|
(Extracted from hansard dated
09-07-2007)
Tuan Loh Seng
Kok [Kelana Jaya]:
Terima kasih, Tuan
Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya
bersetuju dengan apa yang telah dikatakan oleh Yang Berhormat Timbalan
Menteri bahawa bagi mereka yang memberi maklumat palsu, maka haruslah
mereka dihukum. Bagi syarikat/firma-firma rujukan kredit ini bukan
sahaja wujud di Malaysia tetapi wujud juga di luar negara. Di Malaysia
bukan hanya CTOS dan ada juga seperti mana yang disebutkan oleh Yang
Berhormat Kubang Kerian dan juga ada badan-badan seperti biro kredit
yang diwujudkan oleh Persatuan Syarikat Kewangan Malaysia iaitu
Perkhidmatan Informasi Kewangan Malaysia (FIS) dan juga lain-lain lagi.
Persoalan pokoknya
ialah siapakah yang mewujudkan data tersebut? Adakah data itu tepat
ataupun tidak? Sebagai contohnya dalam Akta Bankrapsi, peraturan 234
mengatakan bahawa sekiranya seseorang itu dianggap telah dijatuhkan
bankrap oleh mahkamah, maka seharusnya pihak mahkamah mewartakan
bankruptcy
dalam Warta
Kerajaan tetapi kebanyakannya tidak lakukan ataupun tidak diupdate.
Dalam Akta
Bankrapsi juga, dalam seksyen 33(3) yang menyatakan bahawa Ketua
Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia yang telah melupuskan kes-kes
bankrap, maka seharusnya perkara itu diiklankan di dalam akhbar tetapi
kebanyakannya tidak dilakukan. Apakah mereka yang tidak mengupdatekan
maklumat-maklumat awam tersebut boleh disalahkan juga atau dihukum dalam
akta yang akan digubal kemudian. Terima kasih.
Datuk Dr.
Awang Adek bin Hussin:
Terima kasih, Yang
Berhormat. Perincian mengenai akta ini, apa yang akan dimuatkan sebagai
peruntukan-peruntukan yang perlu dan tindakan-tindakan yang akan diambil
ini perlu kepada pengkajian dan perbincangan selanjutnya. Buat masa ini
kita tidak ada draf lagi yang boleh kita nyatakan dengan khusus tetapi
yang jelas dari segi prinsipnya keadilan moral seperti yang saya
sebutkan tadi mesti dipertegakkan, pengguna tidak boleh dianiayai dan
sekiranya kesilapan ini dilakukan dalam sistem tersebut, maka kalau
pengguna hendak memperbetulkan kesilapan tersebut janganlah pula dia
terpaksa membayar wang, padahal dia tidak kena mengena dengan kesalahan
yang dilakukan.
Saya juga ingin
dalam barangkali masa seminit dua sebagai penutup ini, untuk menyatakan
bahawa dalam kita menyuarakan kebimbangan dan kerisauan kita tentang
masalah ini, kita juga jangan lupa bahawa sebenarnya dalam konteks
sebuah negara, sebuah ekonomi, sebuah sistem kewangan, maklumat kredit
seperti ini perlu ada. Cuma yang memberikan maklumat, yang mengendalikan
maklumat ini dan bukan sahaja satu, saya kira mungkin perlunya dua atau
tiga, mestilah kegiatan ini di bawah satu undang-undang yang memastikan
bahawa penyelenggaraan dan pelaksanaan maklumat kredit ini adalah
bertepatan dengan hasrat kita sebagai sebuah negara untuk menjana
pertumbuhan, menggalakkan pinjaman, untuk memastikan rakyat tidak
dipersia-siakan dan hasrat mereka untuk melibatkan diri dalam bidang
ekonomi, terutama sekali ekonomi baru di mana ekonomi baru ini, tidak
semestinya kegagalan satu-satu masa, tidak semestinya petunjuk kepada
kegagalan sepanjang masa.
Barangkali kalau
kita ada satu
framework
yang
sedemikian, satu keinsafan dan kesedaran yang sedemikian, maka kita akan
bekerjasama untuk mencari satu penyelesaian, mencari satu kaedah di mana
semuanya akan berjalan dengan lancar dan baik dan memberi faedah kepada
semua. Ini kerana sekiranya maklumat-maklumat ini dikendalikan dengan
baik juga berguna kepada peminjam kerana apabila nama mereka itu,
kalaupun ada dalam sistem maklumat itu tetapi bersih namanya, tidak ada
black mark,
dengan izin maka pinjaman itu barangkali mungkin dapat diproses dengan
lebih cepat. Jadi, tidak perlulah lagi bank menanti-nanti ataupun
mencari sumber yang lain tetapi kalau kita tidak ada maklumat kredit ini,
kalau kita berhentikan segera semua yang ada, barangkali susah juga.
Barangkali bank-bank akan memakan masa dan mungkin kita tidak boleh
dipersalahkan kerana bank tidak ada satu rujukan yang boleh dibuat untuk
memastikan.
|