|
(Extracted from
hansard dated 05-12-2007)
12.02 tgh.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Terima kasih Tuan
Pengerusi. Saya ingin masuk berkaitan Butiran 02007 – Kompleks Sukan
Komuniti. Tuan Pengerusi, dalam butiran ini kita lihat bahawa sejumlah
besar peruntukan yang disediakan untuk pembinaan kompleks sukan komuniti
dan saya masih ingat bahawa pihak menteri pernah janji, bahawa semua
kawasan Parlimen akan dibina kompleks sukan komuniti tetapi sampai
sekarang saya hendak tanya, berapakah kompleks telah pun dibina dan
mengapakah kawasan-kawasan tertentu seperti kawasan Parlimen Kelana Jaya
dan lain-lain lagi belum ada kompleks sukan komuniti seperti mana yang
dijanjikan. Ini perkara yang pertama.
Yang kedua, Tuan Pengerusi, tentang
Butiran 020200 – Pembangunan Sukan. Tuan Pengerusi, di dalam rancangan
kementerian ada satu program yang dipanggil Program Sukan Malam dan
memang mendapat sambutan yang baik pada awalnya, kerana Program Sukan
Malam ini dianggap dapat membantu menangani masalah sosial di kalangan
belia dan remaja yang berkeliaran ataupun melepak di waktu malam,
khususnya di kawasan ataupun di tamantaman rekreasi yang tertentu di
kawasan bandar.
Sehingga sekarang ini kita nampak
bahawa Program Sukan Malam ini ada rungutan bahawa program ini kurang
berjaya kerana tidak ada facility,
tidak ada kemudahan prasarana yang mencukupi untuk diadakan Program
Sukan Malam, khususnya di kawasan bandar. Maka ramai belia dan remaja
melepak di kawasan-kawasan tertentu dan begitu juga rakan-rakan di
kawasan luar bandar juga, merungut tentang hal ini kerana sekiranya
tidak ada kelengkapan atau prasarana yang mencukupi, bagaimanakah kita
hendak menggalakkan belia-belia di kawasan luar bandar untuk
berkecimpung dalam sukan ini supaya mereka dapat menggunakan waktu malam
dengan sebaik-baik mungkin. Ini perkara yang berkaitan dengan Program
Sukan Malam.
Oleh itu saya mintalah, berapakah
belanja yang telah pun dibelanjakan dan digunakan dalam Program Sukan
Malam ini dan apakah kemudahan-kemudahan yang telah pun dibina untuk
tujuan Program Sukan Malam? Saya minta penjelasan dan penerangan
daripada pihak kementerian.
Akhir sekali, Tuan Pengerusi,
berkaitan dengan Program Rakan Muda, kita lihat bahawa dalam butiran
yang berkaitan sama ada dalam maksud bekalan atau maksud pembangunan,
satu peruntukan yang sangat besar telah diperuntukkan untuk penyelarasan
dan pelaksanaan Program Rakan Muda, jumlahnya lebih daripada RM60 juta.
4.30 ptg
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Tuan Pengerusi, saya
sambung sedikit. Yang Berhormat Setiausaha Parlimen, saya membangkitkan
soal tentang Kompleks Sukan Komuniti ini. Cuma secara ringkaslah, secara
terus terang tadi Yang Berhormat ada jawab bahawa yang Jasin punya buat
dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh. Dalam tempoh berapakah semua kawasan
Parlimen adanya Kompleks Sukan Komuniti, apakah tempohnya? Untuk semua,
itu sahaja, ringkas sahaja, tidak payah panjang-panjang sangatlah.
Apakah tempoh untuk siapkan semuanya?
Tuan Sa. Vigneswaran:
Tempoh terdekatlah Yang Berhormat.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Apa tempoh yang terdekat?
Tahun 2015 pun tempoh terdekat.
Tuan Sa. Vigneswaran:
Yang Berhormat macam ini, kita
kalau saya cakap dalam masa dua tahun pun tidak pastilah pasal banyak
yang kena bina.
Macam inilah, ini bergantung kepada
kelulusan yang diberi dari Kementerian Kewangan kalau dia bagi esok kita
startlah
esok. Oleh kerana kekurangan, kekangan wang, pembinaan kita pun tidak
banyaklah. Saya mintaklah Yang Berhormat, kalau ada apa-apa, mohon
gelanggang pelbagai dululah.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Kita bukan menteri! Yang
Berhormat Tuan Pengerusi, saya telah memohon gelanggang tetapi tidak ada
jawapan pun.
Tuan Sa. Vigneswaran:
Eh, mana ada, tidak ada!
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Sudah pun saya bagi!
Menteri saya bagi, Yang Berhormat pun saya bagi. Tidak ada jawapan!
Tuan Sa. Vigneswaran:
Okey, okey.
|