|
(Extracted from hansard dated
24-04-2007)
12.45 tgh
Tuan Loh Seng Kok [Kelana
Jaya]:
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat bagi Jasin.
Yang Berhormat bagi Jasin nampaknya apabila kita membahaskan tentang
penubuhan Suruhanjaya Koperasi ini, lebih mirip kepada di mana kita
perlu memberi kuasa kepada suruhanjaya untuk membuat kawalan. Tetapi
dalam rang undang-undang yang dibentangkan oleh pihak kementerian,
objektif suruhanjaya adalah jelas bahawa penubuhan suruhanjaya
sepatutnya merangsang pembangunan koperasi supaya koperasi dapat
membantu untuk ke arah pencapaian objektif sosioekonomi negara kita.
Saya lihat kita jangan sebut dahulu banyak tentang kawalan.
Kita hendak lihat
bagaimanakah suruhanjaya yang akan ditubuhkan itu yang telah
dibincangkan sejak tahun lepas. Bagaimanakah suruhanjaya dapat membantu
5,052 buah koperasi yang ada dalam negara kita untuk menyumbang dalam
sosioekonomi negara kita. Saya tertarik kepada ucapan awal Yang
Berhormat bagi Jasin yang memetik contoh koperasi di Filipina yang
membantu ahli-ahlinya menceburi perniagaan di pasaran antarabangsa. Oleh
itu saya hendak tanya kepada Yang Berhormat bagi Jasin, apakah kita
dapat meminta suruhanjaya yang akan ditubuhkan itu supaya membantu
koperasi-koperasi di negara itu mewujudkan satu sistem rangkaian yang
mampu memberi peluang kepada koperasi untuk berinteraksi ke seluruh
pasaran dunia dan bukan hanya mengehadkan perniagaan koperasi di dalam
sesuatu kawasan sahaja ataupun satu komuniti sahaja.
Dengan itu untuk
mencapai tujuan itu mungkin saya rasa pihak suruhanjaya kalaulah Yang
Berhormat bagi Jasin setuju dengan saya membenarkan atau membantu
koperasi-koperasi kita untuk terlibat dalam urusan perniagaan
perdagangan elektronik. Apakah pandangan Yang Berhormat bagi Jasin?
Datuk Haji Mohd.
Said bin Yusof [Jasin]:
Terima kasih Yang
Berhormat bagi Kelana Jaya. Itulah sebabnya kita kena balik kepada asas.
Apa tujuan hendak mengadakan koperasi? Mengapa orang hendak menubuhkan
koperasi? Contoh nelayan. Nelayan banyak berselerak dalam negara kita,
kita panggil dia orang menjadi Koperasi Nelayan. Apa tujuan Koperasi
Nelayan? Supaya dapat membela nasib dia. Jadi daripada nelayan bertindak
satu orang-satu orang kita kumpulkan semua nelayan, wujudkan Koperasi
Nelayan. Apabila mereka bersatu, mereka menjadi kuat. Dia boleh belikan
peralatan-peralatan dengan lebih banyak.
Apabila lebih banyak
dia boleh dapat diskaun. Dia boleh dapat harga yang lebih murah ataupun
dia boleh import sendiri. Kalau dia mengatakan dia perlukan jaring, dia
boleh import daripada pengeluar itu dan nelayan ini mendapat jaring yang
murah. Tetapi malang bagi kita pada hari ini, prinsip awal penubuhan
Koperasi Nelayan ini sudah lari. Macam Koperasi Pekebun Kecil, Koperasi
Pekebun Kecil untuk menyelesaikan masalah pekebun kecil tentang
pemasaran getah ataupun bahan-bahan pemasaran pekebun kecil. Yang
Koperasi Pekebun Kecil buat syarikat pelancongan buat apa? Sudah lari.
Yang asas hendak menyelesaikan masalah pekebun kecil ini tidak
ditumpukan. Ini serupa juga dengan Koperasi Nelayan. Nekmat, lepas itu
tubuh pula syarikat pelancongan Nekmat. Berapa banyak... saya tidak tahu
nelayan dari Kinabatangan hendak pergi Amerika melancong, hendak pergi
Australia, hendak pergi Philiphine sahaja?
Jadi tumpukan.
Barulah apabila tumpuan ini dibuat, kita akan menjadi lebih kuat, lebih
besar, barulah kita boleh pergi sampai pasaran antarabangsa dan apabila
masalah nelayan ini sudah selesai ataupun satu-satu kelompok itu sudah
selesai, barulah modal yang lebih itu kita
invest di
kawasan yang lain yang tidak ada kena-mengena dengan dia. Jadi, yang
pokok belum selesai, yang kita kejar yang jauh buat apa. Sila Yang
Berhormat bagi Kinabatangan.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana
Jaya]:
Yang Berhormat bagi Jasin tadi Yang Berhormat ada sebut tentang Bank
Rakyat. Sedarkah Yang Berhormat di dalam Bank Rakyat sekarang ini ada
lebih kurang RM4.65 bilion yang merupakan aset atau kewangan terkumpul
oleh koperasi-koperasi disimpan dalam Bank Rakyat untuk diuruskan oleh
Bank Rakyat. Maka bukannya koperasi yang uruskan sendiri diserahkan
kepada Bank Rakyat. Tambahan pula ada lagi RM280 juta yang disimpan oleh
koperasi-koperasi di dalam akaun semasa di pelbagai bank, yang tidak
memberikan pulangan yang baik kepada koperasi untuk dipulangkan kepada
ahli-ahlinya.
Oleh itu saya nak
tanya untuk penjelasan Yang Berhormat bagaimanakah koperasi ini dengan
wujudnya suruhanjaya kelak dapat mentadbir uruskan aset dan kewangannya
sendiri tanpa melalui agen-agen tertentu untuk mencari balik pulangan,
terima kasih.
Datuk Haji Mohd.
Said bin Yusof [Jasin]:
Ini yang mereka
simpan di Bank Rakyat ini bukan menyerahkan begitu sahaja, dia membeli
saham Yang Berhormat kerana Bank Rakyat ini koperasi peringkat atas yang
mana shareholder dia selain daripada orang-orang individu, ia
juga menjemput koperasi-koperasi yang kecil-kecil ini sebagai ahli dia
dan hari ini koperasi-koperasi yang menyimpan duit sebagai saham di Bank
Rakyat dia dapat pulangan yang lumayan. Yang jadi masalah seperti Yang
Berhormat kata tadi banyak koperasi-koperasi dia menyimpan di bank-bank
lain dalam dia tidak duduk dalam fixed deposit pun, dia duduk
dalam akaun biasa yang tak ada interest .
Ini yang menjadi
masalah kepada kita hari ini kerana ramai orang tidak tahu kadang-kadang
lembaga pengarah ini dia syok sendiri. Sebagai contoh ada koperasi yang
saya tahu yang begitu banyak dia punyai ahli dia mempunyai modal. Tetapi
dia takut kerana hari ini diurus tadbir oleh lembaga pengarah sahaja.
Kadang-kadang di peringkat kampung seperti Koperasi Pembangunan Daerah
yang menjadi lembaga pengarah dia pengerusi JKK, Tok Sidang, Tok Siak,
Tok Imam , Tok Bilal menjadi lembaga pengarah ini. Dia pun sudah syok
dengan baju yang saya cakap AJK dia tadi, dia pun naik syok.
Tetapi kalau
koperasi ini berpandangan jauh Tuan Yang di-Pertua, dia boleh dengan
modal yang ada mengapa tidak gajikan orang-orang profesional untuk
mentadbir uruskan koperasi ini. Bila dapat orang-orang profesional ini
maka perniagaan dia akan bertambah besar,
mind dia
lebih besar. Tetapi kalau setakat ketua kampung, ketua kampung
Kinabatangan, Tok Imam Kinabatangan...
Jadi Tuan Yang
di-Pertua, kerana modal macam cakap Yang Berhormat bagi Kelana Jaya tadi,
kita sayang kat modal yang banyak itu tidak di utilize dengan
izin dengan betul. Jadi kita nak mengharap supaya itu sebab saya katakan
tadi kita kena perbesarkan, kita kena perbesarkan Maktab Koperasi ini
nak jadikan Universiti Koperasi pun tak apa Tuan Yang di-Pertua. Asalkan
kita boleh beri pendedahan sebaik mungkin, seramai mungkin kepada
lembaga pengarah, kalau boleh ahli-ahli, supaya minda mereka terbuka.
Ini kita ada modal,
modal orang ramai kita kumpul tetapi pengurusan koperasi ini tidak cukup
cekap dan dia nak gajikan orang lain pun dia takut. Tetapi kalau
koperasi-koperasi ini dengan modal-modal yang ada daripada tersimpan
dalam bank tak dapat interest. Tetapi kalau dia dapat menggajikan
paling tidak pun anak-anak mereka, anak-anak ahli yang mempunyai
kelulusan, yang mempunyai kelulusan profesional yang boleh membawakan
lagi koperasi ke arah maju yang lebih luas, mengapa tidak? Tetapi oleh
kerana mereka tidak ada pendedahan akhirnya koperasi pun takut, takut
duit yang ada dan akhirnya apabila akhir tahun dalam mesyuarat agung nak
declare dividen tidak dapat nak declare Tuan Yang
di-Pertua.
|