|
USUL dicadangkan oleh LOH SENG KOK, AHLI DEWAN RAKYAT
KAWASAN KELANA JAYA sempena MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KETIGA, PARLIMEN
KE-11, TAHUN 2006 (21 Ogos 2006 - 13 Disember 2006)
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
1) Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan mencadangkan:-
“Menyedari hakikat bahawa wujudnya kekeliruan tentang
cadangan membina pusat latihan Sukan Prestasi Tinggi di London yang
dijangka akan menelan berjuta-juta ringgit yang melibatkan wang pembayar
cukai;
Dan menyedari hakikat bahawa sekolah di negara kita
menjadi gedung yang terdekat, mudah dan berkesan, mengumpulkan anak-anak
muda untuk menjalankan latihan sukan tetapi masih kekurangan kemudahan
padang, dewan serbaguna dan peralatan yang sesuai untuk latihan sukan;
Maka dengan ini Dewan ini membuat ketetapan menangguhkan
cadangan membina pusat latihan sukan di London dan bajet yang akan
dicadangkan untuk pembinaan prasarana sukan di luar negeri itu digunakan
untuk membina seberapa banyak padang dan dewan serbaguna sekolah dalam
negara kita untuk tujuan pembangunan sukan menerusi sekolah-sekolah bagi
merealisasikan tahap kegemilangan sukan negara dalam jagka masa panjang.”
2) Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini menyedari suatu pelan tindakan
pragmatik untuk menggalak, memupuk persefahaman dan hubungan harmoni
yang lebih erat di kalangan rakyat berbilang kaum perlu bermula dari
sektor awam;
Bahawa Dewan ini mengambil keputusan untuk mendesak
Kerajaan mengkaji semula kaedah dan sistem pengambilan kakitangan
perkhidmatan awam supaya komposisi kaum di kalangan kakitangan Kerajaan
mencerminkan komposisi kaum di negara ini dan sasaran pengambilan adalah
juga untuk menggalakkan integrasi nasional di setiap agensi Kerajaan.”
3) Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini menyedari akan kewujudan SJK(Tamil)
Ladang Seaport, Selangor sejak tahun 1950an yang telah memainkan peranan
penting dalam pendidikan anak-anak muda;
Bahawa Dewan ini merakamkan keprihatinan di atas sekolah
berkenaan yang masih terletak di atas tapak sementara, Jalan SS7/4,
Kelana Jaya. Walaupun dikelilingi oleh bangunan rumah banglo mewah,
sekolah berkenaan kini dalam keadaan daif dan serba kekurangan;
Bahawa Dewan ini merasa amat kesal dengan kegagalan
pihak-pihak berkaitan melaksanakan perjanjian untuk pembinaan bangunan
baru sekolah berkenaan di tapak tetap, Kampong Lindungan, PJS 6,
Petaling Jaya;
Maka Dewan ini mengambil ketetapan agar agensi-agensi
Kerajaan berkaitan dan pihak-pihak bertanggungjawab digesa mengambil
tindakan segera memulakan pembinaan sekolah tersebut secepat mungkin.”
4) Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini mengambil keputusan untuk mendesak
Kerajaan membuat perancangan segera untuk mempertingkatkan kesepaduan
sistem pengangkutan awam dan memperkembangkan jajaran perkhidmatan LRT/ERL
ke kawasan pertumbuhan pesat dalam usaha mengurangkan kesesakan di
kawasan terlibat, termasuk kawasan Puchong, Bandar Sunway, USJ dan
Subang Jaya.”
5) Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini mengambil iktibar tentang perlunya
Pihak Berkuasa Tempatan mengambil alih tapak kawasan lapang untuk
kegunaan rekreasi awam selepas sesuatu pemajuan perumahan disempurnakan;
Dan menyedari hakikat bahawa masih terdapat kawasan
lapang yang belum diambil alih oleh Pihak Berkuasa Tempatan;
Maka dengan itu Dewan ini mengambil ketetapan menggesa
Kerajaan meneliti dan menyiasat bagaimana tapak Taman Subang Ria, Lot
17394, Mukim Damansara diberi hakmilik kepada pemaju.”
6) Loh Seng Kok (Kelana Jaya) akan
mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini melahirkan rasa penuh keyakinan dan
pengiktirafan ke atas prestasi baik yang ditunjukkan oleh Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), iaitu satu jabatan yang telah
ditubuhkan untuk mengurus hal ehwal agama Islam, sebagai agama
persekutuan, sepertimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,
menangani pelbagai masalah dan cabaran memajukan agama Islam di negara
kita, termasuklah menangani ajaran sesat dan soal-soal akidah yang
berkaitan;
Bahawa Dewan ini menyedari hakikat bahawa agama-agama
yang dianuti oleh kira-kira 40% rakyat Malaysia yang bukan beragama
Islam juga menghadapi pelbagai cabaran yang bersangkut-paut dengan
pemupukan akidah serta mengerjakan ibadat agama mereka;
Bahawa Dewan ini menerima baik pembelaan Kerajaan
terhadap kebajikan kerohanian rakyat tanpa mengira kepercayaan dan
agama, dan menerima hakikat bahawa kerohanian rakyat semakin tercabar
dengan ledakan teknologi maklumat yang terlalu meluap-luap, di samping
kewujudan anasir-anasir yang menjatuhkan moral dan akhlak rakyat;
Bahawa Dewan ini menyahut dan menyokong seruan YAB Dato’
Seri Perdana Menteri, bersama-sama membela rakyat dan membina rakyat
Malaysia demi memantapkan usaha pembangunan modal insan negara kita;
Maka dengan ini Dewan ini membuat resolusi agar sebuah
agensi Kerajaan ditubuhkan untuk mengurus hal ehwal agama-agama lain di
negara kita.”
7) Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini merakamkan keprihatinan di atas
kekeliruan sesetengah rakyat Malaysia yang berbilang kaum di atas
kewujudan peraturan yang menghindar penganut agama tertentu menggunakan
perkataan seperti Allah, Iman, Wahyu, Rasul, Al-kitab, Doa, Nabi, Injil,
Firman, Syukur, Imam dan sebagainya;
Maka dengan ini Dewan ini membuat resolusi meminta
Kerajaan menghapuskan kekeliruan tersebut sekaligus mempastikan
kebebasan beragama terus terpelihara.”
|