|
(Extracted from hansard dated 21-11-2007)
12.14 tgh.
Tuan Loh Seng
Kok [Kelana Jaya]:
Terima kasih, Tuan
Pengerusi. Butiran 020000 berkenaan dengan Pembangunan dan Koperasi yang
saya hendak kaitkan dengan Butiran 13000 - Maktab Kerjasama Malaysia.
Tuan Pengerusi,
baru-baru ini saya terbaca satu laporan yang dikeluarkan oleh Perikatan
Koperasi Antarabangsa (ICA) yang menunjukkan bahawa koperasi terbesar di
dunia ini ada 300 buah di mana telah menyumbang kira-kira USD 1 trilion
kepada ekonomi global setiap tahun. Apa yang hendak saya pertikaikan
ialah di dalam senarai 300 buah koperasi ini tidak ada sebuah pun dari
Malaysia. Walaupun di antara 300 buah koperasi terbesar dunia ini ada
yang agak baru sahaja ditubuhkan lebih kurang 10 tahun hingga 15 tahun,
tetapi koperasi-koperasi di Malaysia yang kebanyakannya telah wujud
berpuluh-puluh tahun tetapi tidak dapat dimasukkan dalam senarai 300
buah koperasi yang terbesar di dunia. Yang dapat dimasukkan hanyalah di
antara 150 buah koperasi di kalangan negara-negara sedang membangun.
Maka saya hendak
bertanya kepada pihak kementerian dan juga Maktab Kerjasama Malaysia,
bagaimanakah kita dapat membantu untuk menghubungkan koperasi-koperasi
yang telah wujud lama di Malaysia ini dengan syarikat-syarikat GLC dan
juga
multinational company
supaya kita dapat membangunkan koperasi Malaysia ini ke satu tahap yang
lebih membanggakan.
Kedua, Butiran
09600 berkaitan dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan. Tuan
Pengerusi, di kawasan bandar jumlah kependudukannya amatlah tinggi. Saya
hendak bertanya tentang pelesenan bas sekolah. Bagaimanakah pelesenan
bas sekolah diagihkan untuk kawasan luar bandar dan kawasan bandar. Di
kawasan bandar setiap pengusaha hanya dapat menghantar murid-murid bagi
satu trip sahaja kerana kesesakan lalu lintas dan juga keadaan perumahan
yang begitu banyak dan kebanyakan daripada mereka adalah daripada
pengusaha kecil ataupun hanya mula menjalankan perniagaan sebagai
pemilik tunggal untuk membawa bas sekolah.
Di sini kita
nampak ada satu masalah di kawasan bandar apabila pihak Lembaga
mengenakan syarat bahawa pengusaha-pengusaha kecil ini hendaklah
mendapatkan kelulusan daripada PBT untuk mengadakan tempat letak kereta
ataupun tempat letak bas. Tetapi di kawasan bandar, di kawasan PBT,
tidak ada tempat untuk meletak bas kerana mereka hanyalah pengusaha
kecil. Di mana mereka dapat mengadakan tempat ruang yang besar untuk
meletakkan bas mereka? Ini adalah satu masalah timbul. Oleh yang
demikian saya minta agar pihak Lembaga di bawah bimbingan kementerian
dapat mengadakan rundingan dengan pihak PBT supaya janganlah kita
menindas pengusaha-pengusaha kecil ini yang cuba menyediakan
perkhidmatan bas sekolah di kawasan bandar. Dengan itu saya mengucapkan
terima kasih.
|