PERBAHASAN OLEH YB
LOH SENG KOK, AHLI DEWAN RAKYAT KAWASAN KELANA JAYA (P.104) PADA 19
APRIL 2006 (Rabu), ATAS USUL DIBUAT OLEH YAB PERDANA MENTERI
MENGENAI RANCANGAN MALAYSIA KE-9.
Tuan Yang Di-Pertua,
Saya bangun untuk mengambil
bahagian dalam membahaskan usul yang dikemukakan oleh YAB Perdana
Menteri mengenai Rancangan Malaysia Ke-9.
Sebelum saya teruskan, oleh
kerana ramai rakan dalam Dewan ini pernah mengatakan suara saya kurang
jelas kerana ada sedikit kekurangan rekabentuk kedudukan dalam Dewan ini.
Kedudukan kerusi saya berada di selekoh, dan mikrofon berada di sebelah
kiri. Mengikut Peraturan Mesyuarat 35(1), saya kena mengarahkan ucapan
kepada Tuan Yang Di-Pertua yang berada di sebelah kanan saya.
Oleh itu, saya mohon agar
pihak pentadbiran Dewan mengambil perhatian dan tindakan segera agar
mikrofon di sini dipindah pasang ke sebelah kanan dan menggunakan
mikrofon yang boleh dilaraskan (adjustable) mengikut ketinggian
seseorang.
Tuan Yang Di-Pertua,
Rancangan Malaysia
Kesembilan (RMK-9) yang bertema Bersama Ke Arah Cemerlang, Gemilang &
Terbilang merupakan satu rancangan yang ingin memberi manfaat kepada
semua lapisan masyarakat kerana penekanan utama adalah kepada
pembangunan sumber manusia dan pembangunan fizikal. RMK-9 memetakan
strategi-strategi pembangunan negara ini untuk tempoh 2006-2010.
RMK-9 perlu mengandungi
langkah-langkah yang cukup radikal bagi membawa Malaysia ke tahap
pembangunan yang lebih mantap seterusnya menghala wawasan 2020.
Langkah-langkah ini perlu mengambil kira perubahan pantas lanskap global
dan perlu memastikan negara kita kekal dengan daya persaingan yang
tinggi dalam persekitaran dunia yang semakin mencabar.
Tuan Yang Di-Pertua,
Cadangan Insentif
Bagi Pemberi Sumbangan Kepada Sekolah
Modal insan negara yang
berkualiti merupakan elemen paling kritikal dalam pencapaian Misi
Nasional. Pembangunan modal insan harus
dilakukan secara holistik melalui pendidikan, latihan, pembelajaran
sepanjang hayat dan agama. Pendidikan wajib di peringkat rendah yang
dilancarkan Kerajaan pada tahun 2003 merupakan langkah bijak bagi
memastikan setiap warganegara dapat menikmati pelajaran peringkat rendah
.
Bagi mencapai matlamat
pendidikan wajib ini, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk
menyediakan kemudahan-kemudahan pendidikan yang cukup dan baik bagi
setiap rakyatnya. Kelengkapan seperti sekolah-sekolah, guru terlatih,
buku-buku dan sebagainya perlu diutamakan.
Pendidikan yang berkesan
bermula dari kanak-kanak dan berterusan sehingga dewasa. Kerajaan mesti
komited bagi mengurangkan buta huruf dewasa sebanyak 50% menjelang 2015.
Tuan Yang Di-Pertua,
Sejumlah RM45.1 bilion akan
diperuntukkan dalam tempoh RMK-9 untuk melaksanakan pelbagai program
pendidikan dan latihan (Jadual 11-8, m/s 273, RMK-9,). Antaranya,
sebanyak RM4.84 bilion telah diperuntukkan kepada sekolah rendah sebagai
peruntukan pembangunan, berbanding dengan RM5.37 bilion pada RMK-8 yang
menunjukkan penyusutan sebanyak RM0.53 bilion (9.9%). Penyusutan
peruntukan ini agak emeranjatkan memandangkan bilangan pelajar sekolah
rendah bertambah dari 2.91 juta pada tahun 2000, 3.04 juta pada 2005 ke
3.20 juta pada tahun 2010.
Di samping itu, dalam RMK-8, perbelanjaan
Kementerian Pelajaran adalah RM24.17 bilion berbanding peruntukan
pembangunan dalam RMK-9 hanyalah RM16.96 bilion dan sasaran Inisiatif
Pembiayaan Swasta (PFI) ialah sebanyak RM6.24 bilion.
Mengikut deklarasi pendidikan di Dakar pada 25
April 2000, (NGO Declaration on Education
for All, International Consultation of Non-Governmental Organizations,
Dakar 25 April 2000), Kerajaan
digalakkan membelanjakan sebanyak 6% daripada GNP untuk pendidikan.
Pendidikan yang bermutu bermula dengan
prasarana yang baik. Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan bagi
menyediakan tempat pelajaran yang mencukupi bagi pendidikan peringkat
rendah. Pembinaan sekolah yang baru
di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi seperti sekitar Lembah
Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru, penambahan pembinaan bilik darjah
di sekolah yang sedia ada serta peruntukan kewangan yang sama rata harus
dipergiat dan disalurkan dengan secepat mungkin. Pembinaan sekolah
rendah yang baru sebanyak 180 buah di seluruh pelusuk negara
dalam RMK-9 amat dialu-alukan. Namun demikian, Kerajaan kena
mengambil kira sumbangan dan pembinaan sekolah kebangsaan, SJKC dan
SJKT. Sekolah-sekolah baru semua aliran perlu dibina di kawasan
berkepadatan penduduk tinggi dan terbuka untuk pilihan pelajar seperti
sistem kemasukan yang sedia ada.
Tuan Yang Di-Pertua,
Pembangunan modal insan
seharusnya ditumpukan pada segenap lapisan tanpa mengira agama,
keturunan atau sekolah perantaraan. Masalah kekurangan guru, bilik
darjah dan/atau buku yang menjejaskan proses pelajaran harus
diselesaikan dalam RMK-9. Komitmen Kerajaan untuk memperkasakan dasar
pendidikan negara pada semua sekolah adalah perlu, agar negara kita
sentiasa bersedia menghadapi cabaran menjelang tahun 2020. Ketrampilan
Negara Cina sebagai sebuah gergasi ekonomi dunia dan kemaraan Negara
India pada masa terdekat dalam pasaran dunia di zaman globalisasi ini
berkehendakan rakyat Malaysia mempunyai pemandangan dunia (World
View), tidak mempunyai sikap berkubu, dan sentiasa meletakkan diri
dalam senario antarabangsa.
Oleh yang demikian, Kerajaan
kita khasnya Kementerian Pelajaran harus menitikberatkan kesaksamaan
dari segi mutu kemudahan pelajaran di semua peringkat dari sekolah
rendah, menengah sehingglah ke peringkat pengajian tinggi, kesaksamaan
ini termasuklah kepada golongan kurang upaya (OKU), dan keturunan
minoriti.
Selain daripada peruntukan
Kerajaan, penyertaan sektor swasta dan persendirian memainkan peranan
yang penting dalam usaha membina modal insan. Sebagai contoh, dua
syarikat suratkhabar telah berusaha mengumpul dana pendidikan semenjak
dua dekad yang lepas, mereka menganjurkan pementasan amal sebanyak 10
hingga 15 kali setahun bagi mengumpul sumbangan kewangan orang ramai,
dua syarikat berkenaan berjaya mengumpul purata sebanyak RM12 - RM15
juta bagi membantu 20 - 25 buah sekolah setiap tahun (Nanyang Siang Pau
dalam tempoh lebih kurang 20 tahun telah berjaya mengumpul derma untuk
institusi pendidikan melebihi RM269 juta; manakala Sin Chew Jit Poh
mengumpul derma melebihi RM147 juta dalam tempoh 12 tahun).
Kerja-kerja amal sebegini
harus diberi insentif oleh Kerajaan agar lebih banyak institusi swasta,
organisasi atau perseorangan tampil membantu Kerajaan dalam usaha
meningkatkan prestasi pendidikan.
Tuan Yang Di-Pertua,
Bagi mencapai objektif ini terutama pencapaian
PFI sebanyak RM6.24 bilion, Kerajaan perlu memberi imbuhan tertentu bagi
menggalakkan orang ramai membuat sumbangan kepada usaha penambahbaikan
sistem pendidikan amnya dan sekolah-sekolah pelbagai aliran.
Insentif-insensif seperti berikut dicadangkan:
1. Permotongan
atau Pengecualian cukai
Permotongan cukai berganda
pada jumlah yang disumbangkan kepada mana-mana sekolah harus
dikuatkuasakan. Kerajaan harus membenarkan syarikat swasta atau
perseorangan mendapat potongan cukai berganda pada sumbangan kewangan
mereka kepada sekolah, langkah ini bukan sahaja dapat meringankan beban
Kerajaan dalam meningkatkan infrastruktur sekolah, malahan menggalakkan
semangat penyayang sektor swasta dan tanggungjawab kemasyarakatan.
2. Penawaran
bayaran bunga pembankan yang berpatutan
Tawaran bunga (interest) yang
berpatutan (kurang daripada kadar bunga semasa di pasaran) harus
diberikan kepada syarikat / perseorangan yang membuat sumbangan kewangan
yang melebihi sesuatu jumlah minima setiap tahun (misalnya: RM1 juta
setahun bagi syarikat) boleh dilaksanakan.
3. Keutamaan
pembaharuan lesen atau memanjangkan jangkamasa pulangan pinjaman
Semasa memperbaharui lesen perniagaan,
Kerajaan boleh memberi keutamaan kepada syarikat yang memberi sumbangan
kepada sekolah-sekolah. Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk
menggalakkan syarikat pembankan memanjangkan jangkamasa bayar balik
pinjaman bagi mereka yang menderma kepada pembinaan dan penambahbaikan
sekolah.
4. Pengecualian cukai pada tanah sekolah
sumbangan pihak swasta
Semua tapak pembinaan sekolah rendah baru dan/atau
yang sedia ada harus dikecualikan daripada cukai tanah dan cukai harta.
Di samping itu, selain dari tapak rizab sekolah seperti yang dikehendaki
dalam syarat pemajuan, bagi tapak tambahan untuk sekolah yang disumbang
oleh sektor swasta, pihak pemberi tapak tanah patut diberi insentif
dalam bentuk pengecualian cukai dengan mengambilkira nilai semasa tapak
berkenaan.
5. Pemberian
Taraf Pengecualian Cukai kepada sekolah rendah
Pemberian kemudahan pengecualian cukai kepada
semua sekolah rendah dan badan yang berhubung kaitnya seperti Lembaga
Pengurus Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), secara
langsung tanpa kerenah birokrasi yang menyulit dan melambatkan usaha
pungutan dana pembangunan sekolah. Ini adalah memandangkan bahawa
badan-badan tersebut dikehendaki memberi bantuan kewangan untuk
penambahbaikan dan pembangunan sekolah seperti yang diperuntukkan dalam
Akta Pelajaran 1996.
Tuan Yang Di-Pertua,
Sesunguhnya saya amat menyokong usaha
pembinaan modal insan negara, bagi menghasilkan insan yang berguna untuk
membawa negara mencapai negara maju seperti yang dirancangkan. Saya
bangga Kerajaan begitu proaktif bercadang mendirikan sekolah bagi
pekerja asing di Sabah, namun demikian, keutamaan harus diberi kepada
anak watan yang sedang dan akan belajar di sekolah pelbagai aliran untuk
menuntut ilmu yang tiada batasannya.
Tuan Yang Di-Pertua,
Pariti Kuasa Beli
(PPP) menyelaraskan Pendapatan Isi Rumah
Saya mengalu-alukan usaha
Kerajaan bersungguh-sungguh mengurangkan jurang kekayaan di kalangan
rakyat Malaysia bagi mencapai pariti pendapatan.
Keluaran Dalam Negara Kasar
(GDP) per kapita Malaysia bertumbuh pada purata 7.1% mencapai RM18,489
atau USD4,904 pada 2005. Namun, ketika ia diselaraskan dengan kos sara
hidup Malaysia, GDP per kapita berdasarkan PPP meningkat dua kali ganda
kepada USD10,318 pada tahun 2005. Dengan itu, dari segi PPP yang
menyelaras GDP per kapita, taraf kehidupan kita adalah kira-kira satu
suku daripada taraf hidup Amerika Syarikat dan satu pertiga daripada
taraf hidup Jepun.
Mengikut nisbah pendapatan
isi rumah, sejak 1990, kaedah sukatan pendapatan isi rumah antara etnik
yang kini digunakan menunjukkan ketaksamaan antara Bumiputera dan Cina
telah berubah-ubah daripada 1:1.74 sehingga setinggi 1:1.83 pada 1997
semasa krisis kewangan Asia. Sepanjang tahap pemulihan ekonomi kita
antara 2002 dan 2004, perbezaan pendapatan isi rumah telah menurun
daripada 1:1.80 ke 1:1.64. Bagi Bumiputera dan Indian, ia juga telah
menurun daripada 1:1.42 pada 1999 ke 1:1.27 pada 2004. Hampir dalam
tempoh yang sama, kejadian kemiskinan juga telah menurun secara
konsisten daripada 8.5% pada 1999 sehingga 5.7% pada 2004. Sementara
kemiskinan bandar telah meningkat daripada 11.9% ke 14.1% antara 1999
hingga 2004.
Akan tetapi, yang
menariknya adalah dalam tempoh yang sama antara 1999 dan 2004, Koefisien
Gini (Pekali Gini, iaitu indeks mengukur ketidaksamaan) keseluruhannya
telah meningkat daripada 0.452 ke 0.462.
Corak pendapatan isi rumah
Malaysia boleh diringkaskan seperti berikut;
a) perbezaan antara kaum
sedang menurun
b) kejadian kemiskinan
keseluruhannya juga sedang menurun
c) kejadian kemiskinan
bandar lebih jarang di kawasan bandar tetapi ia sedang meningkat
d) Koefisien Gini sedang
meningkat
Perangkaan tersebut
mempunyai implikasi tentang kebimbangan kita terhadap peningkatan
Koefisien Gini kita, faktor penyebab utama peningkatan Koefisien Gini
bukannya kerana perbezaan antara etnik memandangkan ianya telah menurun.
Ia semestinya disebabkan peningkatan perbezaan dalaman etnik,
ketidaksamaan kawasan dan peningkatan kemiskinan bandar.
Sehubungan itu, saya
mencadangkan supaya perbezaan pendapatan isi rumah di kalangan rakyat
dikaji semula untuk mendapatkan gambaran yang lebih sempurna dan
seimbang terhadap pengagihan kekayaan dalam negara. Selepas 8 rancangan
Malaysia 5 tahun, ini adalah kali pertama pendapatan isi rumah
disasarkan untuk parity / persamaan pendapatan di kalangan berbilang
kaum, sementara sebelum ini, tumpuannya adalah 30% ekuiti Bumiputera.
Sekiranya dasar persamaan
pendapatan telah beralih daripada ekuiti kepada pendapatan isi rumah,
seperti yang tersirat dalam Rancangan Malaysia Ke-9, maka ia adalah
munasabah untuk Rakyat memahami sepenuhnya terhadap prinsip sukatan
ketidaksamaan.
Maka, saya mencadangkan
kita menggunakan PPP yang dikenali secara antarabangsa sebagai
metodologi untuk membandingkan taraf kehidupan, yang lebih adil dan
sempurna. Walaupun penggunaan kaedah penyelarasan PPP akan mengabaikan
faktor kadar pertukaran dalam kes ini, tetapi ia boleh diubahsuaikan
dengan mengambil kira kelainan dalam kadar inflasi antara kawasan
pedalaman dan bandar, cara hidup, sewa, penggadaian rumah, dan semua ini
harus diambil kira apabila membandingkan perbezaan pendapatan isi rumah.
|