|
(Extracted
from hansard dated 03-12-2007)
4.35 ptg.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Terima
kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin berbahas tentang Butiran 00203 -
Perkhidmatan Kesihatan Bandar dan 00400 - Hospital Baru. Tuan Pengerusi,
saya berasa bangga apabila saya melawat Hospital di Selayang. Dapat
melihat kecanggihan hospital baru di Selayang itu yang dapat menyediakan
rawatan kepada orang awam. Saya juga berasa kagum dengan Yang Berhormat
Sungai Petani kerana dapat hospital baru di situ. Akan tetapi Tuan
Pengerusi, saya akan lebih berbangga sekiranya dapat sebuah hospital
baru kerajaan di kawasan Parlimen Kelana Jaya. Kerana kita pun ada minta
supaya adakan satu hospital baru. Ini adalah kerana Tuan Pengerusi, di
kawasan Parlimen Kelana Jaya terdapat lebih daripada 300 ribu penduduk
di situ tetapi tidak ada hospital kerajaan.
Saya
mengakui bahawa kawasan Parlimen saya tidak kurang dengan kemudahan
kesihatan, akan tetapi semua itu adalah kemudahan kesihatan swasta
seperti Subang Jaya Medical Centre, Sunway Medical Centre, Kelana Jaya
Medical Centre semuanya swasta. Kita yakin bahawa kerajaan memang
sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan-kemudahan perkhidmatan
untuk menjaga kesihatan semua rakyat. Akan tetapi di kawasan bandar,
kita tidak dapat nafikan bahawa terdapat ramai penduduk di kawasan
bandar, khususnya di kawasan Parlimen Kelana Jaya adalah datang daripada
golongan yang berpendapatan rendah.
Akan
tetapi sehingga sekarang cuma sebuah klinik kesihatan kerajaan iaitu
Poliklinik Komuniti Kelana Jaya di kawasan DUN Seri Setia sebuah
poliklinik. Di DUN Subang Jaya tidak ada klinik kesihatan, tidak ada
hospital kerajaan. Maka saya mintalah apa yang saya mohon itu dapat
dilaksanakan dan saya lihat perbelanjaan yang agak besar yang
diperuntukkan untuk membina hospital baru di bawah butiran 04000 ini.
Saya tanya di manakah peruntukan untuk membina hospital di kawasan
Kelana Jaya. Sementara menunggu pembinaan hospital baru ini, jawapannya
belum tahu lagi, saya diberitahu bahawa sebuah klinik kesihatan kategori
2 akan dibina di kawasan DUN Subang Jaya iaitu di USJ.
Saya
memang memohon kepada pihak kementerian supaya pembinaan klinik
kesihatan ini dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin kalau boleh awal
tahun hadapan sebab tidak ada kemudahan kesihatan awam di kawasan itu.
Di kawasan bandar ada banyak masalah dan kita sedia maklum bahawa
populasi warga emas amat tinggi di kawasan bandar. Maka kita perlu
menjaga orang tua, kanak-kanak, dan ibu-ibu mengandung. Maka saya harap
dengan adanya klinik kesihatan ini dapat menjaga kesihatan yang lain,
menjaga kesihatan semua rakyat dan kita menunggu supaya dapat
dinaiktarafkan ataupun menunggu pembinaan hospital baru supaya dapat
merawat semua penduduk di kawasan Kelana Jaya.
Di
samping itu juga saya minta butiran 050000 - Kesihatan Pergigian. Sama
juga di mana tidak ada perkhidmatan kesihatan pergigian di kawasan
Parlimen Kelana Jaya, cuma ada
satu yang tidak cukup menampung keperluan penduduk. Saya berharap agar
pihak kerajaan akan prihatin tentang keperluan golongan berpendapatan
rendah di kawasan bandar ini, itu
sahaja yang saya minta dan saya mohon menyokong, sekian terima kasih.
|