|
UCAPAN PENANGGUHAN OLEH YB LOH
SENG KOK, AHLI
PARLIMEN KAWASAN KELANA JAYA (P104)
DI MESYUARAT KE-2, PENGGAL KE-4,
DEWAN RAKYAT, PARLIMEN KE-11, PADA HARI ISNIN, 2 JULAI 2007.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
CADANGAN MEMPELBAGAIKAN
PAKEJ PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA
Kerajaan memperkenal dan
melancarkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dengan tujuan melatih
remaja pelbagai kaum dan agama supaya bersemangat waja, berdisiplin,
patriotik, membentuk perwatakan positif, sentiasa bersedia menghadapi
cabaran serta menjadi pelapis dalam pembangunan masyarakat yang mampan
lagi bersatupadu.
PLKN telah dimulakan dengan siri
pertama pada tahun 2004 dengan pengambilan pelatih seramai lebih kurang
85,000 orang remaja. Sehingga dalam siri 4 tahun 2007, ditambahkan
pengambilan pelatih di mana 100,000 orang remaja dipilih secara rambang
melalui komputer untuk menyertai program latihan beruniform ini.
Setakat ini, hanya remaja
berumur 18 tahun telah disasarkan dalam semua siri program berkenaan,
sungguhpun peruntukan Akta Latihan Khidmat Negara membolehkan
penglibatan peserta yang berumur di antara 16 – 35 tahun,
Setiap tahun dianggarkan
terdapat lebih kurang 450,000 orang remaja berumur 18 tahun dalam
populasi negara kita. Walaupun setakat ini hanya golongan remaja berumur
18 tahun sahaja dipilih menyertai PLKN, akan tetapi masih terdapat
majoriti dalam golongan remaja itu tidak dapat menyertai PLKN.
Ini adalah kerana PLKN yang kini
dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan tidak dapat menampung kesemua
remaja golongan itu disebabkan kekurangan-kekurangan dari segi tenaga,
jurulatih, kewangan, kemudahan, prasarana latihan dan sebagainya.
Dalam pada itu, oleh kerana
terdapatnya kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan PLKN, maka timbullah
persoalan tentang kesesuaian penglibatan perempuan, cadangan kurangkan
latihan fizikal untuk pelatih perempuan, mengasingkan pelatih ikut
jantina, cadangan mengurangkan bilangan pelatih perempuan dan lain-lain
lagi.
Tuan yang DiPertua,
Negara kita juga berhadapan
dengan dua permasalahan yang lain, iaitu
1) kekurangan anggota polis yang
menjaga keselamatan dan ketenteraman masyarakat; dan 2) kekurangan
jururawat dalam sektor perkhidmatan kesihatan.
Sehingga 31 Julai 2006, PDRM
mempunyai 96,861 perjawatan dan kekuatan seramai 91,727 orang pegawai
dan anggota di seluruh negara. PDRM memerlukan seramai 60,000 lagi
anggota pegawai / anggota pelbagai pangkat. Sasaran pengisian keperluan
ini adalah seramai 10,000 pegawai / anggota setahun mulai tahun 2007
hingga 2011 mengikut kapasiti latihan, selaras dengan Pelan Strategik 5
Tahun PDRM.
Bagaimanapun, majoriti yang
memohon dan menyertai PDRM adalah kebanyakannya kaum Melayu. Maka PDRM
dan pihak berkuasa lain perlu berusaha menarik lebih ramai penyertaan
lain-lain kaum.
Tuan Yang DiPertua,
Bagi perjawatan jururawat pula,
Mengikut Lembaga Jururawat (di
bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM), jumlah jururawat yang telah
didaftarkan dengan KKM setakat 31 Disember 2006 adalah 52,456 orang
jururawat di kemudahan kesihatan awam; manakala 15,883 orang jururawat
di kemudahan kesihatan swasta.
Mengikut risalah Health
Facts, nisbah bilangan jururawat kepada bilangan penduduk negara
kita bagi tahun 2004 - 2005 adalah:
|
2005 |
awam |
1: 802
penduduk |
|
swasta |
1:2,264
penduduk |
|
Purata |
1: 592
penduduk |
|
2004 |
awam |
1: 853
penduduk |
|
swasta |
1: 2,504
penduduk |
|
Purata |
1: 636
penduduk |
Nisbah bilangan jururawat kepada
bilangan penduduk yang sewajarnya (ideal) adalah di dalam
lingkungan 1:200 penduduk.
Dalam pada itu, pecahan
jururawat yang berkhidmat di kemudahan kesihatan awam (5 jenis kemudahan
kesihatan awam termasuk hospital, poliklinik, maternal and child
health centres, klinik bergerak dan klinik desa) mengikut kaum
seperti yang dicatatkan oleh Lembaga Jururawat adalah Melayu 77%, Cina
4%, India 2%, Bumiputra Sabah & Sarawak 17% dan lain-lain itu
“negligible” atau sedikit sahaja.
Tuan Yang DiPertua,
Status ketidakseimbangan
(imbalance) dari segi kaum dan kekurangan anggota dalam pasukan
polis dan perjawatan jururawat perlu diberi perhatian serius dan
langkah-langkah perlu diambil untuk memperkasakan kedua-dua jenis
kerjaya murni yang beruniform.
Pihak institusi pentadbiran
Kerajaan telah menjalankan kajian dan mendapati bahawa PLKN memang
mendapat sambutan baik dan memperakui bahawa semua remaja perlu diberi
peluang yang saksama untuk mengikuti PLKN, di samping mencari jalan
untuk memperkasa PLKN dengan mengadakan program pra dan pasca PLKN yang
bersesuaian;
Memperakui bahawa kejayaan PLKN
adalah tanggungjawab bersama semua sektor dan lapisan masyarakat, dan
juga menyedari agar agensi-agensi tertentu juga dapat mengendalikan PLKN
di mana pelatih akan memakai pakaian seragam sambil menjalankan latihan
yang dapat menyemai nilai murni seperti setia kepada negara, berdisiplin,
sudi bekerjasama, dan bersedia berkhimat untuk komuniti,
Maka mempelbagaikan pakej PLKN
di bawah penyeliaan dan pengelolaan pihak agensi PDRM dan agensi
Kesihatan adalah dicadang dapat diperkenalkan. Tertakluk kepada
penelitian lebih lanjut, pengambilan pelatih pakej PLKN di bawah PDRM
boleh jadi 70% lelaki dan 30% perempuan; manakala pakej PLKN di bawah
agensi Kesihatan boleh timbang terima 20% lelaki dan 80% perempuan.
Cadangan mempelbagaikan pakej
PLKN ini diharap mendapat sambutan memandangkan ianya dapat mencapai
beberapa objektif serentak yang mungkin lebih baik daripada serampang
dua mata seperti berikut:
1) memperluaskan skop PLKN;
2) meringankan beban
Kementerian Pertahanan yang kini merupakan agensi
tunggal melaksanakan PLKN;
3) lebih ramai remaja
berpeluang menyertai PLKN;
4) memberi peluang kepada
agensi berlainan untuk berinteraksi dengan
golongan remaja dan dapat
mesra rakyat;
5) memberi pendedahan kepada
remaja tentang profesion kepolisan &
kejururawatan;
6) menyemai nilai penyayang,
keprihatinan, kesetiaan dan semangat
bertanggungjawab kepada
masyarakat;
7) memasyarakatkan
(socialization) dan menyetempatkan (localize) PLKN.
Maka dengan itu. adalah diharap
pihak institusi pentadbiran Kerajaan membuat penggubalan perundangan
tertentu, perancangan penyenggaraan dan persiapan agar PLKN dapat
dipelbagaikan demi pembinaan modal insan sebagai menyediakan generasi
muda yang bersemangat waja, berdisiplin dan patriotik untuk membangunkan
masyarakat yang lebih bersatupadu dan progresif.
(Jawapan
oleh Timbalan Menteri Pertahanan) |