|
PERBAHASAN BAJET 2007 OLEH YB LOH SENG KOK, AHLI DEWAN RAKYAT KAWASAN
KELANA JAYA PADA 13 SEPTEMBER 2006 (RABU)
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Tuan Yang DiPertua,
Bajet 2007 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap
Menteri Kewangan pada 1 Sept 2006 itu mempunyai satu mesej bahawa
Kerajaan berhasrat melaksanakan misi nasional ke arah mencapai wawasan
negara. Bajet 2007 semacam beg yang penuh berisi kudap-kudapan (a
bag full of goodies) untuk dibahagi-bahagikan kepada semua
sektor, setiap lapisan masyarakat, dari rakyat sehinggalah korparat
masing-masing memperolehi insentif-insentif tertentu. Tidak ada golongan
yang tertinggal.
Perkara yang akan disentuh dalam perbahasan saya:
1)
Mewujudkan masyarakat penyayang – Yuran Peperiksaan
2)
Meningkatkan kualiti pengangkutan awam – Rangkaian LRT & sokongan
3)
Melonjakkan industri halal ke fasa global – Pengusaha Kecil &
Sederhana (SME)
4)
Menjamin keselamatan awam – Polis, Pendatang Asing
& Penduduk Tetap
Tuan Yang DiPertua,
1) TERAS
KEEMPAT: MENINGKATKAN TAHAP DAN KEMAMPANAN KUALITI HIDUP
Kerajaan berazam mewujudkan masyarakat penyayang. Saya amat
berterima kasih kepada YAB PM yang begitu prihatin terhadap cadangan
kita bagi pihak rakyat dan mansuhkan yuran peperiksaan UPSR, PMR, SPM
atau setarafnya, serta STPM di semua sekolah Kerajaan. Ini bermaksud
kutipan Kerajaan dijangka berkurangan sebanyak lebih kurang RM71 juta.
Di dalam masyarakat kita, terdapat juga sebilangan remaja yang kurang
bernasib baik, mereka tidak belajar di mana-mana sekolah persendirian
atau sekolah Kerajaan. Mereka ini berazam untuk terus menuntut ilmu,
melengkapkan diri dan belajar secara persendirian sambil bekerja untuk
mencari nafkah hidup. Mereka mengambil peperiksaan Kerajaan sebagai
calon persendirian atau calon pos (study by mail).
Terdapat juga sebilangan pelajar yang berasal dari keluarga kurang
berada tetapi memilih untuk menuntut di sekolah agama atau sekolah
menengah persendirian Cina. Mereka juga rakyat Malaysia. Walau pun bukan
belajar di sekolah Kerajaan, mereka juga mengambil peperiksaan Kerajaan
selain dari peperiksaan di dalam sistem persekolahan bukan Kerajaan
masing-masing. Bilangan pelajar dalam kategori calon persendirian, calon
dari sekolah agama dan sekolah menengah persendirian Cina ini tidak
ramai.
Mengikut data yang diperolehi, kutipan yuran peperiksaan UPSR tahun
2004, tanpa mengambil kira sekolah antarabangsa, sekolah
ekspatriat dan sekolah rendah swasta yang berunsur komersial, kutipan
yang diperolehi dari sekolah rendah agama dan sekolah khas / istimewa
untuk kanak-kanak OKU adalah RM5,135.50 sahaja;
Manakala kutipan yuran peperiksaan PMR & SPM bagi tahun 2004, tanpa
mengambil kira sekolah menengah swasta yang berunsur komersial,
kutipan diperolehi dari sekolah menengah agama dan sekolah menengah
persendirian Cina adalah kurang dari RM1.9 juta;
Manakala kutipan yuran peperiksaan SPM dari calon persendirian atau
calon pos bagi tahun 2004 adalah RM29,360.00 sahaja.
Dengan ini, jumlah kutipan yuran peperiksaan tahun 2004 dari sekolah
rendah agama, sekolah khas / istimewa, sekolah menengah agama, sekolah
menengah persendirian Cina dan calon persendirian atau calon pos adalah
kurang dari RM2 juta sahaja. Jumlah RM2 juta ini amatlah kecil
berbangding dengan cadangan pemansuhan yuran peperiksaan RM71 juta, jauh
lebih kecil berbanding dengan kerugian Kerajaan dalam projek-projek
sakit & terbengkalai, pampasan tol, tuntutan kontraktor “scenic
bridge” dan lain-lain lagi yang bernilai beratus-ratus juta
ringgit (berbilion-bilion ringgit).
“Why don’t the Government be a little bit more gracious, a little
bit more generous and don’t take the little sum and could make you win
more hearts”
Sehubungan itu, bersesuaian dengan langkah mewujudkan masyarakat
penyayang, mengamalkan sikap terbuka, membina satu warga bangsa yang
kukuh teguh dalam kepelbagaian latar belakang, membina modal insan yang
mahir dan berpengetahuan, untuk ini, saya meminta dan menyeru agar
pihak badan eksekutif negara dapat bersetuju dengan saranan badan
perundangan untuk berkorban sedikit lagi dan memansuhkan yuran
peperiksaan bagi pelajar-pelajar persendirian, pelajar-pelajar sekolah
khas / istimewa, sekolah rendah dan menengah agama, serta sekolah
menengah persendirian Cina.
(back to top)
2) TERAS
KELIMA: MENGUKUHKAN KEUPAYAAN INSTITUSI DAN PELAKSANAAN
Meningkatkan kualiti pengangkutan awam.
Pengembangan sistem transit aliran ringan atau LRT atau
rel, samada STAR dan PUTRA adalah antara langkah-langkah yang
menggalakkan yang diambil oleh Kerajaan dalam memperbaiki sistem
pengangkutan awam.
Rakyat dan warga dalam kawasan Parlimen Kelana Jaya yang
meliputi kawasan Bandar Sunway, Subang Jaya, USJ dan berjiran dengan
Puchong amat mengalu-alukan cadangan Syarikat Prasarana Negara Berhad
(SPNB) ingin menambah 140 lagi bilangan tren untuk memperluaskan lagi
perkhidmatan rel bandar, melaksanakan penyambungan laluan rel daripada
Kelana Jaya ke Subang Jaya dan USJ, serta daripada Sri Petaling ke
Puchong, yang dijangka siap pada tahun 2009.
Kawasan Subang Jaya dan USJ bersempadan dengan Puchong.
Kawasan berkenaan sedang giat dibangunkan dan mempunyai kepadatan
penduduk yang terlalu tinggi. Perjalanan harian adalah sibuk,
jalan-jalan yang menghubungkan Bandaraya Kuala Lumpur dan lain-lain
bahagian Lembah Kelang dengan kawasan USJ, Subang Jaya, Kelana Jaya dan
Puchong adalah sentiasa sesak. Aktiviti sosio-ekonomi adalah sangat
aktif juga.
Maka kita perlu mengadakan jaringan rel yang baik,
networking yang menyeluruh. Sehubungan itu, saya cadangkan
supaya perkhidmatan rel dapat disambungkan di antara kawasan Subang Jaya
atau USJ dengan Puchong untuk membentuk satu rangkaian perkhidmatan rel
yang lebih sempurna.
Sebelum pihak berkuasa berkenaan membuat keputusan untuk
memilih tapak sebagai lokasi terminal rel dan memilih salah satu
daripada beberapa laluan yang dicadangkan, pendengaran awam atau
taklimat kepada orang ramai perlu diadakan selari dengan prinsip
Local Agenda 21, Supaya penduduk tempatan dapat diyakinkan
dengan sistem pengangkutan yang berintegrasi, tanpa menjejaskan
keharmonian masyarakat.
Penduduk berasa lokasi terminal LRT hendaklah sesuai,
sistem transit aliran ringan ini hendaklah berkesan dengan adanya
sokongan daripada sistem berintegrasi iaitu bas-bas “feeder”
ke kawasan perumahan tempatan, tempat letak kereta yang mencukupi,
ciri-ciri keselamatan dititikberatkan seperti pemasangan CCTV
dan peralatan komunikasi di kawasan letak kereta dan dalam tren.
(back to top)
3) TERAS
PERTAMA: MENINGKATKAN EKONOMI DALAM RANTAIAN NILAI LEBIH TINGGI
Kerajaan menaruh harapan ke atas sektor swasta agar terus menjadi
pemangkin dan peneraju pertumbuhan ekonomi. YAB PM juga berjanji bahawa
Kerajaan terus komited menyediakan persekitaran kondusif, meningkatkan
lagi daya saing sektor swasta di dalam pasaran antarabangsa, termasuk
ingin “melonjakkan industri halal ke peringkat global”.
Langkah-langkah yang dicadangkan untuk memajukan industri halal disambut
baik oleh pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana (SME).
Langkah-langkah itu termasuklah penubuhan Perbadanan Kemajuan Industri
Halal dengan diberi geran pelancaran RM25 juta, Malaysian
International Halal Showcase (MIHAS) dan World Halal Forum
diteruskan sebagai acara tahunan, SME Bank diperuntukkan RM20 juta untuk
memberi pinjaman kepada usahawan yang membangunkan produk halal, dan
peruntukan RM50 juta bagi penyediaan tapak Taman Halal (Halal Park)
di beberapa buah negeri.
Saya yakin bahawa langkah-langkah berkenaan dapat membantu
pengusaha-pengusaha tempatan meningkatkan lagi mutu pengeluaran produk
halal mereka, dan seterusnya mengembangkannya ke pasaran dunia di dalam
membantu negara menaikkan kadar eksport secara global. Seterusnya, ia
dapat membantu menaikkan kadar pertukaran wang asing negara, memberi
peluang pekerjaan kepada penduduk-penduduk tempatan, membangunkan
industri tempatan, mempromosikan produk-produk halal dan perkhidmatan ke
pasaran antarabangsa serta dapat memberi sokongan dan bantuan kepada
pengusaha tempatan membuat pelaburan di dalam perindustrian produk halal.
Oleh yang demikian, di dalam menggalakkan pengeluar-pengeluar makanan
tempatan untuk memperolehi sijil pematuhan halal yang diiktiraf dunia
iaitu daripada JAKIM, di sini saya ingin membuat beberapa cadangan
mengenai pematuhan dan syarat-syarat yang dikehendaki di dalam
mendapatkan sijil halal iaitu dari segi kos, keselesaan (convenience),
pemudahan & kesenangan (simplification) dan kecekapan (efficiency).
Dalam usaha “Mempromosikan Industri Halal di Peringkat Global”
dan meningkatkan daya saing di kalangan pengusaha, saya menyarankan
agar pihak JAKIM dapat membantu pengusaha menyediakan kos perbelanjaan
yang berhemah, terutamanya kepada para pengusaha kecil dan sederhana
agar mereka dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran produk
mereka dan seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk bersaing dari
segi harga dan mutu produk di peringkat antarabangsa. Kos-kos berhemah
ini diharap agar tidak membebankan kepada pengusha-pengusaha tersebut di
samping mematuhi syarat-syarat pengeluaran sijil halal.
Sekiranya pengusaha-pengusaha tersebut terlalu dibebankan dengan
pelbagai perbelanjaan dan pelaburan tidak relevan untuk pengeluaran
sijil halal, adalah dikhuatiri daya saing yang tidak sihat akan timbul
dan seterusnya menyukarkan mereka untuk berkembang terutamanya kepada
pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana (SME).
Di dalam melaksanakan pematuhan terhadap permohonan sijil halal, adalah
diharapkan agar pihak JAKIM dapat menggunakan satu garis panduan yang
seragam di seluruh Malaysia supaya tidak timbul sebarang percanggahan
dan pertikaian yang berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.
Ini adalah bertujuan memberi keselesaan kepada pengusaha agar tidak
berasa keliru di dalam mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan
untuk mencapai satu matlamat yang sama iaitu untuk mendapatkan sijil
halal bagi pengeluaran produk mereka.
Terdapat dua aspek yang perlu diberi pertimbangan utama dalam pemberian
sijil halal, iaitu 1) teknikal, keselamatan & kebersihan persekitaran (safe
& hygienic environment), dan 2) Ramuan atau kandungan
bahan-bahan (ingredients). Dari segi teknikal, keselamatan
dan kebersihan, sekiranya pengusaha telah mendapat pengiktirafan
HACCP (Hazard Analysis and Critical Control Point)
dan ISO, saya ingin mencadangkan bahawa ianya hendaklah
diterima sebagai mematuhi syarat teknikal dan keselamatan dalam membuat
permohonan sijil halal; manakala pihak JAKIM hendaklah lebih memberi
tumpuan dan pemeriksaan kepada kandungan bahan-bahan di dalam membuat
sesuatu pengeluaran atau produk.
Ini adalah bertujuan untuk mempermudahkan proses permohonan sijil halal.
Sekiranya sesebuah syarikat itu tidak mempunyai apa-apa sijil
HACCP atau ISO, saya ingin menyarankan kepada
pihak JAKIM untuk membuat senarai semak yang lebih jelas dan terperinci
mengenai ciri-ciri keselamatan yang diperlukan di dalam mematuhi
permohonan sijil halal.
Sehubungan dengan itu, para penaksir / pengaudit dari JAKIM yang telah
diberi tanggungjawab membuat pemeriksaan di sesebuah premis atau kilang
untuk tujuan mengeluarkan sijil halal hendaklah dilatih untuk
menjalankan tugas-tugas mereka dengan cekap, dedikasi dan berkesan.
Diharapkan penaksir / pengaudit dapat memberi penerangan dan penjelasan
yang mudah dan senang difahami oleh pengusaha agar tidak mendatangkan
sebarang keraguan dan kemusykilan.
Permohonan sijil halal yang dibuat oleh pengusaha-pengusha tempatan
hendaklah diproses dengan secepat yang mungkin oleh pihak JAKIM dan
tidak memakan masa berbulan-bulan untuk diluluskan. Di dalam
menggalakkan promosi produk halal ke peringkat antarabangsa, adalah
penting bagi sesebuah syarikat untuk mendapatkan sijil halal bagi
memudahkan mereka mengeksport barang-barang pengeluaran mereka ke luar
Negara, dan seterusnya dapat bersaing dengan negera-negara jiran seperti
Indonesia dan Thailand di dalam memperkembangkan ekonomi negara dan
seterusnya memperkenalkan produk keluaran negara yang halal dan bermutu
tinggi.
Oleh yang demikian, kecekapan, ketepatan dan pemudahan proses meluluskan
permohonan sijil halal memainkan peranan yang penting di dalam
meyumbangkan pertumbuhan ekonomi negara.
(back to top)
4) TERAS
KE-4: MENINGKATKAN TAHAP DAN KEMAMPANAN KUALITI HIDUP
Menjamin keselamatan awam
Kerajaan akan mempastikan keselamatan awam sentiasa
dijamin dan memberi peruntukan RM4.9 bilion kepada PDRM untuk
meningkatkan kecekapan operasinya dan menambahkan anggota polis. Langkah
sedemikian diharap dapat menangani masalah jenayah yang kian meningkat,
khususnya jenayah yang dilakukan oleh pekerja asing.
Akan tetapi, menurut Tan Sri Musa Hassan (PDRM) pada 22
Ogos 2006 (Utusan Malaysia), kebanjiran pendatang asing yang kini
melebihi 2.4 juta orang di negara kita menyumbang kepada peningkatan
kadar jenayah.
Dalam Rancangan Malaysia ke-9, m/s 250, perkara 11.34
menyatakan bahawa Kerajaan berjanji mengurangkan bilangan pekerja asing
supaya memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Sungguhpun begitu, ramai yang terkilan dengan
mesyuarat J/K Kabinet mengenai Pelancongan pada 18/8/2006 telah membuat
keputusan untuk membolehkan lebih banyak sektor mengambil pekerja asing.
Hakikatnya, bilangan pekerja asing yang semakin bertambah telah
mengakibatkan pelbagai impak negatif, lalu menjejaskan keharmonian
masyarakat tempatan. Ramai pekerja asing membanjiri dari negara jiran,
sama ada yang berpermit atau haram, disebabkan permintaan gaji yang
rendah, para majikan memberi keutamaan untuk mengupah pekerja asing
daripada pekerja tempatan, lalu menyebabkan pengangguran rakyat kita.
Tambahan pula, tahap budaya dan kemahiran bagi kebanyakan pekerja
asing yang masuk ke negara kita adalah lebih rendah daripada rakyat kita,
ia secara keseluruhannya telah menurunkan kualiti budaya dan tahap
kemahiran negara, serta menyebabkan tahap produktiviti negara tidak
dapat ditingkatkan, lalu akan menjejaskan pembangunan negara pada jangka
panjang.
Secara ringkasnya, kita harus sedar akan kesan-kesan kehadiran pendatang
asing ke atas kesihatan, ekonomi, sosial dan keselamatan negara, di
antaranya:
i. menimbulkan masalah sosial dalam masyarakat;
ii. meningkatkan kejadian jenayah;
iii. kehilangan pendapatan Kerajaan kerana pendatang asing tanpa
izin (PATI) tidak membayar levi, visa dan bayaran lain;
iv. meningkatkan perbelanjaan Kerajaan untuk mengurus segala isu
berkaiktan PATI;
v. wujudnya aktiviti-aktiviti pemalsuan dokumen Kerajaan seperti
passport, MyKad, permit kerja dan lain-lain lagi;
vi. menutup peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan; dan
vii. kemungkinan merebak penyakit berjangkit yang dibawa oleh
PATI.
Maka, adalah diharapkan Kerajaan supaya menitikberatkan isu kebanjiran
pekerja asing berpermit dan haram yang berkualiti rendah ke negara kita,
berusaha untuk mengurangkan bilangan pekerja asing serta pecahan
penduduk asing dalam negara kita.
Dalam hal ini, Kerajaan harus lebih tegas dalam isu kelulusan
permohonan warganegara asing untuk menjadi Pemastautin Tetap negara
kita.
Pada 10hb Julai 2006, ketika sesi soal jawab dalam Dewan Rakyat, pihak
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah menyatakan bahawa, sehingga Mac
2006, seramai 377,842 warganegara asing telah diberikan taraf
Pemastautin Tetap di negara ini. Antaranya, warga Indonesia mencatatkan
sejumlah 143,995 orang, sementara warga dari 9 buah negara lain yang
diberikan taraf Pemastautin Tetap amatlah rendah (5,294), namun seramai
228,533 orang tidak dinyatakan negara asal masing-masing.
Statistik Pemastautin Tetap mengikut negara asal:
|
Bil |
Negara Asal |
Jumlah |
|
1 |
Indonesia |
143,995 |
|
2 |
Kemboja |
1,868 |
|
3 |
India |
1,647 |
|
4 |
Singapura |
717 |
|
5 |
Filipina |
342 |
|
6 |
China |
254 |
|
7 |
Thailand |
235 |
|
8 |
Brunei |
111 |
|
9 |
Taiwan |
67 |
|
10 |
British |
53 |
|
11 |
Lain-lain |
228,533 |
|
|
|
377,842 |
Ini telah menimbulkan dua persoalan yang perlu dipertikaikan. Pertama,
bilangan warga asal Indonesia diberi taraf Pemastautin Tetap amatlah
tinggi; kedua, bilangan warga asing yang telah diberikan taraf
Pemastautin Tetap negara kita tetapi tidak dinyatakan negara asalnya,
jauh lebih tinggi. Pihak berkenaan patut memberi penjelasan yang
sewajarnya.
Dalam era globalisasi abad 21, sesebuah negara mesti meningkatkan tahap
budaya dan kemahiran untuk menghadapi persaingan hebat antarabangsa.
Maka, pihak berkuasa seharusnya mengurangkan pekerja asing berpermit dan
haram yang berkualiti rendah, serta mengurangkan perusahaan-perusahaan
yang mengguna tenaga kerja berkemahiran rendah yang banyak mengupah
pekerja asing, dengan ini membolehkan tahap kemahiran negara kita dapat
ditingkatkan.
Selain itu, pihak berkuasa harus berusaha menarik pakar tempatan yang
berada di luar negara untuk kembali berkhidmat di negara kita bagi
membantu dalam meningkatkan tahap kemahiran dan pengetahuan negara.
Sekembalinya mereka, kita harus berusaha supaya mereka sanggup
meneruskan perkhidmatan dalam negara, tetapi bukannya menghalau mereka
dengan pelbagai kerumitan dan kesukaran menerusi kerenah birokrasi,
kerana ini merupakan kerugian seluruh negara dan masyarakat.
Pihak penguatkuasa juga harus tegas dalam penangkapan pekerja asing
tanpa izin, demi menjaga keselamatan dan keharmonian masyarakat.
(back to top) |