|
(Extracted from hansard dated 15-11-2007)
3.30 ptg
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Terima
kasih Tuan Pengerusi.
Saya hendak masuk
ke Maksud Bekalan 22 berkaitan dengan Pembasmian Kemiskinan - Butiran
010900.
Tuan Pengerusi,
kita tahu bahawa kementerian memang berusaha untuk memastikan program
dan mekanisme pembasmian kemiskinan dilaksanakan dengan berkesan untuk
membasmi kemiskinan khususnya kemiskinan tegar di kawasan luar bandar.
Tuan Pengerusi,
satu masalah ialah tentang kemiskinan ini dia berhijrah, saya kawasan
Parlimen di kawasan bandar, tetapi sekiranya usaha-usaha membasmi
kemiskinan di luar bandar tidak dapat dilaksanakan dengan baik maka ia
akan melimpah ke kawasan-kawasan bandar dan membawa masalah-masalah
sosial yang tidak diingini.
Oleh itu,
Tuan Pengerusi, dalam usaha pembasmian kemiskinan ada satu skim yang
dipanggil Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di mana pihak
kementerian seharusnya melaksanakan skim dengan baik. Saya dimaklumkan
bahawa apabila pihak kementerian hendak
melancarkan skim tersebut, maka mereka membuat majlis-majlis tertentu
untuk merasmikannya ataupun membuat majlis pelancaran. Sekiranya wang
yang diperuntukkan untuk pembasmian
kemiskinan hanya digunakan untuk pelancaran majlis-majlis tertentu, saya
rasa ini satu pembaziran. Lebih baik wang yang diperuntukkan itu dapat
digunakan dengan sebaik-baik
mungkin untuk
membasmi kemiskinan dengan betul.
Dalam hal Skim
Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) ini, saya hendak bertanya
bagaimanakah maklumat-maklumat SPKR di kumpul dan di analisa? Ini kerana
saya dapati bahawa di kawasan saya pun ada penduduk-penduduk yang telah
berhijrah dari kawasan luar
bandar ke kawasan bandar dan meminta kita memberi sokongan untuk
mendapatkan rumah kos
rendah, rumah rakyat dan sebagainya.
Pada hal
apabila kita semak, dia datang dari luar bandar.
Kita tidak ada satu search
mekanisme untuk menyemak apakah dia telah memperoleh rumah di
kawasan luar bandar dan datang ke bandar dia masih memohon rumah lagi,
masih dalam keadaan yang miskin.
Dalam
SPKR ini bagaimanakah sistem pengesanan dapat dilakukan dan diselaraskan
dengan agensi-agensi yang lain di kawasan bandar supaya tidak ada
penipuan dan pertindihan
yang berlaku, yang cuba dilakukan oleh kementerian-kementerian tertentu
untuk membasmi kemiskinan. Oleh itu saya mintalah supaya pihak
kementerian dapat mengemaskinikan data-data
itu dan berkongsi data-data tersebut dengan jabatan-jabatan lain.
Sekiranya kementerian itu tidak dapat menyelaraskan perkongsian data ini
mungkin ia perlu diselaraskan dengan Jabatan Perdana Menteri supaya
data-data ini dapat dilihat dan disemak oleh semua kementerian yang cuba
berusaha untuk membantu membasmi kemiskinan.
Satu
perkara lagi ialah bagi Maksud Bekalan 22 Butiran 02000 tentang Jabatan
Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan saya ingin kaitkan dengan Maksud
Pembangunan 22 Butiran 00400 yang berkaitan dengan pendidikan
prasekolah.
Tuan
Pengerusi, kita semua sedia maklum bahawa kita memang memberi penekanan
supaya generasi muda diberi pendidikan yang secukupnya dan peruntukan
telah pun disampaikan supaya jabatan itu dapat melaksanakan tugas dengan
baik. Dalam hal ini, pendidikan prasekolah, KEMAS ada menubuhkan tabika-tabika
ataupun Taska KEMAS untuk membantu golongan yang kurang mampu khususnya
di kawasan luar bandar. Kita semua sedia maklum bahawa fokus KEMAS
adalah di kawasan luar bandar, tetapi kebelakangan ini saya perhatikan
jabatan ini pun masuk ke kawasan bandar.
Sekiranya terdapat
unit-unit kosong di
dalam sesuatu pemajuan perumahan KEMAS pun hendak meminta supaya
diberikan tempat untuk menubuhkan taska ataupun tabika KEMAS.
Saya
tidak ada halangan sekiranya ada ruangan yang cukup, tetapi saya juga
diminta oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN)
untuk mewujudkan tadika perpaduan. Maka saya lihat sekiranya ada
permohonan dari kedua-dua jabatan, saya rasa Jabatan KEMAS perlu memberi
laluan kepada JPNIN kerana tumpuan KEMAS adalah di kawasan luar bandar
seperti mana yang kita sedia maklum. Tumpuan perlu diberikan di kawasan
luar bandar bukannya di kawasan bandar. Oleh kerana masalah sosial yang
rumit di kawasan bandar kita perlu menyatupadukan rakyat di kawasan
bandar, maka seharusnya Jabatan KEMAS perlulah memberi pertimbangan yang
lebih supaya tidak terlalu keras kepala untuk hendak mendapatkan semua
ruang yang ada dan tidak mahu memberi laluan kepada JPNIN untuk
menubuhkan tabika perpaduan yang boleh membantu negara.
Dengan
itu Tuan Pengerusi, hanya dua perkara sahaja yang saya bangkitkan ini
dan saya
mintalah pihak kementerian dapat memberi keprihatinan yang secukupnya.
Sekian, terima kasih.
|