|
(Extracted from hansard dated 18-12-2007)
6.11 ptg.
Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]:
Terima kasih kepada Tuan Yang
di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk membahas selepas Tuan
Yang di-Pertua memberi peluang kepada kebanyakan rakan wanita untuk
berbahas dalam hal ini.
Tuan Yang
di-Pertua, saya hendak mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yang
Berhormat Menteri yang dapat membentangkan satu rang undang-undang yang
menunjukkan keprihatinan pihak kerajaan kepada pembangunan yang mapan
untuk OKU. Saya rasa ada lebih banyak lagi ucapan tahniah dan syabas
kepada Yang Berhormat Menteri dan juga institusi pentadbiran kerajaan
sekiranya rang undang-undang ini selepas diluluskan dan dapat
dikuatkuasakan dengan sempurnanya untuk kebaikan masyarakat umum.
Tuan Yang
di-Pertua, apabila kita mengatakan tentang pembangunan mapan untuk
masyarakat OKU saya rasa apa yang telah dilakukan adalah menunjukkan
keprihatinan dan juga komitmen kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang
sejahtera dan bersatu padu melalui perkongsian tanggungjawab yang
strategik. Untuk merealisasikan komitmen kerajaan ini kita sentiasa
berusaha untuk menggalakkan penyertaan aktif komuniti setempat dalam
pengintegrasian dan pembangunan OKU.
Tuan Yang
di-Pertua, apabila saya membicarakan tentang pengintegrasian masyarakat
saya rasa apa yang kita perlu tekankan di sini bahawa tidak adanya
social
segregation,
dengan izin tidak adanya segregasi
sosial di antara OKU ataupun yang bukan OKU. Semua insan didalam dunia
ini adalah sama. Semuanya berhak. Maka saya bersetuju dengan apa yang
telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri bahawa ini bukannya
charity based
tetapi rights
based.
Ini satu konsep, satu persepsi yang
positif. Maka dengan itulah kita yakin bahawa semua orang sama ada yang
kita panggil OKU atau tidak OKU itu semuanya mempunyai keupayaan,
kebolehan, ketekunan, dan juga kesungguhan untuk menjalankan kehidupan
yang normal yang berjaya. Maka di atas pengiktirafan dan keyakinan kita
terhadap golongan OKU ini saya rasa tafsiran tentang OKU yang ada
sekarang ini bagi saya adalah memberi satu konotasi yang negatif.
Walaupun rang undang-undang ini adalah rang undang-undang OKU tetapi
bagi saya ia mempunyai satu tafsiran iaitu konotasi yang negatif, putus
asa dan juga kurang motivasi. Oleh kerana itu mungkin pada hari yang
akan datang saya hendak cadangkan, kalau boleh dilihat semula pada masa
akan datang supaya kita memberi tafsiran yang baru kepada OKU. Mereka
ini bukan OKU. Mereka ini kuat. Sebenarnya mereka ini orang kuat upaya.
Kita tahu kebanyakan orang-orang yang kita gelar OKU ini lebih berjaya
daripada orang-orang yang normal, orang-orang yang ada kaki tangan dan
tidak cacat mental tetapi orang-orang itu begitu senang untuk
give up their lives,
senang saja putus asa, tetapi orang-orang OKU itu lebih berjaya dalam
kehidupan mereka. Maka saya rasa ada perlunya kita melihat semula
tentang tafsiran yang kita berikan itu.
Saya hendak
sampaikan bahawa sebelum ini apa yang telah dikatakan oleh Yang
Berhormat bagi Larut bahawa Prof. Datuk Dr. Ismail itu orang yang tidak
berupaya dilantik sebagai seorang Senator. Saya tahu niat Yang Berhormat
bagi Larut itu adalah baik tetapi sebenarnya beliau bukannya tidak
berupaya. Sebenarnya Prof. Datuk Dr. Ismail itu seorang yang
berkeupayaan, yang berkebolehan maka dilantik sebagai seorang Senator.
Tuan Yang
di-Pertua, sama seperti juga dalam Dewan ini ataupun dalam masyarakat
kita ramai OKU sebenarnya. Sebagai contoh orang yang memakai cermin mata
kalau tidak memakai cermin mata atau tidak memakai
contact lens
seseorang
itu akan menjadi OKU kerana tidak dapat memandang, tidak dapat melihat
dengan jelasnya.
…
Tuan Yang di-Pertua, apa
yang saya hendak jelaskan ialah kerana apabila seseorang itu diberikan
bantuan, diberikan peralatan yang sesuai maka beliau tidak akan menjadi
orang OKU. Sama seperti Tuan Yang di-Pertua yang dapat melihat dengan
jelas, maka dapat membuat keputusan yang baik untuk mempengerusikan
Dewan ini. Tuan Yang di-Pertua, kita juga pernah melihat dalam satu
tayangan gambar tentang
Six Million Dollar Man.
… Dato' Haji
Mat Yasir bin Haji Ikhsan [Sabak Bernam]:
Terima kasih, Tuan
Yang di- Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Kelana Jaya. Kita ini
selalu banyak polemik tetapi yang penting ialah pengisian program kita.
Kalau saya memberikan pandangan, ramai yang kurang upaya. Orang yang
menghisap rokok ini pun bagi saya adalah kurang upaya. Tanpa rokok
ilhamnya tidak dapat diberi. Hanya saya hendak tanya dari segi istilah
tadi. ‘Warga Kurang Upaya’ - ini saya hendak ubah sedikit sahaja
daripada ‘orang’. ‘Orang’ itu mungkin sesiapa sahaja. ‘Warga Kurang
Upaya’, apa pandangan Yang Berhormat? Terima kasih.
Timbalan Yang
di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]:
Yang Berhormat,
pendek kata semua orang upaya. Beri peluang semua boleh jadi orang yang
upaya. Semua orang kita beri peluang tidak kira apa jenis.
Tuan Loh
Seng Kok [Kelana Jaya]:
Ya,
saya bersetuju sama ada warga ataupun orang,
sekiranya
diberi peluang, diberi peralatan yang sesuai, semua orang akan menjadi
orang yang berupaya. Tadi saya katakan tentang satu tayangan filem
Six Million
Dollar Man
yang mana saya pernah tonton sewaktu
saya kecil di mana walaupun seseorang itu telah cacat, kehilangan mata,
anggota tangan dan sebagainya tetapi apabila diberikan peralatan,
diberikan anggota gantian, dengan adanya robotik tangan, robotik kaki,
Six Million
Dollar Man
berlari lebih laju, lebih pantas
daripada orang biasa. Penjelasan ringkasnya adalah sekiranya seseorang
itu diberi bantuan ataupun peralatan yang sesuai, seseorang itu akan
dapat hidup secara normal dan lebih baik daripada orang-orang lain.
Tuan Yang
di-Pertua, seperti orang yang kehilangan kaki sekiranya diberi kerusi
roda, bukannya kerusi beroda tetapi adalah kerusi roda yang bermotor
maka mereka boleh pergi ke mana-mana. Sekiranya kerusi roda bermotor
boleh terbang lebih senang bagi mereka.
… Tuan Yang
di- Pertua, saya mintalah agar pihak kementerian meneliti perkara ini
semula pada masa akan datang. Dalam Dewan ini kita mengalu-alukan
kehadiran wakil-wakil daripada Badan OKU termasuklah seorang yang saya
tidak jemput. Saya rasa beliau dijemput oleh pihak kementerian iaitu
Saudara William Cheng. Sebenarnya beliau adalah peserta dalam program
latihan boling intensif OKU.
... Beliau
menunjukkan kehebatannya dalam permainan boling. Saya mengucapkan terima
kasih kepada pihak kementerian kerana saya menggunakan peruntukan
daripada kementerian untuk menganjurkan program latihan boling intensif
OKU. Semalam beliau menunjukkan kehebatannya bermain boling. Itu
menunjukkan sekiranya kita memberi peluang kepada mereka untuk
menjalankan latihan dan adanya perkakas yang sesuai mereka dapat
mencabar sesiapa pun dalam hal ini. Tuan Yang di-Pertua, seperkara lagi
yang saya hendak tekankan...
Tuan Yang
di-Pertua, dalam hal PBT saya bersetujulah kerana tiada anggota yang
dimasukkan dalam Majlis Kebangsaan OKU dan PBT memainkan peranan yang
penting. Saya beri contoh bahawa terdapat beberapa orang OKU yang cuba
memohon untuk mendapatkan lesen perniagaan di majlis-majlis PBT tetapi
tidak diberi peluang. Alasan yang diberi oleh pihak PBT adalah bahawa
semua orang yang ingin menjalankan penjaja dan perniagaan kecil, sama
sahaja tak ada kita sebut OKU atau tidak OKU. Saya rasa perkara-perkara
seperti ini patut dilihat semula. Tentang reka bentuk sama ada bas,
sistem pengangkutan awam, kenderaan seperti mana yang telah diutarakan
oleh Yang Berhormat bagi Papar ataupun Yang Berhormat bagi Ampang
tentang PBT, saya rasa kita bukan hanya hendak meminta pihak kerajaan
menetapkan kuota tertentu 10% teksi yang boleh dicapai oleh OKU. Saya
rasa ini bukannya tujuan kita.
Apa yang
saya minta ialah supaya semua perkara-perkara ini dapat dilaksanakan
sepenuhnya secara berperingkat. Kita tidak mahu minta 10% kerana apa
sahaja kemudahan, prasarana yang kita hendak sediakan itu adalah mesra
OKU. Apabila mesra OKU, termasuk Tuan Yang di-Pertua, adalah juga mesra
warga emas, mesra ibu mengandung, mesra kanak-kanak. Masuk lif tekan
butang dapat capai. Hendak naik bas, orang-orang warga emas pun boleh
menaiki bas pun dengan senang. Maka dengan ini dapat saya rasa perlulah
dilaksanakan secara sepenuhnya tapi secara berperingkat dan bukannya
ditentukan oleh kuota tertentu.
Satu
perkara tentang kad OKU. Saya hendak mempersoalkan ialah kad OKU
baguslah untuk menunjukkan seseorang itu OKU. Saya hendak tanya, apakah
autoriti atau perakuan yang diberikan kad OKU itu? Saya rasa kita dalam
zaman IT ini, kita perlu mengintegrasikan kad OKU ini dengan kad
pengenalan. Kalau tidak, seseorang OKU itu perlu memegang beberapa kad.
Kalau dia seorang cacat tangan, beliau kena keluarkan kad pengenalan,
keluarkan kad OKU, keluarkan kad kredit dan sebagainya, membuang masa
dan tidak friendly. Saya rasa kita, pada masa akan datang cubalah
menyatukan kad OKU ini dengan kad pengenalan yang sedia ada seperti mana
yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat bagi Kubang Kerian. Sejak
lahir kalau didapati orang itu OKU masukkan sahaja dalam kad pengenalan.
Maka tak perlulah orang itu diberi beberapa kad dan tentang autoriti kad
OKU itu saya rasa ada setengah syarikat pengangkutan awam, meminta orang
OKU supaya menunjukkan lagi pemeriksaan doktor sah atau tak sah orang
ini OKU, yang pertama. Selepas itu kena isi borang yang lain untuk
mendapatkan kad yang lain. Untuk mendapatkan diskaun untuk sistem
pengangkutan awam. Saya rasa ini tidak patut berlaku dalam masyarakat
kita.
Tuan Yang
di-Pertua, maka saya rasa kad pengenalanlah yang dapat disatukan dengan
segala-gala maklumat yang ada maka senanglah orang OKU. Satu perkara
lagi Tuan Yang di-Pertua, ialah tentang Kementerian Pendidikan yang ada
kaitan dengan OKU. Buat masa kini kita tahu bahawa Kementerian Pelajaran
akan memberi elaun tambahan kepada guru-guru yang mengajar Pendidikan
Khas di sekolah-sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan. Di mana setiap
guru itu diberi elaun tambahan RM250 sebulan.
Apa yang
saya hendak katakan di sini ialah, ya, kita setuju bahawa guru-guru ini
mempunyai kemahiran atau mempunyai kelebihan untuk ataupun memiliki
kesabaran yang lebih untuk mengajar dan membimbing budak-budak sekolah
yang istimewa, tetapi sama juga, kepada sekolah kanak-kanak pekak
contohnya, tidak mendapat elaun tersebut. Untuk mengajar budak-budak
yang pekak, mereka dikehendaki mempunyai kelebihan atau kemahiran dalam
bahasa Isyarat di mana ini tidak wujud dalam sekolah-sekolah kerajaan
atau bantuan kerajaan. Maka saya rasa, untuk mereka yang mengajar di
sekolah-sekolah, walaupun di sekolah swasta tetapi mereka bukan swasta,
NGO. Maka guru-guru ini yang mempunyai kemahiran ini patut juga diberi
elaun tambahan. Tuan Yang di-Pertua, beri elaun yang sepatutnya seperti
mana yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran.
… Satu
perkara akhir sahaja Tuan Yang di-Pertua. Saya apabila mengatakan
tentang penyertaan aktif komuniti setempat ini, saya rasa
perkara-perkara asas perlu disediakan terlebih dahulu untuk membolehkan
komuniti tempatan menyertai dalam pembangunan yang mampan orang-orang
OKU. Seperti contohnya, saya telah mengusulkan satu ketika dahulu bahawa
pihak institusi pentadbiran kerajaan hendaklah mewujudkan kelas
pendidikan khas dan kemudahan dan infrastruktur yang mesra OKU di semua
sekolah supaya kanak-kanak istimewa, kanak-kanak khas OKU tempatan dapat
menerima pendidikan di sekolah yang berhampiran dengan tempat mereka.
Maka dengan
ini apabila adanya peluang pendidikan di tempat kediaman mereka, maka
secara langsung atau tidak langsung masyarakat dan komuniti tempatan
akan terlibat sama dalam pembangunan mampan untuk OKU dalam membuat
keputusan untuk PIBG, untuk membuat keputusan untuk pembinaan sekolah,
menambah baik taraf sekolah dan sebagainya. Maka perkara-perkara ini
perlulah diperhatikan oleh pihak kementerian dan kerajaan supaya kita
dapat benar-benar mewujudkan satu persekitaran yang kondusif untuk
masyarakat OKU dan supaya kita dapat mengimplikasikan mereka di dalam
komuniti tempatan. Dengan itu saya mohon menyokong. Terima kasih Tuan
Yang di-Pertua.
|