|
(extracted from hansard dated
06-12-2007)
6.50 ptg.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Terima kasih Tuan
Pengerusi, Butiran 041000 Kurang Upaya. Tuan Pengerusi, kita
masyarakat Malaysia yakin dan mengiktiraf ke atas keupayaan, kebolehan
dan ketekunan dan juga kesungguhan golongan OKU untuk menjalankan
kehidupan yang berjaya. Malahan ramai OKU itu lebih berjaya dalam hidup
mereka berbanding dengan orang-orang yang normal. Maka, dengan itu saya
rasa tafsiran OKU yang diguna pakai sekarang ini mempunyai konotasi
negatif, konotasi putus asa dan juga kurang motivasi. Maka saya rasa
pihak kementerian perlu melihat dan meneliti agar OKU ini ditafsirkan
semula sebagai Orang Kuat Upaya, itu yang pertama.
Yang keduanya saya nak tanya sejauh
manakah autoriti ataupun perakuan diberikan kepada kad OKU yang
dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana saya lihat
ada agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan juga
syarikat-syarikat tertentu seperti syarikat pengangkutan awam tidak
memperakui kad OKU yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan.
Malahan apabila mereka mohon untuk
diskaun pengangkutan awam seperti dalam perkhidmatan bas, maka mereka
disuruh untuk isikan borang lain untuk mendapatkan pengesahan doktor dan
juga perlulah dapat satu kad lagi untuk memohon mendapatkan diskaun
dalam tambang bas dan sebagainya manakala pihak berkuasa tempatan mereka
kata kemudahan yang diberikan untuk peniaga, lesen dan juga penjaja itu
sama saja kepada semua dan tidak ada layanan yang istimewa. Maka saya
rasa perkara ini perlu dilihat supaya kita dapat memperkasakan kad
autoriti yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Yang ketiga, tentang Butiran 01800
Pusat Khidmat Setempat OKU. Saya nak bertanya tentang Pusat Khidmat
Setempat OKU ini, apakah kemudahan-kemudahan yang disediakan dan juga
khidmat kepakaran yang ada ditawarkan di Pusat Khidmat Setempat OKU ini
supaya kita dapat memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang dan dapat
membantu golongan OKU dalam hal ini.
Saya difahamkan dalam kawasan
Parlimen Kelana Jaya iaitu kawasan Subang Jaya akan ditubuhkan, dibina
satu pusat khidmat setempat tapi tidak tahu di mana dan berapakah jumlah
peruntukan yang disalurkan untuk pembinaan sesebuah pusat khidmat
setempat ini. Minta penjelasan dalam hal ini.
Tuan Pengerusi, kalau di
sekolah-sekolah biasa yang mana adanya Kelas Pendidikan Khas, guru-guru
pendidikan khas ini diberi elaun RM250 sebulan, tambahan kepada mereka
kerana menggunakan kemahiran tertentu untuk mengajar dan mendidik dan
membimbing kanak-kanak khas tetapi saya rasa bagi sekolah kanak-kanak
pekak contohnya di mana guru-guru biasa tak dapat mengajar kanak-kanak
yang pekak kerana ini memerlukan kemahiran dan juga mengetahui
bahasa-bahasa isyarat. Maka saya rasa perlulah pihak kementerian supaya
memberi juga elaun khas ini kepada guru-guru yang mengajar bahasa
isyarat di sekolah kanak-kanak pekak dan saya harap perkara ini dapat
dilaksanakan dengan secepat mungkin.
Dan perkara yang seterusnya adalah
Butiran 040300 Kaunseling. Tuan Pengerusi, dalam hal ini saya telah
melawat beberapa pusat pemulihan dadah yang dianjurkan oleh pihak badan
bukan kerajaan dan saya melihat bahawa kejayaan bimbingan dan juga
kaunseling oleh para kaunselor ini memang berjaya dan lebih efektif dan
lebih komited kalau berbanding dengan kaunselor di pusat serenti kerana
kejayaan pemuliharaan di pusat-pusat pemulihan dadah NGO ini dapat
dilihat kesannya tetapi malangnya mereka tidak diiktiraf oleh pihak
kerajaan terhadap keupayaan kaunseling mereka. Mungkin mereka kurang
mahir, arif dalam teori tetapi secara praktikalnya, mereka lebih mahir
dan memang berkesan dalam hal ini. Maka saya memohon kepada pihak
kementerian supaya para kaunselor di pusat-pusat pemulihan dadah NGO
ini dapat diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Sekian, terima kasih.
|