|
USUL dicadangkan oleh LOH SENG KOK, AHLI DEWAN RAKYAT
KAWASAN KELANA JAYA sempena MESYUARAT KETIGA (27 Ogos - 19 Dis 2007), PENGGAL KEEMPAT, PARLIMEN KE-11, TAHUN 2007
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
1) Tuan Loh Seng
Kok [ Kelana Jaya ]
akan mencadangkan:-
"Bahawa Dewan ini
mengambil maklum bahawa tujuan sektor perkilangan merupakan sektor yang
menjadi fokus ekonomi utama Kerajaan sejak tahun 2000. Pelan Induk
Perindustrian Ketiga yang merangkumi tempoh 15 tahun (tahun 2006-2020)
disediakan supaya dapat meningkatkan daya saing industri pembuatan dan
perkhidmatan. Menyedari hakikat bahawa perubahan struktur ekonomi
mempunyai implikasi yang penting ke atas permintaan masa hadapan bagi
pembangunan sumber manusia di negara ini. Apabila ekonomi menuju ke arah
kegiatan perkilangan yang lebih canggih dan berteknologi tinggi, satu
bekalan guna tenaga yang mencukupi adalah diperlukan. Maka dengan ini
Dewan ini mengambil keputusan bahawa institusi vokasional dan politeknik
perlu ditambahkan lagi untuk memenuhi pertambahan dalam permintaan bagi
pekerja mahir dan teknikal."
(Menteri Sumber
Manusia)
2) Tuan Loh Seng
Kok [ Kelana Jaya ]
akan mencadangkan:-
"Bahawa Dewan ini
melahirkan rasa sedih terhadap kekalahan yang teruk bagi pasukan bola
sepak negara kita dalam Asian Cup yang diadakan baru-baru ini. Bahawa
Dewan ini merasa amat kesal dengan kegagalan tersebut yang menjejaskan
prestasi sukan dan imej negara. Kejadian ini juga membazirkan
beribu-ribu juta ringgit yang telah dilaburkan ke dalam bidang bola
sepak. Maka Dewan ini mengambil ketetapan agar sebuah Jawatankuasa Khas
ditubuhkan serta merta untuk mengkaji semula segala kekurangan dan
kelemahan dalam bidang sukan negara kita khasnya bidang bola sepak
supaya bidang sukan negara kita dapat terus berkembang dan mengharumkan
nama negara kita di peringkat antarabangsa."
(Menteri Belia
dan Sukan)
3) Tuan Loh Seng
Kok [ Kelana Jaya ]
akan mencadangkan:-
"Bahawa Dewan ini
menyedari kebanjiran pendatang asing Indonesia yang sah dan tanpa izin
yang begitu ramai sehingga menimbulkan masalah sosial dan mengancam
ketenteraman masyarakat. Maka dengan ini Dewan ini mengambil keputusan
untuk mendesak institusi pentadbiran Kerajaan mengambil tindakan yang
tegas untuk mengatasi masalah ini dan mengenakan hukuman yang berat
terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan golongan yang terlibat."
(Menteri Hal
Ehwal Dalam Negeri)
|