerajaan. Seumpamanya di kawasan Kuala Lumpur,
terdapat beberapa agensi Kerajaan yang terlibat dalam pengurusan sistem
pengangkutan awam. DBKL berfungsi sebagai unit pengurusan dan rancangan
pengangkutan awam di kawasan Bandar. Kementerian Pengangkutan berfungsi
sebagai unit utama dalam rancangan pengangkutan awam untuk keseluruhan
negara. Selain daripada itu, Kementerian Pengangkutan juga
menguatkuasakan polisi, garis panduan berkenaan dengan pengurusan dan
rancangan sistem pengangkutan awam negara.
|
Federal
Government /Local
Government Tier |
Departments related to transportation |
|
Prime Minister’s Department |
Ø
Economic Planning Unit
Ø
Federal Territory Development & Klang Valley
Planning Division
|
|
Ministry of Home Affairs |
Ø
Royal Malaysian Police
|
|
Ministry of Works
|
Ø
Public Works Department
Ø
Highway Planning Unit
Ø
Malaysian Highway Authority
|
|
Ministry of Transport |
Ø
Road Transport Department
Ø
Department of Railways
Ø
Railway Asset Corporation
|
|
Ministry of Entrepreneur Development |
Ø
Commercial Vehicle Licensing Board
|
|
City Hall Kuala Lumpur |
Ø
Urban Transportation Department
Ø
Public Works Department
Ø
Enforcement Directorate |
Source:
Information Book: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 1993. Dealing with the
Malaysian Civil Servant –2nd edition Pelanduk Publication (M)
1994
34. Terdapat
pertindihan dan duplikasi tugas serta fungsi di antara agensi-agensi
Kerajaan
berkenaan dengan sistem pengangkutan awam di kawasan Kuala Lumpur. Hal
ini mungkin akan menimbulkan masalah ko-ordinasi dan perancangan sistem
pengangkutan awam yang konsisten.
34a. Adalah
dicadangkan bahawa struktur organisasi agensi-agensi kerajaaan ini
dikemaskinikan supaya dasar dan polisi pengangkutan awam yang
berkenaan dapat dirancangkan dengan teliti dan lancar.
35.
Pengawalseliaan berpusat ini adalah penting kerana rangka kawal selia
masakini adalah masih tidak bersepadu, dengan lebih daripada 10 agensi
Kerajaan yang terlibat dalam penggubalan dasar, perancangan, pelesenan
dan penguatkuasaan.
35a.
Mengemaskinikan struktur organisasi agensi-agensi Kerajaan adalah perlu
dijalankan dengan mewujudkan satu pengawalseliaan berpusat, untuk
memberi perhatian khusus kepada usaha mengintegrasi dan memajukan sistem
pengangkutan awam bandar Lembah Kelang secara menyeluruh.
(back to top)
(6)
SUMBER
TENAGA ALTERNATIF
36. Saya juga
mengambil kesempatan ini untuk merujuk kepada Bajet (budget) tahun 2006
yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri. Di bawah tajuk
“Mempelbagaikan Sumber Tenaga”, di bawah Strategi Ke-4 : Meningkatkan
Kesejahteraan Dan Kualiti Hidup Rakyat, Kerajaan merancang untuk
memulakan rancangan adunan biofuel pada tahap 5% minyak sawit diproses
dan 95% minyak diesel untuk digunakan secara percubaan dalam usaha
meringankan pergantungan kepada petroleum. Piawaian 'diesel baru' ini
akan dibangunkan oleh SIRIM. Apakah status rancangan Kerajaan dalam
perkara ini? Ini adalah penting memandangkan kenaikan harga minyak
mentah.
37. Dalam
pembentangan bajet 2006 juga, Kerajaan telah merancang 3 loji bio-fuel
untuk pasaran eksport. Bagaimana pula pasaran domestik? Apakah rancangan
Kerajaan untuk menjual produk bio-fuel dalam pasaran tempatan?
38. Sehubungan
dengan ini, di dalam program SREP (Small Renewable Energy Power
Programme – 11 May 2001), Kerajaan bercadang melanjutkan taraf
perintis daripada 70% kepada 100% selama 10 tahun dan kadar elaun cukai
pelaburan daripada 60% kepada 100% selama 5 tahun. Di samping itu,
pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan yang
digunakan dalam aktiviti berkenaan dilanjutkan sehingga 31 Disember
2010. Sudahkah cadangan Kerajaan tersebut dilaksanakan? Apakah tahap
sambutan industri terhadap cadangan tersebut? Dan apakah tahap sumbangan
sektor SREP tersebut kepada industri janakuasa sekarang? Selain
daripada itu, apakah usaha lain oleh Kerajaan untuk menggalakkan
pembangunan sektor SREP?
39. Program SREP
adalah untuk sektor janakuasa sehingga 10 megawatt. Sehubungan itu, saya
ingin tahu apakah galakan Kerajaan kepada pembangunan sektor loji
janakuasa lebih daripada 10 megawatt. Bagaimana pula polisi Kerajaan
dalam milikan ekuiti saham oleh pelabur asing di dalam syarikat SREP dan
juga dalam loji janakuasa lebih daripada 10 megawatt yang menggunakan
bahan kuasa yang boleh diperbaharui (renewable resources) seperti
bio-fuel, bio-mass, solar dan hidro. Adakah bahagian pegangan pelaburan
asing terhad kepada 30% sahaja?
40. Memandangkan
sektor ini melibatkan teknologi canggih yang mungkin tidak dipunyai
Malaysia, adalah wajar Kerajaan membenarkan pelabur asing mengambil
bahagian ekuiti lebih daripada 30% sebagai galakan pindahmilik teknologi
’renewable energy’ kepada Malaysia.
(back to top)
(7)
KPI
PERKHIDMATAN AWAM & SISTEM PENYAMPAIAN
41. Saya
mengambil kesempatan di sini untuk menyeru Dewan ini mengalu-alukan
serta memuji Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar berikutan
ucapan beliau pada majlis Perasmian Seminar Ketua Polis Daerah baru-baru
ini. Menurut beliau, PDRM tidak memerlukan pegawai dan anggota yang
tidak berpengetahuan dalam melaksana dan menguatkuasakan undang-undang.
Beliau juga berkata bahawa jika seseorang pegawai dan anggota gagal
berubah untuk memenuhi kriteria tersebut adalah wajar mereka berhenti
dan mencari pekerjaan lain.
42. Titah ucapan Yang Di-Pertuan
Agong juga menyatakan usaha-usaha PDRM kini dapat meningkatkan tahap
kecekapan, integriti dan profesionalisme mereka yang natijahnya
membolehkan rakyat menikmati keamanan dan kedamaian.
43. Namun Yang Di-Pertuan
Agong juga berasa bimbang kerana terdapat laporan antarabangsa yang
menonjolkan kelemahan dan kekurangan sistem penyampaian Kerajaan dalam
konteks mengukuh kedudukan dan daya saing negara.
44. Sesungguhnya Kerajaan
ingin mewujudkan satu perkhidmatan awam yang cemerlang dan bertaraf
dunia, yang memenuhi kehendak dan cita rasa pelanggan, baik dalam
kalangan rakyat mahu pun dari luar negara.
Sikap terbuka Ketua
Polis Negara patut diteladani oleh semua ahli-ahli perkhidmatan awam
negara kita, termasuklah ketua-ketua setiausaha, ketua-ketua pengarah
dan anggota-anggota pentadbiran seperti menteri dan timbalan menteri.
45. Dengan itu,
selain daripada pelaksanaan sistem Key Performance Index (KPI)
dalam agensi-agensi awam dan syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan,
Government Linked Companies (GLC), saya mencadangkan agar sistem
KPI tersebut juga dilaksanakan ke atas pegawai-pegawai tinggi
perkhidmatan awam dan anggota-anggota pentadbiran. Ini disebabkan ’accountability’
atau bertanggungjawab itu adalah ciri yang mustahak dalam perkhidmatan
awam. Pengharapan rakyat ialah pegawai dan anggota berkenaan berkhidmat
secara profesional dengan penuh komitmen bagi memastikan penyampaian
perkhidmatan yang cekap, adil dan berkualiti.
(back to top)
(8)
Industri Perkhidmatan Air (IPA) & Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara
(SPAN)
46. Lebih kurang
72% keluasan bumi dikelilingi dengan lautan, iaitu air. 28% dari bumi
adalah daratan. 10% daripada jumlah keluasan
daratan diliputi dengan air yang menjadi beku, iaitu ais, seperti di
Kutub Utara dan Kutub Selatan. Kita dikelilingi air. Air adalah sumber
semula jadi yang perlu dinikmati oleh semua hidupan.
47. Air merupakan
keperluan asas bagi semua hidupan di muka bumi ini. Tetapi daripada
jumlah air di bumi, dikatakan hanya 3% sahaja yang boleh digunakan oleh
tumbuhan, haiwan dan manusia. Air memainkan peranan penting dalam tubuh.
Lebih 70% daripada tubuh manusia terdiri daripada air. Jika seseorang
itu tidak minum air selama empat hari, beliau akan menghadapi maut.
48. Penduduk dunia
dianggarkan 6 billion orang dan 1.1 billion orang daripada jumlah itu
tidak mendapat bekalan air bersih, manakala 2.4 billion pula tidak dapat
menggunakan sistem sanitasi yang sempurna. Menjelang tahun 2025,
dianggarkan bahawa dua orang dari setiap tiga orang penduduk dunia akan
menghadapi masalah bekalan air bersih.
49. Sejak akhir-akhir ini,
isu kekurangan air bersih yang berkualiti telah menjadi masalah di
beberapa negara, termasuk negara kita.
Contohnya, negara China telah
dilanda “bencana padang pasir” (dust storm) dan keadaannya
semakin teruk. Mengikut kajian yang dibuat oleh negara China, bencana
habuk “dust storm” berlaku di Beijing setiap 7-8 tahun satu kali
sejak 1950-an, setiap 2-3 tahun satu kali di 1970-an, dan telah menjadi
tiap-tiap tahun sekali sejak 1990-an.
50. Keadaan ini telah
mengakibatkan masalah kemarau di kawasan berkenaan. Keluasan kawasan
yang dilanda masalah kemarau juga semakin luas.
51. Di negara kita,
masalah kekurangan air juga semakin ketara. Misalnya, negeri Selangor
dijangka akan mula mengalami kekurangan air pada tahun 2007/8. Oleh itu,
projek Pemindahan Air Mentah di antara Negeri Pahang - Selangor difikir
perlu dilaksanakan dan dijangka siap pada tahun 2011. Projek yang
dianggar menelan perbelanjaan sebanyak RM3.8 billion ini melibatkan
pembinaan terowong sejauh 45 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa.
Dijangka selepas penyempurnaan projek itu maka kawasan Selangor, Kuala
Lumpur dan Putrajaya akan mendapat bekalan air yang berterusan.
52. Akan tetapi, dengan
terbinanya terowong ini, adakah masalah perkhidmatan air akan
diselesaikan secara menyeluruh? Belum pasti lagi.
53. Memang tidak
dapat dinafikan bahawa pembangunan tidak mampan, pemusnahan alam sekitar
dan kekurangan penguatkuasaan undang-undang serta ketidakpatuhan
perundangan perancangan telah menyebabkan kualiti air dan keupayaan
untuk pembekalan air terjejas dan ini seterusnya mengakibatkan suatu
ancaman serius terhadap ekonomi, kestabilan, kesihatan, keselamatan
populasi dan kemasyhuran Malaysia.
54. Baru-baru
ini, satu krisis ancaman kesihatan telah berlaku apabila tahap ammonia
di Sungai Selangor telah mencapai satu peringkat berbahaya pada kadar
9.2 mg seliter (Piawaian oleh Kementerian Kesihatan ialah 1.5mg/l). Ini
bermakna standard itu tidak sesuai sama sekali untuk diminum oleh
manusia mahu pun binatang.
55. Melainkan
satu tindakan drastik diambil tanpa was-was dan tanpa pilih kasih untuk
memperbetulkan keadaan demi kepentingan rakyat, jika tidak, lambat laun
kita akan mengalami satu krisis yang akan menggugat kestabilan negara.
56. Oleh kerana pelbagai
permasalahan yang timbul berkaitan dengan sumber dan bekalan air, maka
Jadual Kesembilan dan Jadual Kesepuluh kepada Perlembagaan Persekutuan
dipinda pada tahun lepas. Selain daripada menjadikan bekalan dan
perkhidmatan air dan pemeliharaan warisan perkara bersama Kerajaan
Persekutuan dan Kerajaan Negeri, pindaan telah dibuat dengan harapan
agar Kerajaan Persekutuan perlu mengurus, mengawal selia industri air
dan melesen pengendali air dengan pendekatan yang fokus dan seragam.
57. Bagi maksud ini, suatu
badan pusat bertaraf suruhanjaya akan kemudiannya ditubuhkan dan suatu
undang-undang persekutuan tentang industri perkhidmatan air akan
diperbuat di dalam Dewan yang mulia ini.
58. Sebelum Rang
Undang-undang (RUU) Industri Perkhidmatan Air (IPA) dan RUU Suruhanjaya
Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dibentangkan dalam Dewan ini, sukalah
saya menyampaikan beberapa pandangan yang merupakan suara rakyat untuk
perhatian Dewan yang mulia ini, dan menggesa Kementerian berkaitan dan
Jabatan Peguam Negara semasa mengemaskini kedua-dua RUU itu, hendaklah
mengambilkira rintihan rakyat.
59. Walaupun banyak aspek
dalam RUU berkaitan dengan perkhidmatan air boleh dibicarakan, saya
hanya ingin menarik perhatian Dewan memberi fokus kepada satu aspek
sahaja iaitu: Kepentingan Rakyat & Perlindungan Pengguna.
60. Berlainan dengan
hidupan tumbuhan dan haiwan, sumber air yang digunakan oleh manusia
hendaklah terlebih dahulu dipastikan kebersihan dan keselamatannya. Maka,
hendaklah ditetapkan bahawa pihak operator hanya boleh membekalkan
air secara berterusan yang memenuhi piawaian atau standard kualiti
air yang ditetapkan.
61. Memandangkan pihak
operator akan diberi hak untuk membuat kutipan, memotong bekalan air
dalam keadaan-keadaan tertentu, mengambil tindakan sivil atau
undang-undang terhadap pengguna di mahkamah, maka hak yang sedemikian
rupa perlu diberi kepada pengguna juga.
62. Orang awam
perlu mempunyai hak untuk mendapatkan pampasan sekiranya pemegang lesen
air gagal untuk mematuhi undang-undang yang mewajibkan mereka
mengikutinya sepanjang masa. Hanya melalui hak dan tindakan pengguna
sahaja yang membolehkan Kerajaan dan rakyat bekerjasama secara efektif
untuk meneliti dan memastikan kesempurnaan pembekalan air memberi
manfaat kepada seluruh negara.
63. Dengan itu, sekiranya
pihak operator gagal membekalkan air bersih yang memenuhi piawaian
kualiti air secara berterusan, maka pengguna boleh menuntut ganti
rugi daripada pihak operator. Ganti rugi yang dituntut oleh pengguna
bolehlah ditentukan oleh mahkamah atau Tribunal Tuntutan Pengguna.
64. Di samping itu,
standard kualiti air yang minimum hendaklah tersurat di dalam
undang-undang dengan jelasnya. Walau bagaimanapun, standard kualiti
air boleh diperincikan di dalam peraturan yang akan ditetapkan oleh
SPAN, dengan syarat perincian dibuat hanya untuk mempertingkatkan
standard kualiti air.
65. Caj atau bayaran
perkhidmatan bekalan air yang akan dikenakan kepada pengguna merupakan
perkara yang dikuatiri oleh semua lapisan masyarakat. Kebiasaannya
apabila sebuah syarikat swasta mendapat konsesi perkhidmatan, seperti
yang berlaku dalam bidang lebuhraya bertol, sudah ditentukan dalam
tempoh tertentu boleh buat semakan tarif oleh pihak konsesi pengendali
dan bayaran akan dinaikkan. Kalau tidak dibenarkan kenaikan, Kerajaan
kena membayar pampasan kepada syarikat berkenaan. Bagaimanapun, akhirnya
rakyat juga yang kena tanggung kerana hasil pendapatan Kerajaan datang
daripada pengguna yang menjadi pembayar cukai.
66. Untuk memastikan pihak
operator sentiasa memastikan bekalan air yang tersedia ada (availability)
dan berkekalan (sustainability) untuk jangka masa panjang, pihak
operator dikehendaki mengemukakan rancangan perniagaan boleh pinda (rolling
plan) bagi tempoh setiap 3 atau 5 tahun dan terbuka kepada tatapan
rakyat. Selepas pelaksanaan rancangan perniagaan boleh pinda itu
terbukti berhasil dan efektif, barulah cadangan tarif disemak dibenarkan,
dan bukannya minta semakan tarif semasa mengemukakan rancangan
perniagaan boleh pinda.
67. Oleh itu, sungguhpun
ada ura-ura mencadangkan supaya kadar tarif air antara negeri
diseragamkan, memandangkan struktur kos pembangunan bekalan air adalah
berbeza mengikut negeri, maka penyeragaman kadar tarif mungkin tidak
dapat dilakukan.
68. Pada hemat saya, sama
ada kadar tarif air diseragamkan atau tidak, hal ini tidak begitu
mustahak. Yang mustahak ialah kadar maksima yang boleh dikenakan oleh
pihak operator. “There must be a price ceiling for the water
service provided” yang tersurat dalam undang-undang. Ini
dikatakan ketelusan untuk mendapat keyakinan rakyat terhadap penggubalan
RUU berkenaan, bukannya sekadar tersirat di dalam perjanjian konsesi
yang semakan boleh dibuat dan operator boleh menuntut kenaikan kadar
tarif sewenang-wenangnya.
69. Kita dimaklumkan
bahawa selepas perwujudan SPAN, sebuah badan industri sebagai forum
industri yang bernama Forum Air akan ditubuhkan. Adalah disyorkan
keanggotaan adalah benar-benar mewakili kepentingan pengguna, dan
bukannya pengendali industri. Daripada 6 tujuan yang dicadangkan sebagai
asas penubuhan Forum Air oleh Kerajaan, 5 tujuan menyentuh tentang
kepentingan pengguna.
i.
memberi maklum balas dan
membuat syor kepada SPAN mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan
kepentingan pengguna;
ii.
untuk mewakili
kepentingan pengguna;
iii.
untuk memajukan
kepentingan pengguna berhubung dengan tarif dan standard perkhidmatan;
iv.
untuk mengenalpasti dan
mengkaji semula perkara-perkara yang menyentuh kepentingan pengguna dan
memastikan pihak operator menyedari dan responsif terhadap kebimbangan
mengenai perkhidmatan mereka;
v.
untuk membuat publisiti
tentang kewujudan, fungsi dan kerja Forum Air dalam melindungi
kepentingan pengguna;
vi.
apa-apa fungsi yang
ditentukan oleh Suruhanjaya.
70. Maka keanggotaan Forum
Air yang bakal ditubuhkan hendaklah mempunyai perwakilan kepentingan
pengguna dalam erti kata yang sebenarnya.
Oleh yang demikian, perlulah jelas dalam RUU bahawa Forum Air
merupakan satu badan pengguna dan bukan badan industri.
71. Kita mengalu-alukan
cadangan penubuhan suatu “sinking fund” atau Kumpulan Wang
Industri Air bagi maksud perbelanjaan seperti berikut:
i.
perlindungan dan
pemuliharaan alur air dan kawasan tadahan air;
ii.
memastikan kekekalan
bekalan air daripada alur air;
iii.
peningkatan kualiti air
di alur air;
iv.
penyediaan perkhidmatan
air dan pembetungan di kawasan pembangunan luar bandar; atau
v.
apa-apa maksud lain yang
ditentukan oleh Menteri.
72. Saya mencadangkan agar
dimasukkan satu lagi maksud perbelanjaan Kumpulan Wang Industri Air demi
kepentingan pengguna iaitu kumpulan wang itu boleh digunakan sebagai
perbelanjaan kapital yang diperlukan untuk menggantikan paip air.
Ini boleh mengelakkan operator dari menuntut kenaikan tarif dengan
alasan pengguna perlu bayar lagi untuk penggantian paip air yang sudah
tentu menelan kos yang tinggi.
73. Contoh fakta kos: Aset
fizikal perkhidmatan air di Negeri Selangor (April 2005) sahaja: 15,400
km saluran paip air, 867 kolam air dan tangki air, 285 unit kenderaan,
314 stesen pam booster, 10 pejabat daerah, 16 stor, 1 bengkel, (200 km)
200,000 meter paip air berumur melebihi 7 tahun yang memerlukan
penukaran / penggantian (tidak termasuk 30,000 meter paip tidak dapat
dibaca kerana terletak di dalam premis pengguna).
74. Program penggantian
paip SYABAS (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd) tahun 2005 di 10
daerah ialah 835km dengan anggaran kos RM272 juta, manakala
dikenalpasti sehingga setakat ini, jumlah paip yang perlu diganti
sepanjang tempoh konsesi ialah 6,000km (Anggaran jumlah kos RM1.95
billion).
75. Dengan fakta kos
penggantian paip di atas, bagi mengelak operator memindahkan kos itu
daripada menjadi beban rakyat dan pengguna, maka adalah wajar Kumpulan
Wang Industri Air juga digunakan untuk maksud membiayai projek
penggantian paip.
76. Sebagai rumusan dalam
soal air, perkhidmatan bekalan air bersih berkualiti hendaklah
dikendalikan sebagai satu projek pembangunan masyarakat yang boleh
dinikmati oleh semua rakyat, termasuklah masyarakat bandar, luar bandar
dan pedalaman, golongan yang kurang upaya dan berpendapatan rendah.
Adalah diharap semua perkara
yang dibincangkan di atas dapat diambil kira dan dimasukkan sebelum RUU
yang berkaitan dibawa ke dalam Dewan yang mulia ini untuk pertimbangan.
(back to top)
(9)
WARISAN
KITA – BUKU TEKS SEJARAH
77. Matlamat
pengajaran sejarah di sekolah bukan semata-mata untuk megetahui kisah
silam / asal usul (origins) kita, tetapi lebih pentingnya, untuk
mengetahui bagaimana zaman sekarang diwujudkan. Keutamaan mata pelajaran
sejarah seharusnya bertumpu kepada makna sezaman isu-isu sejarah dan
tauladan yang boleh dipelajari daripadanya.
Oleh itu, pembelajaran sejarah
mesti membina pemikiran yang kritis dan memupuk prinsip dasar-dasar
tentang masyarakat dan negara kita.
78. Dalam konteks
Malaysia, ajaran sejarah adalah bertujuan untuk memastikan perpaduan
nasional dan kemakmuran masyarakat berterusan.
79. Malaysia merupakan
suatu masyarakat pelbagai bangsa, kaum dan agama. Oleh itu, buku teks
sejarah memainkan peranan yang penting untuk memelihara keseimbangan
dalam usaha pembangunan negara.
80. Walau bagaimanapun,
mata pelajaran sejarah masa kini :-
i. Tidak memadai
untuk mewujudkan pemikiran yang kritis; atau
ii. Tidak mengandungi
pemahaman seimbang yang luas tentang sumbangan bangsa-bangsa lain dalam
perkembangan negara. Misalnya, gerakan melawan penaklukan Jepun semasa
Perang Dunia Kedua digambarkan sebagai suatu usaha orang Melayu saja,
manakala peranan orang Cina dan India telah diabaikan; atau
iii. Tidak memberi pemahaman
yang mendalam tentang pembentukan tamadun-tamadun lain untuk mewujudkan
semangat bersaing di samping keharmonian masyarakat, misalnya, dalam
kurikulum sejarah Tingkatan 1 – 5, tamadun Cina atau India hanya
disentuh sepintas lalu.
81. Buku teks sejarah yang
sedia ada ini bukan kurang tepat, tetapi adalah kurang lengkap atau
menyeluruh.
82. Malaysia,
majoriti penduduk adalah beragama Islam dapat hidup dengan aman damai
bersama-sama dengan bilangan penduduk pelbagai agama yang amat ketara.
Malaysia sering dipandang sebagai sebuah negara yang sederhana dan
progresif.
83. Pemahaman
tentang budaya dan agama lain serta amalan-amalannya adalah penting agar
generasi muda kita menghargai kekayaan pelbagai budaya dan agama di
masyarakat kita. Ini penting untuk melahir dan membina guna tenaga
manusia yang mampu menyahut cabaran berdaya saing secara global.
84. 5 daripada
10 bab dalam buku teks mata pelajaran sejarah Tingkatan 4 sekarang
tertumpu kepada tamadun Islam. Ketidakseimbangan dalam penyampaian
maklumat ini harus diseimbangkan supaya tidak terjejas peluang bagi
generasi muda untuk memahami dan menghargai tamadun-tamadun agama dan
budaya lain, di samping membuka minda untuk menerima idea-idea baru.
85. Daripada
peristiwa pentadbiran Malayan Union yang telah mendorong gerakan
nasionalisme Melayu, kita mengakui usaha Kongress Melayu pada tahun 1946
dan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu untuk menyatukan kaum
Melayu, demi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.
86. Sesungguhnya,
tidak dapat dinafikan juga usaha sama kaum Melayu, Cina dan India serta
perikatan UMNO, MCA dan MIC yang telah memaparkan kekentalan semangat
juang untuk mencapai kemerdekaan negara kita.
87. Selepas 48
tahun mencapai kemerdekaan, kita dibelenggui sekali lagi dengan cabaran
luar yang dipanggil globalisasi – satu percubaan sekali lagi yang
menguji keteguhan perpaduan negara kita. Murid-murid dan generasi muda
hendaklah dilengkap dan disediakan untuk menghadapi cabaran baru ini.
Buku-buku teks sejarah kita mesti mengiktiraf dan memaparkan kebenaran
warisan daripada perjuangan nenek-moyang kita.
88. Sejarah
mestilah mendedahkan perihal galakan, sokongan dan hormat-menghormati
sesama kita, tanpa mengenepikan jasa bakti semua kaum dan masyarakat,
agar ianya menjadi pengajaran untuk merangsang kita terus bersatupadu
menentang cabaran yang baru ini. Dalam konteks itu, penekanan yang
seimbang harus diberi demi memperihalkan sumbangan yang telah diberikan
oleh semua yang terlibat.
89. Kesimpulan:
Kita harus mengkaji semula kurikulum mata pelajaran sejarah di peringkat
sekolah menengah, peringkat pendidikan tinggi misalnya di kolej-kolej
swasta (e.g. Malaysian Studies), buku-buku teks yang digunakan
untuk penilaian dan ujian kakitangan perkhidmatan awam – untuk
memastikan ketepatan penterjemahan, penghuraian yang lengkap tentang
peristiwa-peristiwa dan fakta-fakta sejarah.
90. Pemilihan
isi kandungan mata pelajaran oleh Pusat Perkembangan Kurikulum mestilah
lebih seimbang dan menggambarkan masyarakat majmuk yang sebenarnya;
90a. Kualiti dan
mutu buku teks yang dicetak mesti dinaikkan taraf, misalnya dari segi
taraf kandungannya, teks-teks rujukan akademik yang digunakan, kualiti
cetakan dan gambarajah yang terkandung dalam buku-buku teks sejarah.
91. Penguji di
Lembaga Peperiksaan Malaysia juga mesti terdiri daripada pelbagai bangsa
dan seimbang untuk memastikan bahawa kandungan dalam soalan dan jawapan
untuk kertas-kertas peperiksaan mencerminkan objektif dan hasrat
pengajaran sejarah dalam pembentukan negara (nation building).
92. Dalam erti
kata lain, isi kandungan mata pelajaran sejarah mestilah mempunyai
kepelbagaian untuk membekalkan minda anak-anak kita dengan pengetahuan,
ilmu, dan fakta yang boleh memahami sejarah dengan menyeluruh, secara
rasional, kritikal dalam era globalisasi yang begitu kompetitif dan
dalam masa yang sama dapat menghayati semangat rakyat Malaysia yang
jati.
92a. `Fakta
Warisan’, sebuah paparan yang diterbitkan di muka depan Utusan Malaysia
adalah suatu contoh yang baik di mana fakta sejarah dari pelusuk dunia
dikongsi bersama untuk penghayatan pembaca-pembaca. Ini patut dipuji
kerana menyumbang kepada penyebaran fikiran rakyat.
(back to top)
(10)
BUTIRAN AGAMA DALAM
MYKAD & JABATAN PENDAFTARAN NEGARA
93. Mengenai isu kesilapan
butiran agama dalam Mykad, prosedur semasa yang digunakan oleh Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN): Tidak perlu mengemukakan dokumentasi untuk
membuktikan agama seseorang, cuma mengisi Borang A dan membuat pindaan
atau pembetulan butiran agama dalam Mykad.
94. Bayaran penalti RM20
untuk pembetulan tersebut jika ianya adalah kesilapan pemohon (contoh,
tidak memberikan maklumat terkini semasa permohonan), manakala tiada caj
jika kesilapan dilakukan oleh pegawai JPN.
95. Masalah yang kini
dihadapi oleh para pemohon:
i. Ramai pegawai tidak
peduli keputusan tersebut dan melengahkan tugas pengurusan mereka;
ii. Prosedur pengurusan
yang tidak konsisten di mana bayaran penalti untuk menggantikan
Mykad berbeza antara RM20 hingga RM50;
iii. Keengganan pegawai
untuk memberi salinan cetakan data peribadi;
iv. Secara teknikal, pegawai
JPN tempatan tiada kuasa untuk mengubah maklumat peribadi dalam
sistem, tetapi sesetengah pegawai menunjukkan bahawa mereka boleh
berbuat demikian.
96. Dari segi bukti
kesilapan, rakyat menghargai keputusan JPN kerana tidak mengenakan
bayaran penalti terhadap pemohon bagi kesilapan yang disebabkan oleh
pegawai JPN. Namun demikian, ia adalah sukar untuk mengemukakan bukti
sebegini. Satu-satunya bukti adalah borang permohonan. Soalannya,
bolehkah / sudikah pegawai mengeluarkan permohonan asal untuk pengesahan?
97. Begitu juga, seseorang
rakyat akan memohon Mykad pada umur 12 atau 18 tahun atau atas sebab
program baru Kerajaan (new exercise) tertentu. Maka, JPN harus
menyedari bahawa mengemaskini maklumat adalah penting kerana maklumat
peribadi seperti alamat, agama dan sebagainya mungkin berubah selepas
suatu tempoh masa.
98. Seringkali, JPN silap
mengandaikan bahawa seorang Cina itu semestinya beragama Buddha, seorang
India beragama Hindu, dan sebagainya.
99. Cadangan
penambahbaikan ialah rakyat diberi tempoh kelonggaran / simpati (grace
period) antara tiga hingga enam bulan, tanpa bayaran penalti
untuk membetulkan kesilapan butiran agama. Pihak JPN juga hendaklah
menyediakan borang yang sesuai untuk mengemaskini data peribadi.
(back to top)
(11)
PERUNTUKAN
& PENYEDIAAN TEMPAT IBADAT SEJAJAR DENGAN PEMBANGUNAN SEJAGAT
100. Setiap
pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan di negara ini sewajarnya
dipastikan selari dengan usaha penerapan nilai-nilai murni yang menuju
ke arah pembentukan masyarakat madani dan pembangunan mampan.
Justeru itu, usaha dan inisiatif
untuk membentuk suatu perancangan dan pembangunan yang berteraskan
nilai-nilai murni ini seharusnya diberi keutamaan dan disambut baik bagi
perwujudan petempatan-petempatan manusia.
101. Garis panduan
perancangan dan pembangunan sejagat yang bermatlamatkan ke arah
mewujudkan keseimbangan antara pembangunan fizikal, pembangunan alam
sekeliling dengan pembangunan insan dan sahsiah itu haruslah diikuti dan
dilaksanakan.
102. Sehubungan ini, sebagai
sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk, peruntukan dan
penyediaan tempat ibadat bukan Islam hendaklah tidak diabaikan dan
kemudahan tertentu dibolehkan seperti kuil, gereja dan tokong
berfungsi sebagai tempat melaksanakan penyembahannya. Tempat beribadat
bukan Islam juga boleh berfungsi sebagai pusat sivik, tempat
perjumpaan, pertemuan dan perbincangan serta sebagai salah satu
institusi pembangunan masyarakat dan negara.
103. Kita mengalu-alukan
projek mendirikan sebuah gereja di Putrajaya yang mana suatu
pertandingan sedang diadakan menjemput orang ramai untuk mengetengahkan
cadangan rekabentuk.
Kini kita menunggu
keputusan pertandingan ini serta pembinaan bangunan ini yang kelak pasti
akan menyerikan lagi keindahan Putrajaya.
104. Penyediaan
ruang sebagai tempat beribadat sebenarnya adalah selaras dengan
usaha-usaha Kerajaan untuk mencapai Wawasan 2020 dalam membentuk
masyarakat yang bertamadun tanpa mengabaikan nilai akhlak dan moral yang
tinggi. Pada 22 April 2000, Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan telah
meluluskan Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Sejagat, Jabatan
Perancangan Bandar Dan Desa, Semenanjung Malaysia (Piawaian Perancangan
JPBD 4/2000), dengan peruntukan tempat dan penyediaan ruang ibadat bukan
Islam hendaklah ditepati dan dipenuhi, berdasarkan kepada prinsip
Perancangan Tempat Ibadat Bukan Islam, Lokasi Perletakan, Nisbah
Kepadatan dan sebagainya, seperti yang telah dipersetujui.
105. Akan tetapi,
sehingga sekarang, pihak perancang bandar dan para pemaju telah
mengabaikan peruntukan garis panduan tersebut. Banyak golongan agama
tidak diberi petempatan yang sesuai untuk sembahyang. Oleh itu,
penguatkuasaan yang tegas perlu dijalankan agar pemaju perumahan dan
agensi berkaitan membuat perancangan dan pemajuan mengikut ketetapan,
dan merizabkan tapak ibadat bukan Islam di kawasan pemajuan baru.
106. Pada masa yang
sama, memandangkan juga segala hasil pendapatan negara adalah usaha sama
dan sumbangan cukai rakyat Malaysia yang berbilang budaya dan agama,
peruntukan kewangan daripada Kerajaan hendaklah diberi secara adil dan
saksama untuk pembinaan dan penyelenggaraan tempat-tempat ibadat semua
agama utama di negara kita. Pengagihan peruntukan sekurang-kurangnya
hendaklah selaras dengan nisbah kaum.
107. Semasa pengisytiharan
Rukun Negara pada Hari Merdeka tahun 1970 oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong
ke-4, salah satu prinsip yang ditegaskan ialah
“Islam is the official
religion of the Federation. Other religions and beliefs may be practiced
in peace and harmony and there shall be no discrimination against any
citizen on the ground of religion.”
108. Dengan itu, penyediaan
ruang dan tempat beribadat serta pemberian peruntukan kepada semua
golongan agama hendaklah dilaksanakan oleh Kerajaan tanah air ini.
(back to top)
(12)
PEMBATALAN DAFTAR
GEREJA OLEH PENDAFTAR PERTUBUHAN (REGISTRAR OF SOCIETIES, ROS)
109. Suatu pertubuhan yang
mendaftar dengan ROS adalah tertakluk kepada Akta Pertubuhan 1966. Namun,
kita mesti sedar bahawa pertubuhan dibolehkan tidak perlu menggunakan
undang-undang dan peraturan tertentu yang tidak sesuai.
110. Masalah yang dihadapi
oleh para gereja dan pertubuhan agama hari ini: Terdapat aduan bahawa
ROS boleh membatalkan pendaftaran sesebuah gereja atau pertubuhan agama
tanpa memberi peluang kepada kononnya yang bersalah untuk penjelasan
atau mengesahkan permasalahannya.
111. Sebuah gereja, yang
bermaksud menjaga kesejahteraan jiwa manusia, telah dibatalkan
pendaftaran baru-baru ini atas sebab-sebab, seperti
1. Kekeliruan dalam
keahliannya
2. Tidak mempamerkan
notis mesyuarat-mesyuarat umumnya
3. Menerima keahlian
pelajar-pelajar kolej tanpa kebenaran Naib Canselornya
112. Cadangan: Pegawai ROS
harus meneliti dan berhati-hati (discreetly) apabila ingin
membatalkan pendaftaran sesuatu pertubuhan, terutamanya organisasi
agama.
113. Pertubuhan berkenaan
sepatutnya diberi peluang untuk mengenali masalah dan memperbaikinya,
kerana tiada sesiapa yang sempurna.
114. Dalam kes yang
melibatkan organisasi agama, ROS sepatutnya membuat rundingan yang
sesuai bersama dengan ketua agama berkenaan sebelum mengambil sebarang
tindakan. Dalam kes gereja yang dibatalkan pendaftarannya kerana aduan
daripada orang bukan ahli gereja. Sepatutnya tidak ada tindakan harus
diambil terhadap pertubuhan itu kecuali aduannya dibuat oleh ahli-ahli
pertubuhan itu.
(back to top)
(13)
GARIS PANDUAN
TATACARA MEMBACA DOA & PENUBUHAN JABATAN KEMAJUAN AGAMA
115. Kemerdekaan negara kita
adalah hasil perjuangan bersama semua kaum yang berpegang pada prinsip
perpaduan, permuafakatan dan persefahaman. Segala usaha Kerajaan untuk
memperkenalkan peraturan atau dasar baru dalam aspek pembangunan
masyarakat serta pembinaan insan yang bermoral dan berakhlak mulia,
perlulah mematuhi peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan agar
menghormati kebebasan hak beragama kaum masing-masing, di samping
memahami kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
116. Kerajaan perlu mendorong
dialog yang sihat antara penganut agama, serta prihatin tentang
sensitiviti agama khususnya dalam kalangan para pegawai pelaksana. Isu
agama boleh menjadi positif dan juga negatif, justeru perlu menonjolkan
persamaan nilai yang universal antara agama.
117. Baru-baru ini, saya
mendapati bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang
menyediakan Garis Panduan Tatacara Membaca Doa untuk seluruh negara.
Saya difahamkan oleh pegawai JAKIM bahawa garis panduan tersebut adalah
dijadikan panduan dan digunapakai oleh semua orang, agensi Kerajaan dan
swasta di majlis-majlis rasmi dan separuh rasmi.
118. Kerja-kerja penyediaan
garis panduan itu dilakukan tanpa konsultasi, rujukan atau rundingan
dengan wakil agama-agama lain, termasuklah pemimpin-pemimpin
Malaysian Consultative Council for Buddhism, Christianity, Hinduism and
Sikhism.
119. Cara ini bercanggah
dengan prinsip-prinsip penghormatan, persefahaman, permuafakatan,
ketelusan yang digalakkan oleh Kerajaan dan pemimpin negara untuk
dipraktiskan khususnya oleh pegawai-pegawai sektor awam.
120. Perkara ini hendaklah
berlandaskan persefahaman antara agama dan dihalusi segera oleh Kerajaan
demi mempertahankan status negara kita yang kaya dengan kepelbagaian
bangsa, agama dan budaya hidup yang dihormati oleh dunia sejagat.
121. Lanjutan daripada itu,
sebagai langkah pengiktirafan kepada agama-agama lain, mematuhi prinsip
kebebasan hak beragama mengikut Perlembagaan Persekutuan, maka pelan
tindakan pragmatik menggalak dan memupuk persefahaman serta hubungan
harmoni rakyat berbilang agama perlu bermula dari sektor awam.
Dengan itu, mungkin sudah tiba masanya untuk saya mencadangkan kepada
Kerajaan agar ditubuhkan Jabatan Kemajuan Agama-agama di Malaysia (JAKAM).
122. JAKIM selama ini telah
berjaya mengurus dan mengendalikan hal ehwal Islam dengan baik (lebih
kurang 60% daripada jumlah penduduk yang beragama Islam). Hal ehwal
kerohanian bagi lebih kurang 40% penduduk negara ini yang bukan beragama
Islam perlu dititikberatkan dan dipelihara. Mereka merupakan sumber
manusia yang amat signifikan dan tak ternilai untuk pembangunan negara
juga, di samping mereka juga merupakan penyumbang utama kepada
pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial negara ini.
Maka, Jabatan
Kemajuan Agama-agama lain di Malaysia (JAKAM) hendaklah juga ditubuhkan
dan bertanggungjawab serta berfungsi mengikut rujukan bidang kuasa (term
of reference) seperti JAKIM untuk agama-agama bukan Islam.
123. Bagi mengurus hal ehwal
yang ada hubung kait antara agama, JAKAM dan JAKIM boleh sentiasa duduk
semeja, di bawah satu bumbung, berganding bahu untuk menyelia dan
mengendali perkara-perkara yang perlu.
(back to top)
KESIMPULAN
124. Biarpun apa jua usaha
dan dasar Kerajaan, pihak-pihak yang terlibat dalam sistem pelaksanaan
terutamanya kakitangan Kerajaan mestilah penuh yakin dengan Kerajaan dan
melaksanakan tugas mereka dengan gigh, cekap, beramanah tanpa
diskriminasi supaya matlamat pembangunan dapat terlaksana.
125. Semoga dengan usaha,
ikhlas dan jujur serta kerjasama daripada semua lapisan masyarakat,
dapatlah melahirkan masyarakat majmuk Malaysia yang bersatu, di samping
berkeyakinan, bermoral, beretika tinggi. Secara tuntasnya, diharapkan
rakyat Malaysia dapat hidup dalam suasana liberal, demokratik, penyayang
dan harmoni. Matlamat ini hanya dapat direalisasikan melalui pengukuhan
dan penghayatan terhadap identiti kebangsaan, perwujudan integrasi
nasional, pembangunan sumber manusia dan masyarakat berbudaya tinggi.
126. Saya percaya, Kerajaan
yang jujur, prihatin dan mengutamakan kepentingan rakyat di bawah
pimpinan YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, akan terus berusaha
mewujudkan persekitaran yang kondusif, membolehkan rakyat menjadi
warganegara yang berpengetahuan, beretika, bertanggungjawab dan
berkebolehan bagi mencapai taraf hidup yang lebih baik serta memenuhi
kehendak-kehendak dan aspirasi negara selaras dengan prinsip-prinsip
Rukun Negara.
127. Saya merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan yang mulia ini dan sekali lagi
ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua kerana diberi peluang
untuk menyokong usul menjunjung kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda
Yang Di-Pertuan Agong.
“Perigi jarang mencari timba,
Pijat bersarang merata
tempat;
Rakyat jelata kebanggaan
negara,
Kegemilangan harapan seluruh
rakyat”
“Hajat sudah saya sampaikan,
Harapan kini menumpahi
kerajaan;
Sama-sama kita usahakan,
Hajat tertunai menuju
kegemilangan.”
128. Dengan pantun ini, saya
mohon menyokong usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat bagi Kuala
Pilah.
Sekian, terima kasih.
|