|
USUL dicadangkan oleh LOH SENG KOK, AHLI DEWAN RAKYAT
KAWASAN KELANA JAYA sempena MESYUARAT PERTAMA (19 Mac – 26 April),
PENGGAL KEEMPAT, PARLIMEN KE-11, TAHUN 2007
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
1) PR-1133-U5617
Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini menyedari suatu pelan tindakan
pragmatik untuk menggalak, memupuk persefahaman dan hubungan harmoni
yang lebih erat di kalangan rakyat berbilang kaum perlu bermula dari
sektor awam, sesuai dengan slogan kepimpinan melalui teladan;
Bahawa Dewan ini mengambil keputusan untuk mendesak
institusi pentadbiran Kerajaan mengkaji semula kaedah dan sistem
pengambilan kakitangan perkhidmatan awam supaya komposisi kaum di
kalangan kakitangan Kerajaan mencerminkan komposisi kaum di negara ini
dan sasaran pengambilan adalah juga untuk menggalakkan integrasi
nasional di setiap agensi awam.”
2)
PR-1133-U5637
Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan
mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini mengambil iktibar tentang perlunya
Pihak Berkuasa Tempatan melaksanakan 23 langkah yang digariskan oleh
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mewujudkan ‘bandar
selamat’;
Menyedari hakikat bahawa masih terdapat lebih daripada
60% PBT dalam negara yang masih gagal melaksanakan 23 langkah berkenaan;
Maka dengan itu Dewan ini mengambil ketetapan agar PBT
yang gagal atau belum melaksanakan 23 langkah berkenaan tidak layak
menukar statusnya ke taraf perbandaran atau bandar raya.”
3) Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan mencadangkan:-
“Dewan ini mengambil maklum bahawa tujuan sistem
kontraktor yang dilaksanakan oleh Kerajaan adalah untuk meringankan
beban Kerajaan, mempercepatkan proses pelaksanaan projek-projek dan
merangsang aktiviti serta pertumbuhan sektor ekonomi yang
‘vibrant’ ;
Dewan ini menyedari hakikat bahawa sehingga kini, masih
wujudnya kelemahan dan kekurangan dalam sistem kontraktor yang
dijalankan, terutamanya kekurangan pemantauan pelaksanaan dan pengagihan
kontrak yang berasaskan keupayaan serta kebolehan;
Maka dengan ini Dewan ini mendesak institusi pentadbiran
Kerajaan supaya mengkaji semula sistem kontraktor yang diadakan sekarang
dan menubuhkan satu badan yang bebas untuk membuat pemantauan terhadap
sistem ini.”
4) PR-1133-5643
Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini melahirkan rasa penuh keyakinan dan
pengiktirafan ke atas prestasi baik yang ditunjukkan oleh Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), iaitu satu jabatan yang telah
ditubuhkan untuk mengurus hal ehwal agama Islam, sebagai agama
persekutuan, sepertimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,
menangani pelbagai masalah dan cabaran memajukan agama Islam di negara
kita, termasuklah menangani ajaran sesat dan soal-soal akidah yang
berkaitan;
Bahawa Dewan ini menyedari hakikat bahawa agama-agama
yang dianuti oleh kira-kira 40% rakyat Malaysia yang bukan beragama
Islam juga menghadapi pelbagai cabaran yang bersangkut-paut dengan
pemupukan akidah serta mengerjakan ibadat agama mereka;
Bahawa Dewan ini menerima baik pembelaan Kerajaan
terhadap kebajikan kerohanian rakyat tanpa mengira kepercayaan dan
agama, dan menerima hakikat bahawa kerohanian rakyat semakin tercabar
dengan ledakan teknologi maklumat yang terlalu meluap-luap, di samping
kewujudan anasir-anasir yang menjatuhkan moral dan akhlak rakyat;
Bahawa Dewan ini menyahut dan menyokong
seruan YAB Dato’ Seri Perdana Menteri, bersama-sama membela rakyat dan
membina rakyat Malaysia demi memantapkan usaha pembangunan modal insan
negara kita;
Maka dengan ini Dewan ini membuat
resolusi agar sebuah agensi Kerajaan ditubuhkan untuk mengurus hal ehwal
agama-agama lain di negara kita.”
5) Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan
mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini merakamkan keprihatinan di atas
kesulitan dan beban yang ditanggung oleh rakyat akibat kenaikan harga
tol lebuhraya-lebuhraya dalam negara;
Menyedari hakikat bahawa wujudnya keraguan dan kekeliruan
tentang isi kandungan, terma dan syarat dalam perjanjian konsesi
lebuhraya bertol; di samping hak pengguna untuk mengetahui justifikasi
sebenar kenaikan harga tol;
Dewan ini mengambil maklum akan usaha YAB Perdana Menteri
untuk mewujudkan institusi pentadbiran Kerajaan yang telus, berintegriti
dan mempunyai akauntabiliti yang tinggi;
Maka dengan ini Dewan ini membuat resolusi bersetuju
institusi pentadbiran Kerajaan menghapuskan keraguan dan kekeliruan
tersebut sekaligus dengan mengubah status (declassify)
dokumen perjanjian konsesi lebuhraya bertol, membolehkannya diteliti
umum dan sekiranya perlu, terma dan syarat perjanjian dikaji semula.”
6) Loh Seng Kok (Kelana
Jaya) akan mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini merakamkan keprihatinan di atas
kesulitan dan beban hidup rakyat jelata akibat kenaikan harga petrol
kerana penurunan subsidi di negara kita pada awal tahun 2006.
Menyedari bahawa harga petrolium di
pasaran dunia telah menurun, maka dengan ini Dewan ini membuat ketetapan
supaya harga petrol dan diesel dalam negara diturunkan.”
Maklumbalas daripada Bahagian
Analisa Cukai (11-04-2007)
7) Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan
mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini mengambil iktibar
bahawa negara kita masih kekurangan anggota dalam profesion kedoktoran,
pergigian dan farmasi. Pada masa yang sama, Dewan ini menyedari bahawa
Kerajaan menanggung perbelanjaan yang tinggi apabila menawar dan menaja
ramai pelajar ke luar negeri untuk melanjutkan pengajian mereka dalam
bidang-bidang berkaitan;
Maka dengan ini Dewan ini membuat
resolusi agar langkah-langkah diambil untuk menambah enrolmen dalam
bidang perubatan, pergigian dan farmasi di IPTA dan IPTS tempatan.”
8) Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan
mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini melahirkan rasa penuh
keyakinan dan pengiktirafan ke atas keupayaan, kebolehan, ketekunan, dan
kesungguhan golongan OKU untuk menjalani kehidupan yang berjaya;
menyedari tafsiran OKU sebagai Orang Kurang Upaya mempunyai konotasi
negatif, keputusasaan dan kurang motivasi; maka dengan ini Dewan
mengambil ketetapan agar OKU ditafsirkan sebagai ORANG KUATKAN UPAYA di
samping institusi pentadbiran Kerajaan membuat perancangan untuk
memperkasakan OKU.”
9) Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan
mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini melahirkan rasa kesal
terhadap kelemahan-kelemahan logistik dan masalah pengangkutan yang
berulang semasa pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN),
mengakibatkan sebahagian pelatih Kumpulan 1 Siri 4/2007 PLKN yang
sepatutnya melapor diri di kem pada hari pertama terpaksa pulang,
manakala beribu-ribu lagi terkandas di beberapa lokasi ‘pick-up’
dan lapangan terbang;
Bahawa Dewan ini menyedari perlunya
tindakan tegas diambil terhadap pegawai yang bertanggungjawab dalam
penilaian dan perlantikan kontraktor serta kontraktor pengangkutan yang
gagal menunaikan syarat-syarat kontrak.
Bahawa Dewan ini juga mengambil keputusan
untuk mendesak pihak kementerian berkenaan mengkaji semula kaedah dan
sistem pengambilan kontraktor perkhidmatan pengangkutan PLKN supaya isu
ketidakcukupan kenderaan, ketiadaan permit perjalanan,
‘roadworthiness’ kenderaan dan lebih-lebih lagi budaya
kontraktor ‘sub’ dan ‘sub-sub’ dapat diatasi.”
|