|
(Extracted from hansard dated 02-07-2007)
5.38 ptg.
Timbalan
Menteri Pertahanan [Dato’ Zainal Abidin bin Zin]:
Tuan Yang
di-Pertua dan Yang Berhormat bagi Kelana Jaya, Program Latihan Khidmat
Negara telah diperkenalkan pada tahun 2004 bertujuan untuk memupuk
perasaan cinta dan sayangkan negara khususnya di kalangan generasi muda
seperti yang disarankan oleh Yang Berhormat juga.
Program ini adunan
sebegitu rupa dengan landasan memupuk semangat patriotisme serta jalinan
integrasi nasional dan harmoni sebagai usaha untuk mewujudkan kestabilan
dan kesejahteraan rakyat yang berterusan dan berkekalan..
Pengendaliannya mengikut acuan Malaysia serta pendekatan pelaksanaannya
mengikut ciri yang seperti berikut:
(i) dijalankan
sepenuhnya di kem-kem PLKN di seluruh negara selama tiga bulan;
(ii) direka
agar menyeronokkan, berfaedah dan akan menjadikan kenangan sepanjang
masa;
(iii) di
dalam PLKN ini tidak ada aktiviti bersifat penderaan;
(iv) proses
pembelajaran yang menarik serta berbentuk
experimental learning
iaitu belajar secara amali;
(v) mengutamakan
semangat muhibah dalam semua aktiviti yang dijalankan;
(vi) pelatih
dihantar untuk menjalani PLKN di luar daerah ataupun tempat tinggal bagi
menggalakkan integrasi budaya dan pelaksanaannya tidak berbentuk ke arah
tenaga.
Tuan Yang
di-Pertua, pelaksanaan PLKN adalah berbeza dengan pelaksanaan Khidmat
Negara di beberapa negara lain yang bertujuan untuk ketenteraan. PLKN
tidak berbentuk ke arah tenaga atau
military consecrate
dan
matlamat bukanlah melahirkan rakyat Malaysia yang akan berminat untuk
menyertai tentera semata-mata. Modul-modul teras dan komponen-komponen
tambahan yang telah dilaksanakan juga jelas bukan untuk menyediakan
remaja Malaysia untuk penyertaan dalam perkhidmatan badan beruniform
sahaja. Kita lebih penting supaya tidak takut mencuba, sikapnya tidak
takut berasa kecewa, lebih berdikari dan sebagaimana yang pasti akan
menguntungkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.
Tuan Yang
di-Pertua, kalau pun ada latihan ketenteraan, elemen ketenteraan yang
digunakan semasa PLKN contohnya, latihan kawad atau latihan pengendalian
senjata api adalah sebagai pengukuhan disiplin dalam siri, dalam diri
pelatih itu sendiri dan bukannya melatih pelatih ke arah ketenteraan.
Kerajaan atau pun kementerian sedar bahawa kita juga melatih mereka
untuk dijadikan bahan atau tenaga pekerja dalam berbagai-bagai aspek
yang perlu. Sejak dilaksanakan, PLKN telah menampakkan kejayaan dalam
memenuhi objektif yang disarankan. Ini dapat dilihat melalui penilaian
dan maklum balas positif dari pelbagai pihak seperti berikut:
(i) kalangan
ibu bapa bekas pelatih PLKN sendiri yang telah dapat melihat sendiri
berapa perubahan positif dan memberangsangkan terhadap diri anak-anak
mereka;
(ii) pandangan
daripada pihak guru dan pensyarah yang melihat perbezaan penghasilan
mutu kerja, komen, idea yang bernas, menghormati pensyarah, komited dan
bersemangat tinggi untuk belajar; dan
(iii) maklum
balas daripada pelatih PLKN didapati telah lebih dari 90% bersetuju dan
mengakui bahawa PLKN ini telah memberi ilmu dan pengalaman yang
berfaedah selaras dengan matlamat PLKN kini.
Tuan Yang
di-Pertua, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk memberikan peluang
kepada semua golongan remaja seperti yang telah dibangkitkan oleh Yang
Berhormat tadi. Remaja dalam negara ini yang berkelayakan menyertai PLKN,
bagaimanapun hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan buat masa ini
memandangkan masalah kekurangan kemudahan infrastruktur, logistik dan
juga kekangan kewangan.
Atas sebab
kekangan ini juga maka bilangan pelatih yang boleh menyertai PLKN
dihadkan dan dipilih menggunakan sistem pengundian secara rawak
berkomputer. Namun begitu, usaha menambahkan bilangan pelatih telah
dibuat dari tahun ke tahun dan dalam masa yang sama remaja yang berminat
secara sukarela juga dibenarkan. Sehingga kini anggaran 20% dari jumlah
keseluruhan golongan remaja negara berumur 18 tahun dipilih mengikut
latihan PLKN pada setiap tahun.
Tuan Yang
di-Pertua, PLKN dilaksanakan sehingga sekarang. Pelbagai perubahan dan
penambahan telah, sedang dan akan dilaksanakan secara berterusan.
Latihan diberi kepada generasi muda negara yang melalui PLKN adalah
merupakan satu perubahan jangka panjang kerajaan dan saya percaya
cadangan untuk mempelbagaikan pakej PLKN di bawah penyeliaan dan
pengelolaan pihak Polis Diraja Malaysia dan agensi kesihatan jelas
merupakan satu pandangan jauh dan ikhlas dalam mengatasi masalah
kekurangan polis dan jururawat di negara ini di samping menambah
pembinaan modal insan nasional.
Seperti yang telah
kita katakan, bahawa kita melatih anak-anak putera dan puteri tanah air
kita dalam PLKN ini untuk mereka mempraktikkan sikap jati diri, disiplin
dan komited dalam apa tugas yang mereka diberi tanggungjawab. Insya-Allah,
ianya setelah mendapat beberapa sokongan dan pandangan yang baik, dan
sentiasa perubahan dibuat akan menentukan bahawa PLKN ini kita jalankan
seperti biasa dan berteraskan kepada kebenaran yang telah diluluskan.
Terima kasih.
|