|
(Extracted from hansard dated 11-12-2007)
3.32 ptg.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua
memberi peluang kepada saya untuk membahaskan rang undang-undang untuk
meminda Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan umur persaraan
seorang anggota ataupun ahli Majlis Suruhanjaya Pilihan Raya.
Saya tidak
akan pergi ke hujah-hujah yang telah pun dibangkitkan oleh rakan-rakan
dalam Dewan ini. Cuma Tuan Yang di-Pertua, kita sedar bahawa terdapat
individu yang lanjut usia dan memiliki kesihatan yang lebih baik
berbanding sebelumnya. Mengikut Jabatan Statistik Malaysia sehingga
tahun 2005, terdapat 1.66 juta warga tua berumur melebihi 60 tahun di
Malaysia dan bilangan itu akan terus meningkat pada tahun 2020. Jumlah
yang dijangkakan ialah 3.21 juta orang atau 9.5% daripada jumlah
penduduk Malaysia.
Maka saya
rasa apabila kita membentangkan cadangan pindaan rang undang-undang pada
hari ini, maka pihak pentadbiran kerajaan boleh menjelaskan apakah ini
satu sebagai satu usaha selaraskan dengan polisi kebangsaan bagi warga
tua yang telah dirumuskan pada tahun 1995 bagi menjamin integrasi dan
penglibatan warga tua dalam proses pembangunan serta menggunakan potensi
dan pengalaman yang ada pada golongan warga tua. Sehubungan dengan itu
Tuan Yang di-Pertua, umur persaraan rasmi di Malaysia ialah 56 tahun.
Akan tetapi ramai yang masih berupaya dan berkebolehan untuk bekerja dan
ingin bekerja telah dipaksa untuk bersara dalam pekerjaan tetap mereka.
Sepertimana
yang diperhatikan oleh Kumpulan Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan,
SUHAKAM yang mengatakan tentang hak warga tua. Maka apa yang kita
lakukan hari ini menaikkan umur persaraan seseorang anggota SPR, apakah
ini dianggap sebagai salah satu indikasi awal ataupun langkah awal
menyahut seruan SUHAKAM melanjutkan umur persaraan rasmi di Malaysia
kepada 60 tahun.
United Nation World Assembly on
Aging,
dengan izin yang diadakan di Vienna
pada tahun 1982 menerima pakai umur 60 tahun bagi membincangkan isu-isu
berkaitan dengan peningkatan usia.
Tuan Yang
di-Pertua, kita percaya bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya sekian lama
telah berusaha untuk memantapkan sistem pendaftaran pemilih atau
pengundi dan juga kelayakan daftar undi selama ini. Seperkara yang kita
perhatikan selama ini, SPR telah cuba mengemaskinikan daftar undi supaya
tidak ada pengundi hantu seperti mana yang didakwa oleh pihak-pihak
tertentu.
Walau
bagaimanapun ramai lagi yang belum daftar, yang layak daftar tapi belum
lagi daftar. Maka saya rasa perkara ini perlu dilihat oleh pihak SPR
supaya mereka yang layak yang menjadi warganegara perlulah kita gesa
mereka untuk mendaftar diri sebagai pemilih. Berkaitan dengan pemilih
hantu yang didakwa oleh pihak-pihak yang tertentu, kita tahu bahawa ada
yang telah meninggal dunia selepas pewartaan senarai ataupun daftar
pengundi itu.
Walau
bagaimanapun kita percaya bahawa dalam era ICT ini kita boleh
menggunakan peralatan atau mekanisme yang tertentu untuk menghubungkan
Jabatan Pendaftaran Negara ataupun pihak-pihak tertentu dengan
Suruhanjaya Pilihan Raya supaya walaupun mereka baru sahaja meninggal
dunia tetapi ada petunjuk, adanya maklumat ataupun catatan dalam data
undi itu memaklumkan bahawa orang ini baru sahaja meninggal dunia. Maka
saya rasa perkara ini boleh dilakukan oleh pihak SPR.
Tuan Yang
di-Pertua, negara kita membenarkan mereka yang berumur 21 tahun
berdaftar sebagai pengundi. Di negara-negara seperti Australia saya
dimaklumkan bahawa mereka yang layak mengundi adalah 18 tahun dan
sekarang ini mereka mengkaji apakah membenarkan mereka yang berusia
dianggap telah menjadi umur dewasa dengan izin
age of puberty
yang
berumur 16 tahun yang telah berumah tangga dianggap sebagai dewasa boleh
didaftar sebagai pengundi. Maka apakah pandangan dan langkah yang
diambil oleh pihak kerajaan untuk melihat perkara ini. Termasuk juga ada
pihak-pihak tertentu dari segi agama memandangkan bahawa sekiranya
seseorang itu adalah dewasa kerana bagi kaum wanita dia datang haid maka
dia anggap dewasa boleh membuat keputusan, maka juga dianggap sebagai
umur dewasa. Maka perkara-perkara seperti yang ini perlu juga diteliti
oleh pihak institusi pentadbir kerajaan supaya memperjelaskan kepada
rakyat jelata tentang tindakan mengundi ini.
Tuan Yang
di-Pertua dalam sistem pilihan raya yang diamalkan dalam negara kita
ialah sesiapa yang berhak mengundi akan dibenarkan undi dan kalau ada
sesiapa yang menghalang seseorang yang menghalang seseorang menunaikan
tanggungjawab untuk mengundi adalah merupakan sesuatu kesalahan. Dalam
hal ini kita tahu bahawa telah pun diadakan golongan tertentu seperti
anggota polis, ataupun angkatan tentera diberi peluang mengundi melalui
undi pos. Akan tetapi ada golongan yang berhak mengundi tetapi tidak
diberi peluang mengundi atas alasan tugasan kerja dan kerjaya.
Saya petik
dua contoh. Golongan yang pertama, mereka yang berkhidmat di dalam
bidang industri penerbangan seperti dalam syarikat penerbangan MAS di
mana saya difahamkan MAS mempunyai juruterbang lebih kurang 1000 orang
dan beribu-ribu pramugara dan pramugari. Setiap hari purata juru terbang
yang bertugas adalah 400 orang dan lebih kurang 2000 pramugara dan
pramugari bertugas dalam hari mengundi. Maka bila tibanya hari mengundi
tetapi kerana tugas mereka, maka mereka tidak dapat mengundi.
Golongan
yang kedua ialah mereka yang terlibat dalam bidang kewartawanan. Sama
ada wartawan ataupun jurugambar. Sama ada datang daripada swasta atau
kerajaan termasuklah
NST, The Star, Berita Harian
dan juga mereka yang berkhidmat di RTM kerana pada hari undi, mereka
diarah untuk membuat liputan di sana, di situ. Maka mereka tidak diberi
peluang untuk mengundi. Maka saya rasa pihak SPR juga perlu melihat
apakah mekanisme yang perlu diadakan supaya membolehkan orang-orang
seperti ini mendapat peluang untuk mengundi.
Tuan Yang
di-Pertua, sebentar tadi Yang Berhormat Santubong telah mengatakan
bahawa beliau telah menerima beberapa surat untuk memohon beliau
bersuara di Dewan supaya beliau mengundi tidak menyokong bil ini. Saya
di sini telah pun menerima tiga pucuk surat daripada tiga orang walaupun
mereka tidak memberikan kebenaran kepada saya untuk menyebut nama mereka,
tetapi mereka mahukan saya menyuarakan bagi pihak mereka. Saya rasa ada
wajarlah saya sebut nama mereka mungkin ada kawan-kawan kita kenal
mereka. Yang pertama adalah datang daripada Amilia Vijayamala dan
keduanya Prabha yang ketiganya Yap Yoke Yin. Kesemuanya telah
mengutarakan
reservation
dengan izin mereka tentang rangkaian
yang hendak diambil hari ini. Saya petik beberapa sahaja..
…
Pertamanya dengan izin “First
request to clean up the EC and the electoral system and process to
ensure a fair and democratic election as provided under the
constitution”.
Saya mungkin tahu niat soalan ini
tetapi saya mintalah pihak kerajaan untuk menjelaskan apakah sebab
selama ini tidak adanya satu sistem yang ada kepada semua? Bukankah kita
membenarkan sistem ini membolehkan pihak pembangkang pun boleh menang
dalam pilihan raya.
Kedua,
dengan izin saya petik “I
demand a new impartial Chairman of the EC who will work for us without
fear and favour and ensure a fair and democratic election process now
and in future”.
Ketiga,
saya petik
“It
is most disturbing to learn that our constitution has been amended so
many times from the time when it was first grounded up and presently for
the most trouble reason of extending the terms or just a mere civil
servant”
Apakah
anggapan-anggapan ini benar? Saya mintalah pihak kerajaan dapat menjawab
soalan-soalan ini, kerana saya tidak perlu menjawab dan saya tahu apa
yang diperlukan oleh saya untuk mewakili rakyat di kawasan saya dalam
hal menguruskan undang-undang untuk meminda Perlembagaan pada hari ini.
Dengan itu sekian, terima kasih.
|