|
(Extracted from hansard dated 22-11-2007)
12.05 tgh.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Terima kasih Tuan
Pengerusi. Maksud P. 27, Butiran 02000 - Skim mengatasi Kesesakan Lalu
Lintas, Butiran 20000 - Membina Persimpangan Bertingkat dan Jejambat,
Butiran 21000 yang juga berkaitan dengan Membina Persimpangan Bertingkat
(Projek Baru).
Isu pertama Tuan Pengerusi, Yang Berhormat Menteri.
Lebuh Raya Damansara Puchong, LDP sudah bertahun-tahun saya bercakap
dengan hal ini masih berlakunya kesesakan iaitu Plaza Tol LDP di Bandar
Sunway. Selepas tol jam, sebelum tol pun jam. Tuan Pengerusi, mungkin
saya rasa perlu ada satu skim integrasilah untuk mengatasi kesesakan
lalu lintas di lebuh raya LDP di sini.
Mungkin saya boleh cadangkan, kalau kita lihat dalam PBT
ada pelbagai kadar dikenakan kepada luar bandar dan dalam bandar untuk
assessment dan sebagainya, dan bagi syarikat telekomunikasi
hand phone sama ada Maxis ataupun Celcom adanya kadar off peak
adanya kadar peak hours. So, oleh itu bila kadar dalam waktu
peak dia lebih mahal, kadar off peak dia lebih murah. Maka
saya ingin mencadangkan kepada Yang Berhormat Menteri supaya mengkaji,
apakah kita boleh melaksanakan satu kadar sebegini, satu skim macam ini
supaya dalam waktu peak adanya kadar berlainan dan waktu off
peak yang berlainan, tetapi perlu disepadukan dengan insentif yang
diberikan seperti mereka yang menggunakan kad ETC, Electronic Toll
Collection sistem di Amerika Syarikat dan juga Canada, EZ pass.
Mereka yang menggunakan ETC ini maka diberikan diskaun
dan laluan-laluan di dalam plaza tol itu ditambahkan untuk kemudahan
mereka yang menggunakan kad ETC. Itulah saya hendak cadangkan supaya
dikaji agar dapat dilaksanakan di kawasan di Lebuh Raya LDP, di Plaza
Tol LDP di Bandar Sunway. Kalau tidak dapat dilaksanakan mungkin Yang
Berhormat Menteri boleh fikirkan, cadangkan kepada Kabinet supaya
buangkanlah plaza tol tersebut kerana sebelum tol, selepas tol jam,
tidak ada orang yang suka maka bayar pun jam tidak bayar pun jam,
mengapa pula? Selepas bayar pun jam, okey itu yang pertama.
Yang keduanya, jalan penyambung Subang-Kelana dan sedang
dilaksanakan oleh Ahmad Zaki
Resources Berhad di Jalan
Kewajipan Subang Jaya. Tuan Pengerusi, projek ini dimulakan pada tahun
2004, dua kali dilanjutkan tempoh dan sepatutnya habis dilaksanakan
tahun ini bulan Jun 2007, dilanjutkan lagi sehingga tahun depan 2008,
Disember. Apa yang saya hendak tanya ialah seperti mana berapa kali saya
bangkitkan perkara ini, skop kerja jalan penyambung Subang-Kelana ini,
setakat ini hanya sampai di hadapan Kompleks 3K Jalan Kewajipan melepasi
Sekolah Sri Kuala Lumpur dan Bulatan Kewajipan.
Skop ini hanya berhenti di hadapan
traffic light, lampu isyarat sebelum melintasi Lebuh Raya KESAS ke
USJ. Oleh itu saya hendak cadangkan, ini masih akan jadi bottleneck
di traffic light sebelum melintasi KESAS, dan saya hendak
cadangkan agar dilanjutkan lagi projek ini supaya, bukan lanjutkan
tempoh tetapi panjangkan lagi skop kerja ini supaya lebih kurang 800
meter hingga 1,000 meter sahaja, melintasi KESAS dan selepas Kompleks
Summit menurun di Persiaran Murni dan Persiaran Subang Permai. Maka ini
akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan di situ. Itu perkara yang
kedua.
Perkara yang ketiga ialah LDP lagi. LDP mempunyai
beberapa persimpangan
U-Turn di sepanjang lebuh raya
ini. Ini dapat memberi keselesaan kepada rakyat yang berulang alik, yang
membuat pusingan U–Turn di mana-mana di sepanjang LDP. Ini adalah
suatu perkara yang baik. Oleh itu saya hendak mencadangkan kepada Yang
Berhormat Menteri supaya, New Pantai Express Way (NPE) pun
mempunyai persimpangan pusing-U bertingkat sedemikian sebab sebelum pelaksanaan NPE, penduduk-penduduk
di Bandar Sunway, PJS 5, PJS 6 dan PJS 7 dapat berulang alik dengan
senang.
Selepas pembinaan NPE, penduduk-penduduk telah
dipisahkan di antara PJS 6 dan juga PJS 7. Sekolah-sekolah terletak di
kawasan PJS 7. Seperti SMK Bandar Sunway yang terletak di sebelah sana.
Walaupun sekarang ini ada satu pusingan U yang
substandard di bawah NPE iaitu di PJS 5/1, tetapi pusingan U ini
membenarkan kenderaan dari kedua-dua arah lalu. Ini membahayakan
pengguna. Oleh itu saya hendak cadangkan supaya pihak NPE mengambil
contoh LDP membina persimpangan pusingan U bertingkat sebelum plaza tol
PJS 5. Maksudnya penduduk daripada Bandar Sunway apabila menggunakan NPE
boleh berpusing balik ke PJS 7 sebelum plaza tol PJS 5. Itu sahaja
cadangan saya.
Akhir sekali Tuan Pengerusi, tentang Butiran 050600 –
Pengurusan Projek dan juga Butiran 030000 – Sektor Bangunan yang ada
kaitan dengan Cawangan Kerja Pendidikan. Tuan Pengerusi, ini berkaitan
dengan Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan di PJS 10. Dalam bulan April
lalu, saya pernah membangkitkan perkara ini.
Sekolah ini baru sahaja siap dibina pada akhir tahun
lepas dan mula digunakan pada tahun ini. Apabila saya melawat ke sekolah
pada awal tahun ini, penduduk dan juga pihak sekolah mengadu kepada saya,
bahawa bolehkah kita menjemput menteri-menteri yang bertanggungjawab,
timbalan menteri dan setiausaha parlimen untuk
“turun padang” dan bersama
semua pegawai-pegawai dengan kontraktor yang bertanggungjawab mengadakan
perlawanan bola sepak persahabatan di atas padang tersebut, kerana
padang tersebut tidak boleh dipakai.
Pada pertengahan tahun ini, kita telah mengadakan majlis
sukan. Sukan sekolah terpaksa diadakan di atas gelanggang sepak takraw
bukannya di atas padang sekolah kerana padang sekolah tersebut tidak
boleh digunakan. Maka kita hendak jemput menteri-menteri atau
pegawai-pegawai yang berkaitan mengadakan satu friendly match,
kita tengok boleh atau tidak main bola di situ.
Tahun ini, iaitu pada dua bulan yang lepas apabila saya
melawat lagi, masih mereka kompelin kerana masalah tidak selesai,
tambahan pula bangunan itu terdapat longkang-longkang yang pecah, lantai
pun pecah kerana tidak dipantau dengan baik. Maka dengan itu saya rasa
pihak kementerian tolonglah, supaya sekolah yang baru ini dapat
digunakan oleh pelajar dengan baik kerana saya hendak katakan projek ini
menelan perbelanjaan berjuta-juta ringgit.
Kalau ada sekolah-sekolah Cina yang mendapat sumbangan
daripada orang ramai, boleh membina sebuah sekolah yang sama dengan kos
yang lebih rendah tetapi lebih baik, mengapakah peruntukan kerajaan yang
menelan belanja berjuta-juta ringgit mungkin sampai lapan juta ringgit
atau sepuluh juta ringgit tetapi kualiti kerjanya begitu teruk sekali.
Oleh itu saya minta supaya Yang Berhormat Menteri tolong lihatlah
perkara ini. Sekian, terima kasih.
4.30 ptg
Dato' Seri
S. Samy Vellu:
Yang Berhormat
dari Kelana Jaya mencadangkan supaya skop projek Subang Kelana
dipanjangkan sehingga melepasi Lebuh raya KESAS ke Jalan Murni. Untuk
makluman Yang Berhormat, skop asal projek ini adalah sehingga
persimpangan kewajipan. Walau bagaimanapun, dengan peruntukan yang ada
skop projek ini telah ditambah sehingga ke
sempadan Lebuh Raya KESAS. Itu sahajalah jawapan sekarang.
Tunggu sikit hari
saya beri lebih jawapan lagi.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: ...Cuma
saya minta sebab perkara ini telah dibangkitkan sejak tahun 2004. Skop
sekarang itu walaupun telah dipanjangkan tapi ini akan jadi satu
bottleneck
di Jalan
Kewajipan di Persimpangan KESAS -
Kewajipan. Maka saya minta dalam
midterm review
supaya
menteri dapat masukkan, supaya dipanjangkan hanya 800 meter sehingga
1,000 meter sahaja untuk menyelesaikan masalah
bottleneck
di situ. Terima
kasih Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Menteri.
Dato' Seri S.
Samy Vellu:
Cadangan Yang
Berhormat itu
missing link
ke?
Missing link?
Sekarang nama sudah jadi
missing link.
Jalan
Missing Link.
Baru
semalam saya dapat kelulusan daripada Jemaah Menteri untuk membelanjakan
RM20 juta. Di mana kita akan tambah lagi jambatan dan juga memperbaiki
keadaan menyambung dengan KESAS dan lain-lain.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Yang
Berhormat Menteri cuma satu perkara belum dijawab. Minta Projek Sekolah
Kebangsaan Kampung Lindungan di bawah pelaksanaan pihak JKR.
Dato’ Seri Samy Vellu:
Ada lagi?
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Sekolah
Kebangsaan Kampung Lindungan yang saya bangkitkan tadi... Padang bola
sepak, bangunan yang tidak sempurna.
Dato’ Seri Samy Vellu:
Itu
sekolah tidak dibina oleh Jabatan Kerja Raya, macam mana
mahu jawab? Itu adalah projek-projek Kementerian Pelajaran,
projek-projek Kementerian Pendidikan Tinggi, projek JKR. Separuh projek
mereka salur kepada JKR. Hari ini kami melaksana lebih kurang 900 projek
bagi pihak Kementerian Pelajaran. Itu tidak termasuk dalam... tetapi
saya akan ambil kira ini dan saya akan bagi tahu kepada Yang Berhormat
Menteri Pelajaran. Yang Berhormat usulkan dan hantar sepucuk surat.
Surat itu saya akan hantar kepada Yang Berhormat Menteri Pelajaran untuk
mendapatkan peruntukan, di mana kita boleh
menaik taraf dan memperbaiki padang bola di sekolah itulah.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Terima
kasih.
|