|
UCAPAN PENANGGUHAN OLEH YB LOH
SENG KOK, AHLI
PARLIMEN KAWASAN KELANA JAYA (P104)
DI MESYUARAT KE-2, PENGGAL KE-4,
DEWAN RAKYAT, PARLIMEN KE-11, PADA HARI RABU, 20 JUN 2007.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
CADANGAN MEWUJUDKAN SKIM
PENCEN SOSIAL UNTUK MENANGANI MASALAH KEMISKINAN GOLONGAN WARGA TUA
Menurut statistik dan
definasi Bangsa-bangsa Bersatu di mana sesebuah negara dikatakan
berpopulasi tua apabila nisbah populasinya yang berumur 65 tahun ke
atas melebihi 7%. Jika kita mengikut sukatan ini dan daripada
perangkaan Jabatan Statistik, maka Malaysia sudah pasti akan
mencapai paras masyarakat tua menjelang tahun 2010.
Di banyak negara luar,
berbagai jenis skim sekuriti sosial telah diperkenalkan untuk
memastikan agar keperluan harian golongan warga tua tidak terjejas
akibat ketiadaan pendapatan.
Di Malaysia, skim sedemikian
agak terhad. Secara umumnya, skim persaraan Malaysia boleh
dibahagikan kepada dua jenis, yakni KWSP dan Skim Pencen yang
berdasarkan pencaruman. Walau bagaimanapun, pernah ditunjukkan
bahawa kurang daripada 10% golongan warga tua yang dilindungi skim
pencen ini. Malah, kajian terkini telah menunjukkan bahawa
kebanyakan pencarum akan menghabiskan simpanan wang mereka dalam
lingkungan masa tiga tahun selepas pengeluaran.
Golongan yang tidak
terlindung oleh skim -skim sedemikian seperti mereka yang bekerja di
sektor-sektor informal, yang menggaji sendiri atau suri rumahtangga dan sebagainya terpaksa bergantung kepada
ahli-ahli keluarga, saudara-mara atau badan-badan sukarela,
kebajikan atau Kerajaan untuk bantuan.
Kajian di
Malaysia menunjukkan 32% daripada golongan miskin adalah terdiri
daripada golongan warga tua yang merupakan 5.9% populasi kita.
Golongan wanita terutamanya didapati lebih susah menyimpan daripada
golongan lelaki atas sebab-sebab seperti upah yang lebih rendah,
tanggungan anak, hayat hidup yang lebih panjang dan sebagainya.
Berkenaan dengan bantuan
Kerajaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia mempunyai satu skim
bantuan kewangan untuk warga tua dengan kriteria-kriteria kelayakan
seperti berikut:- pemohon haruslah berumur lebih daripada 60 tahun
dengan tiada sebarang sumber sokongan kewangan atau tiada anak dan
saudara-mara yang rela menanggung mereka. Daripada tahun 2001,
bantuan kepada warga tua miskin oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat
adalah dalam lingkungan RM135 sebulan.
Tuan Yang Di-Pertua,
Beberapa persoalan mengenai
cabaran masalah kemiskinan warga tua ialah:
a)
Patutkah warga tua
dibiarkan hidup dalam keadaan miskin yang teruk atau meninggal dunia
lebih awal kerana kemiskinan?
b)
Patutkah warga tua
dibenarkan untuk menghadapi riwayat akhir mereka dalam kemiskinan
dan tidak terjamin?
c)
Patutkah warga tua
menikmati riwayat hidup yang sihat dan gembira?
Sehubungan itu, cabaran kini
adalah untuk memastikan peningkatan populasi tua membawa manfaat
yang benar kepada semua warga tua. Ini harus dilihat dari segi
kesejahteraan kebendaan, kesihatan dan jaminan individu memandangkan
ramai warga tua yang hidup dalam kemiskinan dan kesihatan yang lemah.
Tuan Yang Di-Pertua,
Oleh yang demikian, saya
mencadangkan agar diwujudkan satu skim pencen sosial sebagai satu
ukuran untuk mengurangkan kemiskinan di kalangan warga tua.
Pengalaman negara-negara
yang telah memperkenalkan skim 'pencen asas' menunjukkan bahawa skim
sedemikian mendatangkan kebaikan secara praktikal kepada pembangunan,
dengan memberikan keadilan kepada individu tua, menggalakkan
pentadbiran yang baik, serta menstimulasikan perkembangan ekonomi.
Skim tersebut juga memberikan satu peringkat situasi yang sejahtera,
mantap dan gembira kepada golongan tua.
Kebaikan skim ini dari
segi ekonomi dan sosial boleh meliputi:
- meningkatkan
kesihatan golongan tua
- meningkatkan
status sosial golongan tua
- meningkatkan
maruah dan perasaan keyakinan di kalangan golongan tua
yang tidak ingin
bergantung kepada ahli-ahli keluarga
- mengurangkan
risiko dera dalam kes individu yang tua dan lemah
- membolehkan
golongan tua makan sekurang-kurangnya sekali sehari
- memastikan
golongan tua menikmati perkhidmatan dan kemudahan asas
seperti jagaan
kesihatan, tempat tinggal dan sebagainya
- menanggung
seluruh rumahtangga secara tidak langsung terutamanya
rumahtangga yang mempunyai anak yatim yang diketuai oleh golongan
tua
- memperkukuhkan
tanggungjawab negara
- melegakan atau
mengurangkan beban anak-anak dewasa
- menyokong
pertumbuhan ekonomi dan pembentukan kerja-kerja di mana
rakyat akan lebih
sedia mengambil risiko
Tuan Yang Di-Pertua,
Dengan yang sedemikian, saya
berpendapat bahawa pelaksanaan
satu skim pencen sosial
harus dirancang untuk dimasukkan ke dalam program pembangunan negara
sebagai sebahagian daripada strategi untuk mengurangkan kemiskinan.
Ini boleh juga dijadikan satu demonstrasi kepada dunia bahawa
Malaysia maju ke hadapan sebagai sebuah negara yang prihatin,
penyayang, bertanggungjawab serta matang. Ia juga menunjukkan
komitmen Malaysia dalam Deklarasi Bangsa-bangsa Bersatu untuk hak
asasi manusia dan perjanjian antarabangsa untuk melindungi daripada
kemiskinan di mana Malaysia adalah juga ahli.
Bagi Kerajaan pula, skim
sedemikian yang memenuhi keperluan asas untuk hidup bagi golongan
tua dan miskin, adalah bukti kejujuran dan keprihatinan Kerajaan
untuk memastikan rakyat jelata meningkat tua dengan bermaruah.
(Teks
Jawapan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)
|