|
(Extracted
from hansard dated 06-12-2007)
4.19 ptg.
Tuan Loh Seng
Kok [Kelana Jaya]:
Terima kasih Tuan
Pengerusi. Butiran 050000 - Perkhidmatan Hal Ehwal Khas - JASA. Tuan
Pengerusi, saya bersetuju dengan apa yang telah diperkatakan oleh Yang
Berhormat bagi Tanah Merah. Tentang perkhidmatan JASA ini, perkara ini
telah dibangkitkan dalam mesyuarat MCA beberapa negeri tentang
ketidakpuasan terhadap JASA.
Kita tahu bahawa
JASA ini sepatutnya memainkan peranan supaya mengeratkan hubungan rakyat
dan juga menjelaskan kepada rakyat tentang dasar-dasar yang sedang
dilaksanakan oleh kerajaan. Apa yang dilakukan sekarang ini kita nampak
bahawa pelantikan pegawai ini tidak efektif, tidak berkesan. Satu lagi
tidak mencerminkan komposisi rakyat di Malaysia yang sepatutnya.
Saya difahamkan
bahawa baru-baru ini jumlah pelantikan pegawai JASA ini adalah 769 orang
telah dilantik. Di antara ini hanya 84 orang bukan bumiputera, yang lain
bumiputera. Saya tidak mahu membezakan bumiputera dan bukan bumiputera;
tetapi peranan yang dimainkan itu jelas tidak nampak kesannya.
Sehinggakan antara pemimpin MCA mengatakan mengapa MCA tidak jelaskan
dasar kepada rakyat? Pegawai-pegawai JASA yang sepatutnya memainkan
peranan tidak memainkan peranan mereka.
Oleh itu saya
hendak tanya apakah kriteria pelantikan pegawai-pegawai JASA dan apakah
peranan yang harus dilakukan dan apakah bidang tugas mereka? Berapakah
peruntukan yang telah disalurkan kepada mereka untuk menganjurkan
program-program? Sebab ada rakan-rakan di dalam Dewan ini telah berkata
termasuk saya kita tanya pegawai JASA dengan program-program. Minta
penjelasan, minta terangkan program yang dianjurkan dan kita mahu
mengambil bahagian ataupun kita mahu anjurkan program. Dia kata dia ada
program sendiri tengah diaturkan, kalau Yang Berhormat mahu program,
mohonlah tulis kertas kerja hantarlah kertas kerja kita timbangkan
sahaja.
Apa
cerita ini Tuan Pengerusi? Program yang dilakukan oleh pegawai JASA
tidak payah di bagi tahu, tidak payah di maklum kepada wakil rakyat.
Namun apabila wakil rakyat hendak membuat program sama ada ADUN ataupun
wakil Parlimen kena memohon tetapi tidak ada jawapan. Dengan itu, saya
rasa ada sesuatu yang tidak kena pada tempatnya. Saya minta agar
kementerian melihat perkara ini dan meneliti semula pelantikan
pegawai-pegawai JASA ini. Kalau boleh kemas kinikan yang sedia ada.
Dengan itu saya hendak minta penjelasan berapakah peruntukkan disalurkan
kepada setiap pegawai JASA di setiap DUN, di setiap Parlimen, di setiap
daerah. Bagaimanakah program-program dilaksanakan, bagaimanakah
wakil-wakil rakyat diberitahu tentang program yang sedang dilaksanakan
itu. Dengan itu sahajalah, terima kasih Tuan Pengerusi.
|