| (Extracted
from hansard dated 16-04-2007)
4.22 ptg
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua memberi peluang kepada saya untuk
mengambil bahagian untuk membahaskan rang undang-undang yang berkaitan
dengan Akta Perbekalan Tambahan 2006 yang melibatkan sejumlah wang lebih
kurang RM19 bilion.
Tuan Yang di-Pertua, setiap kali kita membahaskan tentang perbelanjaan,
kita akan mempersoalkan tentang sistem penyampaian dan sistem pengagihan.
Apakah wang yang telah dibelanjakan itu berbaloi atau tidak dan
sebagainya? Dari segi sistem pengagihan, kadang-kadang kita terdengar
bahawa ada kementerian-kementerian yang mengadu bahawa tidak ada cukup
peruntukan diagihkan kepada kementerian tersebut. Walaupun Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diberikan lebih kurang RM425
juta masih tidak cukup lagi kerana banyak perkara yang perlu dilakukan
untuk memberi bantuan kepada masyarakat ataupun individu-individu yang
bermasalah sama ada OKU, sama ada ibu tunggal ataupun mereka yang sakit
teruk dan sebagainya.
Pada masa yang sama, kita juga lihat bahawa terdapat juga
kementerian-kementerian yang dapat peruntukan yang sebegitu rupa dan
yang juga untuk memberi bantuan kepada anak-anak muda, kanak-kanak
sekolah dan sebagainya seperti di dalam Kementerian Pelajaran. Maka
mungkin dari segi pengagihan itu, kita hendak meminta agak pihak
kementerian yang bertanggungjawab dari segi pengagihan itu dapat
diselaraskan supaya tidak ada pertindihan di antara
kementerian-kementerian yang berkaitan.
Apabila kita soal tentang sistem pengagihan, kita hendak melihat agar
peruntukan yang disampaikan itu memang berbaloi. Dalam erti kata lain,
masyarakat tempatan ataupun rakyat jelata hendak melihat wang yang telah
dibelanjakan itu adalah duit rakyat cuma kerajaan dipertanggungjawabkan
dan diberi amanah untuk mengurus tadbir duit rakyat ini. Maka mereka
mengharapkan agar perbelanjaan yang telah dibelanjakan itu akan
mendatangkan pulangan sama ada pulangan dalam bentuk perkhidmatan
ataupun dalam bentuk projek yang telah dilaksanakan. Itu memang berguna
kepada masyarakat ataupun rakyat jelata.
Maka dari sini kita hendak melihat bagaimanakah pihak kementerian
membuat penilaian ke atas perbelanjaan yang telah dilakukan.
Kadang-kadang kita lihat bahawa sekiranya sesebuah kementerian itu telah
habis menggunakan peruntukan yang telah diagihkan itu, maka diberikan
prestasi bahawa ini mencapai penilaian 100% kerana wang yang
diperuntukkan itu habis digunakan, maka prestasinya 100%. Padahalnya
apakah apabila wang peruntukan itu habis digunakan, apakah hasilnya itu
memang memberi manfaat kepada rakyat jelata? Itu persoalan yang perlu
kita lihat dan pertimbangkan dari segi penilaian prestasi
kementerian-kementerian dalam menggunakan duit yang diperuntukkan itu.
Dalam masa yang sama, saya hendak masukkan tentang polis iaitu
peruntukan yang diagihkan kepada kementerian yang berkaitan...
Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]:
Penjelasan Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat bagi Kelana Jaya. Saya
berminat apabila Yang Berhormat bagi Kelana Jaya menyebut tentang
utilisasi bajet atau budget utilization bagi
kementerian-kementerian. Di mana saya teringat ketika saya berkhidmat
dengan jabatan, budget utilization ini menjadi satu key
performance indicator kepada agensi ataupun jabatan yang memohon
bajet tersebut.
Antaranya ialah kerana kerajaan telah terpaksa membuat satu pinjaman.
Contohnya RM1 dan jika RM1 tadi tidak dimanfaatkan ataupun tidak
diutilisasikan oleh jabatan ataupun agensi, maka ia akan menimbulkan
satu kerugian kepada pihak kerajaan yang terpaksa meminjam RM1 tadi
disebabkan oleh faedah atau kadar-kadar interest yang lain.
Jadi di sini apabila Yang Berhormat bagi Kelana Jaya menyebut tentang
100% perbelanjaan oleh sebuah agensi kerajaan itu tidak membayangkan
sebenarnya mereka telah perform ataupun telah berprestasi, perlu
kita kembangkan lagi atau perlu kita memperbesarkan lagi supaya bajet
utilisasi ini mesti dijadikan satu key performance indicator
untuk menggerakkan jabatan dan agensi kerajaan bekerja ke arah
melaksanakan perancangan-perancangan yang telah mereka lakukan. Kemudian
hasil daripada itu, apakah utilisasi bajet tadi boleh memulangkan
hasil-hasil yang diharapkan oleh agensi tersebut.
Saya kira masih lagi penting. 100% perbelanjaan terhadap peruntukan yang
diperuntukkan atau disediakan oleh kerajaan masih lagi sebagai
priority (keutamaan). Kemudian selepas itu mesti letakkan apakah
hasil-hasil daripada pelaksanaan bajet kerajaan itu tadi. Boleh Yang
Berhormat bersetuju dengan saya? Terima kasih.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat bagi Tangga Batu yang
membantu saya untuk memberi penerangan yang lebih jelas tentang
utilisasi peruntukan yang telah disediakan itu. Saya memang bersetuju
dengan pandangan Yang Berhormat bagi Tangga Batu. Sebab itulah saya
minta agar pihak kementerian yang berkaitan dan yang bertanggungjawab
dalam mengagihkan peruntukan itu dapat dilihat semula cara pengagihan
dan penilaian prestasi serta juga hasil peruntukan yang telah digunakan
itu.
Dalam bidang polis Tuan Yang di-Pertua, contohnya kita ada juga
menyediakan peruntukan untuk Kementerian Keselamatan Dalam Negeri untuk
diberikan kepada pihak Polis Diraja Malaysia di dalam memperkasakan lagi
pasukan polis di dalam negara kita.
Cuma satu perkara yang saya hendak bertanya, apakah peruntukan yang
diberikan itu benar-benar dapat dilihat hasilnya dari segi pengagihan
ataupun dari segi memperkuatkan lagi dan meyakinkan lagi anggota-anggota
polis kita dalam menjalankan tugas mereka. Seperti contohnya dalam
kawasan-kawasan tertentu di mana kepadatan penduduk adalah tinggi, maka
kita perlu lebih banyak tenaga polis dikerahkan ke kawasan itu.
Saya hendak memberi contoh di mana saya lihat di kawasan daerah Hulu
Langat, di daerah Hulu Selangor, daerah Sepang dan daerah Sabak Bernam.
Nisbah anggota polis dengan penduduk adalah 1 nisbah kurang daripada 400
penduduk di keempat-empat daerah tersebut.
Tetapi di kawasan daerah Petaling, anggota polis adalah satu nisbah
7,000 lebih kalau mengikut data yang diberikan kepada kita pada tahun
2004. Saya tidak tahu sejauh mana kementerian itu dapat mengagihkan
sumber-sumber tenaga ini mengikut taburan yang lebih saksama, lebih baik,
lebih sempurna supaya pengagihan ataupun kerahan tenaga anggota polis
itu dapat dimanfaatkan kepada semua masyarakat dan bukannya satu kawasan
itu mendapat anggota polis yang cukup, satu kawasan kekurangan anggota
yang begitu tinggi. Sehinggakan anggota-anggota kadang-kadang terasa
tekanan kerja terlalu tinggi, tidak dapat menjalankan tugas dengan baik
kerana mereka terpaksa menjaga keselamatan, ketenteraman masyarakat di
mana bilangan penduduk adalah terlalu tinggi, contohnya di daerah
Petaling.
Maka saya rasa pihak yang bertanggungjawab juga harus melihat taburan
anggota polis haruslah seimbang di semua kawasan supaya ia tidak memberi
tekanan kepada anggota kerana bebannya terlalu berat untuk dipikul oleh
segelintir ataupun satu golongan anggota yang tenaganya kurang untuk
menjaga satu populasi yang begitu tinggi. Pada masa yang sama Tuan Yang
di-Pertua, walaupun kita faham bahawa memang adanya kekurangan dan
kelemahan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, kita mengaku adanya
kelemahan dan kita juga tahu bahawa pihak Polis Diraja Malaysia cuba
berusaha untuk mempertingkat lagi kualiti perkhidmatan, mempertingkatkan
lagi mutu kerja mereka.
Saya tidak akan membantah sekiranya pihak kementerian ataupun pihak
institusi pentadbiran kerajaan memberi kenaikan gaji kepada polis kerana
ianya salah satu cara sebagai satu pengiktirafan kepada pengorbanan,
usaha dan jasa bakti yang telah dicurahkan oleh pihak polis. Jadi pada
masa yang sama saya terkilan apabila saya diberitahu bahawa alat-alat
kelengkapan tidak cukup diberikan kepada anggota polis.
Misalnya saya diberitahu, dimaklumkan oleh pihak polis di daerah IPD
Petaling Jaya. Anggota polis beribu-ribu orang tetapi peralatannya
seperti peralatan keselamatan untuk anggota polis, hanya terdapat tiga
helai baju ataupun jaket kalis peluru di balai tersebut. Maka sekiranya
berlaku keganasan ataupun berlaku pertempuran antara anggota polis
dengan penjenayah, siapakah yang akan diberi peluang untuk memakai baju,
jaket kalis peluru itu. Apakah pegawai yang tinggi ataupun anggota yang
di hadapan yang terpaksa membalas tembakan dengan penjenayah di hadapan.
Apakah nyawa mereka tidak penting? Dan dari segi alat komunikasi di
dalam perkhidmatan polis, saya rasa semua ini perlu dinaiktarafkan lagi
supaya apa yang telah dikaji dinaikkan tetapi kelengkapan-kelengkapan
haruslah diberi perhatian supaya anggota polis mempunyai keyakinan yang
tinggi untuk menjaga dan mempertahankan ketenteraman masyarakat kita dan
senjata yang dipakai.
Kita tahu bahawa sekarang ini penjenayah memakai senjata api yang begitu
canggih, mereka ada machine gun, mereka ada M16. Kalau anggota
polis hanya memakai pistol yang revolver itu, macam mana hendak
lawan dengan pihak penjenayah? Maka saya rasa perkara-perkara ini
perlulah diberi pertimbangan supaya dalam pengagihan peruntukan patutlah
diberi keutamaan dan apakah bidang yang perlu diberi keutamaan untuk
mengagihkan peruntukan tersebut. Tuan Yang di-Pertua, dalam sistem
penyampaian juga saya hendak kaitkan tentang kontrak-kontrak yang
diberikan oleh kementerian. Bukan hanya Kementerian Kewangan, tetapi
semua agensi kerajaan.
Kita adakan sistem kontraktor, melantik kontraktor, memberi tender dan
kita ada negotiate tender, ada selective tender, ada
open tender, ada close tender dan sebagainya. Saya tidak
kisah bagaimanakah seseorang kontraktor itu mendapat kontrak yang
tertentu tetapi akhirnya yang penting adalah hasil kerja tersebut dan
apabila kontrak telah diberikan. Apabila seseorang kontraktor telah
menghabiskan kerja, sistem pembayaran janganlah tunggu sehingga setengah
tahun, satu tahun barulah pembayaran dibuat kepada kontraktor. Dalam hal
yang sama juga kontraktor kita ini diberikan tugas kerana untuk
meringankan beban kerajaan supaya dapat mempercepatkan proses
pelaksanaan projek-projek dan merangsang aktiviti di kawasan tempatan
serta merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih vibrant dan kita
masih ada kelemahan dan kekurangan yang wujud dalam sistem kontraktor
yang dijalankan terutama sekali dari segi pemantauan.
Tadi saya mempertahankan kontraktor tentang pembayaran tetapi sekarang
ini kita juga hendak mempersoalkan apakah kontraktor-kontraktor yang
dilantik itu dapat menjalankan tugas dengan baik? Apakah kerja-kerja
yang telah dilaksanakan itu memuaskan? Apakah produk yang dihasilkan itu
berbaloi, betul-betul ada kualiti? Maka saya minta pihak institusi
pentadbiran kerajaan supaya mengkaji semula sistem pemantauan ke atas
kontrak-kontrak yang diberikan. Saya hendak beri contoh, Tuan Yang
di-Pertua. Di dalam kawasan saya sebuah sekolah telah dibina baru sahaja
siap dibina tahun lepas bulan Ogos.
Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, berdekatan dengan PJS 8 dan PJS
10, baru sahaja siap bulan Ogos diserahkan kepada Jabatan Pelajaran dan
digunakan pada bulan September dan Oktober dan separuh bulan November.
Tetapi dua bulan yang lepas mereka datang jumpa saya hendak minat
peruntukan, minta sumbangan untuk memperbaiki bangunan sekolah, untuk
memperbaiki padang sekolah. Nampaknya bila kita pergi ke tempat itu,
adanya padang sekolah tetapi tidak ada rumput, yang ada hanyalah batu
bata. Bagaimanakah budak-budak sekolah hendak menjalankan pendidikan
jasmani?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]:
Dekat
padang itu memang tidak ada rumput... memang letak batu bata?
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Batu bata, kemudian sisa-sisa construction, sisa-sisa pembangunan,
pembinaan ada di situ. Namanya
padang sekolah tetapi tidak boleh sepak bola. Mungkin pendapat Yang
Berhormat bagi Bera betul kena tukar nama
padang
batu bata bukan
padang
sekolah.
Tuan Yang di-Pertua apa yang saya hendak tekankan di sini ialah dari
segi pemberian, penganugerahan kerja-kerja kontrak ini bagaimanakah kita
memantau hasil kerja tersebut? Apakah mereka telah sendiri memberitahu
pihak kementerian ataupun pihak jabatan kerja saya telah siap maka
pembayaran dibuat. Tidak sampai setengah tahun bulan Ogos tahun lepas,
dua bulan yang lepas tidak sampai setengah tahun projek siap tetapi
hendak minta peruntukan, minta sumbangan untuk memperbaiki paip air
bocor dan air mengalir ke dalam kelas. Pihak kontraktor kata paip yang
kita beli itu mempunyai kualiti yang baik. Siapakah yang menjaga kualiti
paip atau bekalan bahan-bahan binaan, siapa yang bertanggungjawab?
Apakah kita pula pihak PIBG diminta untuk mencari sumbangan derma
daripada orang ramai untuk memperbaiki sistem paip air dan juga padang
sekolah, mana adil? Oleh sebab itu saya minta pihak kementerian supaya
kontrak-kontrak yang diberikan itu pastikan semua kerja siap dan kualiti
kerja itu adalah bertaraf mengikut spesifikasi yang ditentukan, barulah
kita membuat bayaran. Dan kalau kerja tidak sempat siap, tidak sempurna
maka janganlah bagi ...
Dan sebelum itu saya pun hairan, pernah saya cakap dalam Parlimen ini
bahawa apabila kita membina sekolah dan sebagainya pastikan adanya
kemudahan-kemudahan yang minimum disediakan, contohnya di antara
bangunan sekolah. Kalau ada bangunan sekolah, kita tahu bahawa
pelajar-pelajar kena beralih dari satu kelas ke satu kelas untuk
mengikuti kelas yang lain.
Maka kena lalu kawasan lapang. Kalau perlu lalu kawasan lapang binalah
laluan pejalan kaki berbumbung supaya bila hujan budak-budak sekolah
tidak kena hujan dan tidak basah. Kalau basah dan sakit, siapa yang jaga?
Takkanlah kita hendak rujuk balik kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat
lagi minta bantuan kewangan dan sebagainya, minta bantuan perubatan,
tidak adil.
Maka semua spesifikasi itu kena dikaji semula supaya hendak menghasilkan
sesuatu bangunan. Saya tidak minta sekolah itu dibina mengikut taraf
dunia, tak payah. Taraf kebangsaan, cukup. Taraf kebangsaan yang boleh
digunakan sebaik mungkin, itu sahaja. Ya, saudara.
Datuk Dr. Marcus Makin Mojigoh [Putatan]:
Terima kasih sahabat saya dari Kelana Jaya, terima kasih Tuan Yang
di-Pertua. Dengan ucapan Yang Berhormat tadi, soal kontraktor-kontraktor
yang membina sekolah ini Tuan Yang di-Pertua, saya juga telah membawa
perkara yang sama dalam perbahasan saya pada minggu yang lepas. Saya
minta penjelasan sedikit daripada Yang Berhormat soal
kontraktor-kontraktor yang kononnya menyiapkan kerja projek-projek
sekolah ini. Adakah sistem pemeriksaan Certification of Works
Completion dilaksanakan dengan cara yang betul? Oleh sebab di
kawasan saya ada parit yang tidak mengikut spesifikasi bangunan sekolah.
Parit dibina dekat dengan tiang sekolah manakala bumbung itu jatuh di
lain tempat. Jadi, bagaimana? Saya minta penjelasan sedikit daripada
Yang Berhormat.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Macam mana saya hendak jelaskan? Inilah kesilapan kontraktor yang
dilantik. Kalau kontraktor itu tidak ada kualiti, tidak dapat jalankan
tugas, kita buang sahajalah. Kita gugurkan dari senarai kontraktor.
Tidak kisahlah dia Kelas F, Kelas A, Kelas B, Kelas C, Kelas D ke? Kalau
tidak dapat buat kerja yang memuaskan, kita janganlah memasukkan dia.
Mungkin ada kontraktor dia daftarkan dengan nama yang lain, nama
syarikat lain, tetapi orang yang sama dan saya minta pihak kementerian
supaya melihat perkara ini. Kalau seseorang itu tidak dapat melaksanakan
kerja dan sekiranya syarikatnya telah digugurkan dalam senarai
kontraktor dan dia tubuhkan syarikat yang lain, maka pihak kementerian
harus juga memantau dan meneliti dia adalah orang yang sama terlibat,
maka kita tidak perlu beri dia sijil yang baru untuk pergi ke Kelas yang
lain. Itu saya minta kementerian supaya melihat..
...
Ada
lagi dua perkara Tuan Yang di-Pertua. Ringkas sahaja. Tuan Yang
di-Pertua, hujan di luar Dewan baru berhenti. Semasa tadi hujan lebat,
hati saya pun tidak senang. Sebenarnya saya hendak balik kawasan tengok
apakah yang agaknya berlaku di kawasan saya? Sebab semalam, saya baru
sahaja melawat ke pangsapuri di mana terdapat pangsapuri yang tiap-tiap
kali hujan, walaupun kawasan di dalam kawasan daerah Petaling dan
dikatakan kawasan yang maju di negeri Selangor. Negeri Selangor
dikatakan negeri yang maju di negara kita. [Disampuk]. Tetapi
dari hal-hal yang berlaku macam ini, saya rasa susah hatilah. Bila hujan,
memang ada banyak perkara. Bumbung terbang, pintu tercabut...betul!!!
Pintu tercabut, cermin habis pecah. Ini di kawasan Desa Ria, Desa
Mentari dan Kg. Lindungan di kawasan saya. Bila tanya pemaju,
pemaju kata ini bukan salah kita, kita telah siapkan kerja. Ini adalah
salah Tuhan katanya, kerana itulah kawasan laluan angin. Kawasan laluan
angin, tiap-tiap kali angin hujan, angin akan bertiup kuat, maka setiap
kali bila hujan, maka bumbung terbang. Pintu tercabut. Memang berlaku
dalam dua, tiga hari.
Tiap-tiap malam, saya pergi sampai pukul 1.00, pukul 2.00 malam, pergi
tengok kawasan. Pergi console penduduk-penduduk di situ, kena
beri sumbangan lagi. Saya tidak tahulah bagaimana pihak kementerian
bertanggung jawab sama ada jabatan pihak berkuasa tempatan, pemaju yang
memberi kelulusan dan juga Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Kalau dikatakan itu adalah kerana bencana alam, mungkin Kementerian
Sains dan Teknologi dan sebagainya akan mengkaji apakah itu tempatnya
laluan angin? Maka tidak boleh dibina pangsapuri-pangsapuri yang
bertingkat 14. Malahan semalam tempat yang saya lawati itu hanya 5
tingkat sahaja, pun berlaku juga. Sebenarnya bagi saya bukan kerana
kawasan laluan angin.
Kalaupun kawasan gempa bumi, kalau strukturnya bagus, foundationnya
bagus, bila ada gempa bumi yang bergerak sedikit pun, bangunan tidak
akan runtuh. Kalau katanya ini kerana bencana alam, di Jepun kalau ada
gempa bumi, semua bangunan di seluruh negara Jepun habis runtuh. Tetapi
kita hendak lihat kualitinya.
Kualiti kerja patut diberi perhatian dan juga mungkin pihak kementerian
yang berkaitan yang mengkaji cuaca, yang mengkaji geografi, tanah dan
sebagainya, mungkin juga hendak mempersoalkan apakah kepakaran dalam
kementerian-kementerian yang tertentu? Kita membayar gaji, kita membayar
emolumen dan sebagainya. Apakah kepakaran mereka? Apakah pihak
Kementerian atau Jabatan Alam Sekitar yang menganalisis, memberi komen
sebelum pemaju diberi kebenaran untuk memajukan dan sebagainya telah
menjalankan tugas dengan baik. Dengan mengikut profesionalisme mereka
supaya sebelum sesuatu pemajuan dilakukan, maka adanya komen, maka
adanya perdebatan yang telah diberikan kepada pihak berkuasa tempatan,
maka hanyalah selepas itu sahaja barulah kelulusan diberikan untuk
pemajuan. Maka perkara ini saya rasa haruslah diambil perhatian oleh
kementerian.
Perkara yang terakhir sekali Tuan Yang di-Pertua, ialah penggunaan
sumber kementerian-kementerian. Kita tahu bahawa misalannya dalam
Program Latihan Khidmat Negara, Kementerian Pertahanan melaksanakan dan
menjaga PLKN ini. Kita tahu bahawa sekarang ini Kementerian Pertahanan
tidak mempunyai sumber yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan semua
peserta di negara kita untuk mengikuti PLKN. Di negara kita adanya
peer group remaja sebaya yang berumur 18 tahun seramai 450,000 orang.
Hanya 100,000 orang yang terpilih untuk mengikuti PLKN. Maka ada 350,000
orang tidak ada peluang.
Mungkin ada yang dikatakan bahawa saya bernasib baik kerana dipilih, ada
yang kata saya tidak bernasib baik kerana tidak dipilih. Walau
bagaimanapun, program PLKN ini adalah bagus untuk semua dan janganlah
hanya dimanfaatkan oleh segelintir sahaja, hanya 100,000 orang sahaja.
Manakala 350,000 orang tidak diberi peluang. Walau bagaimanapun, kita
faham bahawa Kementerian Pertahanan tidak mempunyai sumber yang cukup.
Tidak ada facility, tidak ada prasarana, tidak ada kemudahan yang
mencukupi untuk menampung semua remaja. Yang Berhormat Sabak Bernam
hendak bercakap? Okey, sedikit.
Dato’ Haji Mat Yasir bin Haji Ikhsan [Sabak Bernam]:
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat bagi
Kelana Jaya. Saya anggap isu PLKN ini sebagai isu yang sangat penting
dan kritikal dalam pembangunan generasi anak kita yang akan datang.
Saya hendak tanya pandangan Yang Berhormat. Bagi saya, PLKN ini yang
boleh membina patriotisme jati diri anak-anak kita, sepatutnya dipilih
dan dikenal pasti daripada peringkat sekolah di mana anak-anak kita ini
nampak berisiko dan mungkin berisiko tinggi. Mereka ini dipilih daripada
golongan yang di sekolah itu telah pun diberikan ruang dan peluang
seperti pengawas dan menjadi pemimpin. Kerana mereka ini, kita jelas
watak dia.
Seperti kata Yang Berhormat, bilangannya pun dalam 100,000 orang. Mereka
yang keluar daripada SPM ini, lebih 416,000 orang. Jadi bagi saya,
peluang tempat seperti ini harus diberikan kepada anak-anak kita yang
kita nampak mungkin ada masalah dalam konteks jati diri dia, ketahanan
dirinya, patriotisme. Apa pandangan Yang Berhormat? Terima kasih.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Terima kasih Yang Berhormat bagi Sabak Bernam. Tuan Yang di-Pertua, sama
ada mereka telah pernah menjadi pengawas, pengakap di sekolah tidak
mengapa. Bagi saya, yang penting adalah semua remaja yang umurnya sebaya,
diberi peluang untuk memperkasa atau memperlengkapkan diri dari segi
perwatakan dan membina semangat dan jati diri yang waja dan sebagainya.
Semuanya perlu diberi peluang. Tetapi cara bagaimana, akan saya pergi
lebih mendalam dalam hal ini. Tetapi saya bersetuju, semua harus diberi
peluang. Tidak kisah melibatkan pengawas dan sebagainya.
Tetapi ada cara-caranya yang tertentu yang boleh kita memperbanyakkan
lagi peluang kepada remaja kita untuk memperlengkapkan diri mereka.
Dalam hal kekurangan Kementerian Pertahanan dan ada juga ura-ura atau
cadangan yang mengatakan bahawa wanita atau remaja perempuan tidak
sesuai untuk mengikuti PLKN. Maka hendak di readjust semula, 60
peratus lelaki, 40 peratus perempuan dan sebagainya. Kerana kursus atau
modul-modul di dalam PLKN ini, mungkin dari segi latihan fizikalnya
mungkin terlalu tidak begitu sesuai bagi golongan perempuan.
Walau bagaimanapun, bagi saya ada caranya untuk menyelesaikan masalah
ini dan cadangan saya adalah kita mempelbagaikan pakej PLKN di bawah
agensi-agensi yang berlainan kerana Kementerian Pertahanan tidak akan
mampu untuk menangani semua masalah ini dan cadangan saya untuk
mempelbagaikan ini adalah mungkin lebih baik daripada serampang dua mata.
Iaitu kita tahu bahawa kita kekurangan remaja belia untuk menyertai
pasukan polis. Kita sentiasa hendak mempromosikan pasukan polis,
profesion polis kepada golongan muda supaya dapat bersama-sama mengatasi
masalah keselamatan tempatan dan sebagainya.
Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan tentang bidang kejururawatan.
Kita juga kekurangan jururawat. Sampai ada hospital yang kekurangan
jururawat. Katakan mungkin kawan-kawan yang tertentu yang tidak minat
dalam jururawat dan juga polis dan bagi jururawat ada pihak hospital
swasta mengambil jururawat dari luar negara. Maka untuk menyelesaikan
masalah ini, dan semua ini adalah badan-badan beruniform. Jururawat pun
ada uniform sendiri, polis juga ada uniform dan saya cadangkan bahawa
kementerian mempelbagaikan PLKN satu pakej di bawah polis, satu pakej di
bawah kejururawatan. Maka remaja kita boleh membuat pemilihan hendak
ikut pakej PLKN di bawah Kementerian Pertahanan ataupun hendak mengikuti
pakej PLKN di bawah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan satu
pakej mungkin lebih ramai remaja perempuan hendak memilih mengikuti
pakej PLKN di bawah Kementerian Kesihatan iaitu dalam bidang
kejururawatan. Mereka semua ini diberi exposure, diberi
pendedahan. Maka, apabila remaja kita diberi pendedahan, tentang
kepolisan, kejururawatan, satu hari nanti mungkin ini menjadi minat
mereka. Maka mereka mohon menjadi polis dan satu golongan lagi mohon
untuk menjadi jururawat. Maka saya rasa ini dapat menyelesaikan pelbagai
masalah dan dalam bidang kejururawatan pun kita perlukan jururawat
lelaki. Mungkin dalam pakej kejururawatan PLKN di bawah Kementerian
Kesihatan, kita boleh agihkan 80% perempuan, 20% lelaki dalam pakej PLKN
di bawah Kementerian Kesihatan.
Maka kita dapat menarik minat supaya semua orang sama-sama
bertanggungjawab semasa mencintai negara kita masyarakat kita. Maka kita
akan dapat menarik minat belia-belia pada satu hari nanti mohon menjadi
polis, mohon menjadi jururawat dan kita tidak perlu bergantung kepada
negara lain atau pun pekerja-pekerja dari luar negara untuk menjaga
keselamatan kita. Itulah sahaja saya hendak bangkitkan dan saya minta
pihak kementerian yang bertanggungjawab pertimbangkanlah
cadangan-cadangan saya dengan seriusnya. Dengan itu saya mohon menyokong.
Sekian terima kasih.
|