|
Ucapan YB Loh Seng Kok, Ahli Parlimen Kaw. Kelana Jaya (P104)
Menyokong Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan SPB Yang Dipertuan
Agong XII Di Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Dewan Rakyat,
Parlimen Kesebelas, 14 & 15-3-2006
Terima kasih,
Tuan Yang Di-Pertua,
Salam Sejahtera kepada semua.
1. Terlebih
dahulu, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua
kerana sudi memberi peluang kepada saya untuk menyokong usul yang
dicadangkan oleh Yang Berhormat bagi Kuala Pilah, iaitu usul menjunjung
kasih titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XII semasa
merasmikan Mesyuarat Dewan Rakyat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen
kesebelas di Dewan yang mulia ini.
2. Rakyat
Malaysia amat bertuah sekali kerana sejak mencapai kemerdekaan,
dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan telah berjaya menyumbang ke
arah pertumbuhan ekonomi negara dan peningkatan kualiti hidup rakyat.
Ini adalah berkat usaha gigih Kerajaan dengan sokongan padu semua
lapisan rakyat jelata. Biarpun sejak akhir-akhir ini terdapat beberapa
kebimbangan akibat ancaman kesihatan daripada beberapa jenis penyakit
seperti SARS, HFM, “bird flu”, serta serangan keganasan ekstrimis di
negara-negara jiran, namun negara kita terus stabil, menikmati suasana
sosio-ekonomi yang aman dan harmoni.
“Bulan
bintang hendak dipanjat,
Tali sabut siap dipintalkan;
Saya datang membawa hajat,
Hajat rakyat saya utuskan.”
1) INTEGRASI
NASIONAL DAN RAKYAT MALAYSIA
3. Isu-isu
yang timbul seperti pertikaian tentang keturunan mangsa “ear squat”,
penyiaran karikatur Nabi Muhammad, dan sebagainya telah menimbulkan
pertanyaan dan kebimbangan rakyat. Antara persoalan yang timbul ialah ke
mana perginya ketertiban tahun 50an dan awal 60an di mana integrasi
antara kaum direnung dengan rasa nostalgik sebagai lebih mesra, kerap
dan rapat.
4. Misalnya,
dahulu, penuntut-penuntut berlainan kaum dan agama berkongsi satu bilik
hostel, sekarang fenomena ini sudah jarang berlaku. Setelah sekian lama
rakyat kita bersama-sama memerdekakan Malaysia, ada juga di kalangan
kita yang masih lagi membuang masa memperluaskan jurang perkauman dan
bangsa? Integrasi antara kaum sepatutnya sudah jauh dipertingkatkan
sekarang, tetapi apabila kita melihat sekeliling, didapati integrasi
antara kaum agak membimbangkan.
5. Interaksi
antara kaum seolah-olah adalah satu hipokrasi. Sekiranya hipokrasi
antara kaum ini dibiarkan membelenggu tindakan dan fikiran
kumpulan-kumpulan kaum, ia boleh menjadi sebagai sel kanser dalam tubuh
yang tidak diketahui bila masanya akan pecah dan membunuh. Dalam keadaan
krisis, hal ini dengan mudah boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Sekiranya ini berlaku, maka segala pembangunan yang dicapai dan
dinikmati oleh tanah air kita yang tercinta ini akan musnah.
6. Tidak
dapat dinafikan bahawa perpaduan tetap menjadi teras pembinaan
masyarakat. Memang bukan mudah untuk menghapuskan konflik kaum dalam
konteks Malaysia atas faktor-faktor yang sedia ada. Bagaimanapun, segala
pertembungan dan konflik kepentingan kaum-kaum itu akan terus berada
pada tahap terkawal, selagi semua pihak bersikap matang dan rasional, di
samping berfikiran terbuka, kritis dan analitikal.
7. Senario
krisis sosial di negara-negara lain haruslah menjadi renungan yang boleh
membantu pembentukan persepsi positif masyarakat kita terhadap corak dan
masa depan hubungan kaum di negara ini. Kita sudah disediakan dengan
sebuah masyarakat majmuk. Oleh itu, kita tiada pilihan melainkan membina
kehidupan bernegara yang harmoni.
8. Oleh yang
demikian, pembangunan negara haruslah berpaksikan konsep pembangunan
seimbang iaitu pembangunan ekonomi yang diimbangi dengan pembangunan dan
kemajuan sosial dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual supaya
dapat mencapai matlamat utama pembangunan iaitu kesejahteraan dalam
masyarakat secara keseluruhan. Usaha perlu diambil untuk memperkuat
faktor-faktor seperti kesejahteraan, keharmonian, persefahaman,
perkongsian dan sebagainya yang mendorong anggota masyarakat untuk
saling memahami, bekerjasama dan berkompromi demi mempertahankan
kepentingan bersama dalam merealisasikan masyarakat yang maju dan mantap.
9. Segala
usaha perlu diambil untuk memperkuat sistem sokongan sosial yang sedia
wujud iaitu sistem keluarga, komuniti, agama, pendidikan dan organisasi
sosial. Kerjasama di kalangan sektor awam dan sektor swasta serta
sukarela perlu dipertingkatkan supaya wujud satu sinergi tenaga dan
sumber dalam masyarakat, berasaskan konsep bahawa pembangunan sosial
adalah tanggungjawab semua.
10. Pencapaian
sebuah negara harmoni yang sebenar hendaklah berpaksi kepada semangat
pengwujudan Perlembagaan yang asal. Pembinaan negara Malaysia berasaskan
Perlembagaan Persekutuan yang berpandukan cadangan Reid Commission,
merangkumi semua hak asasi, kebebasan beragama, hak pendidikan, hak
berkongsi dalam kemajuan negara dan mengambil bahagian dalam pembangunan
ekonomi negara.
11. Setiap
warganegara ialah rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia mempunyai segala ciri
usahasama yang telah diusahakan oleh pengasas-pengasas negara kita
semasa memperjuangkan kemerdekaan. Inilah semangat rakyat Malaysia yang
tersurat dan tersirat di dalam Rukun Negara, ideologi negara kita.
Rakyat Malaysia menjaminkan satu landasan usahasama dan perkongsian
kuasa yang amanah, mesra, adil dan saksama, seperti yang termaktub dalam
Wawasan 2020.
(2) PENGHARAPAN
RANCANGAN MALAYSIA KE-9 (RMK-9)
12. Rancangan
Malaysia Ke-8 telahpun sampai ke penghujungnya dan Rancangan Malaysia
Ke-9 akan dicadangkan tidak lama lagi. Yang Di-Pertuan Agong bertitah
bahawa RMK-9 hendaklah mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi supaya
pertumbuhan dapat dikekalkan dan kualiti hidup rakyat terus
dipertingkatkan.
13. Saya
berpendapat, untuk memastikan adanya kesinambungan dan peningkatan
pembangunan, RMK-9 hendaklah berlandaskan agenda Malaysia yang kukuh
untuk berkembang maju sebagai sebuah negara yang mampu berdaya saing
secara global pada abad ke 21 ini. Penekanan harus diberi untuk
meningkatkan kekayaan ekonomi bagi negara tercinta ini tanpa mengira
kaum, bangsa dan agama. Langkah dan usaha yang dicadangkan adalah
seperti berikut:
a) Menaikkan
taraf pembentukan sumber insan yang berlandaskan ekonomi berilmu.
Meritokrasi perlu diamalkan dalam sistem pendidikan secara menyeluruh.
b) Suatu
rancangan untuk menambah dan menggalakkan penyertaan rakyat bukan
Bumiputera untuk berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam. Kenaikan
pangkat dan saranan untuk kenaikan gaji harus dinyatakan dengan jelas
dan terbuka.
c) Menumpu
kepada kekayaan baru dan menambahbaikkan pertumbuhan bidang ekonomi yang
sedia ada.
d) Menjana
lebih usaha pemulihan pasaran (market reform), yang akan membantu
Malaysia menuju ke arah pasaran ekonomi yang lebih liberal.
e) Membantu
semua Small-Medium Enterprises (SMEs) yang perlu untuk perkembangan dan
penerokaan perniagaan di luar negara.
f) Membekalkan
bantuan kewangan kepada yang miskin, kurang upaya dan wargatua. Dalam
kes-kes kumpulan yang mengalami masalah kepincangan ekonomi,
sumber-sumber pertolongan boleh disalurkan untuk pembinaan daya kapasiti.
g) Pembelajaran
sepanjang hayat sepatutnya dijadikan satu tonggak utama dalam
pembentukan sebuah negara yang progresif dan berdaya saing.
Semoga
syor-syor di atas dapat diteliti dan diberi pertimbangan sewajarnya.
Sekiranya syor berkenaan dapat diterima dan dilaksanakan dalam RMK-9,
saya yakin gerabak pembangunan negara dapat bergerak dengan lancarnya di
atas landasan menuju ke arah destinasinya, iaitu stesen Wawasan 2020.
3) PENINGKATAN
PRODUKTIVITI BAGI MENYERAP KESAN NEGATIF EKORAN PENARIKAN BALIK SUBSIDI
MINYAK
14. Langkah
Kerajaan Malaysia dalam mengurangkan subsidi minyak telah dianggap
menambahkan beban hidup rakyat. Walau bagaimanapun, jika dipandang dari
sudut ‘sustainability of resources’, langkah ini perlu diambil. Ini
adalah selaras dengan wacana Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang
kompetitif secara global.
15. Malaysia
tidak boleh berharap untuk menjadi negara yang kompetitif jika kita
hanya mampu bereaksi kepada ‘global market forces’, dan, dalam masa yang
sama mengenakan halangan pasaran atau ‘market restrictions’ yang
mengubahsuai atau ’distort’ pasaran ekonomi tempatan kerana mahu
memenuhi keperluan tempatan.
16. Sehubungan
ini, subsidi dan kaedah harga kawalan sudah ketinggalan zaman dalam
sebuah ekonomi yang dirancang atau ‘managed economy’. Malaysia sedang
bergerak ke arah sebuah pasaran ekonomi bebas, secara langsung Kerajaan
juga wajar mengkaji semula pengurusan keseluruhan mekanisma harga atau
‘pricing mechanism’.
17. Tidak
dapat dinafikan cara pengurusan mekanisma harga selama ini telah
menyumbang kepada pembangunan negara kita. Akan tetapi, ia mulai
kehilangan keberkesanannya di dalam konteks ekonomi global. Disebabkan
jurang perbezaan dalam ’disposal incomes’ rakyat yang ketara, maka
subsidi tidak sesuai di terima pakai lagi sebagai suatu ‘blanket
assistance’ kepada rakyat kini. Ini akan mengakibatkan tumpuan bantuan
ekonomi terpesong dari mereka yang benar-benar memerlukan kepada mereka
yang berada & kaya.
18. Percambahan
efisiensi dan produktiviti amat penting untuk membanteras kesan dari
pengurangan subsidi. Peningkatan produktiviti mesti menyerap kesan
ekoran penarikan balik subsidi bagi mengelakkan peningkatan harga
disebabkan oleh ketidakseimbangan dalam pasaran.
19. Pengawalan
harga juga telah dipraktikkan dalam ekonomi lama kerana tiada mekanisma
yang dapat mengawal perubahan harga dengan penggunaan subsidi. Prinsip
yang sama adalah penting sebagaimana subsidi, pengawalan harga mesti
diberikan ruang untuk penyesuaian ke dalam sistem ekonomi. Ini perlu
untuk mengembalikan keseimbangan dalam harga keseluruhan di sesebuah
ekonomi. Adalah sangat merbahaya jikalau pengawalan harga dimansuhkan
tiba-tiba, dan ini akan membebankan rakyat yang tiada kapasiti untuk
membuat penyelarasan terhadap kejutan dalam sistem tersebut.
20. Peniaga-peniaga
mesti dibenarkan untuk menyelaraskan harga barangan mereka secara
’gradual’ atau perlahan kerana ’the squeezing effect’ daripada
pengurangan subsidi dan kehadiran harga terkawal mati akan mengakibatkan
ketidakseimbangan harga dan ekonomi keseluruhannya. Ketidakseimbangan
akibat daripada penarikan subsidi masa ini masih belum ditangani dengan
berkesan.
21. Ketidakseimbangan
yang berlaku boleh memaksa peniaga-peniaga undur dari perniagaan dan
kejatuhan keseluruhan industri-industri yang terlibat contohnya,
industri simen, pemborong-pemborong, operator bas. Industri-industri ini
memainkan peranan penting untuk memastikan perjalanan ekonomi yang
lancar. Sebaliknya, sebarang impak negatif boleh membawa kesan riak
(ripple effect) ke atas ekonomi dan pertumbuhan negatif dalam bidang
yang lain.
22. Ketidakseimbangan
polisi harga akan secara tidak langsung menghasilkan perniagaan yang
lebih monopolistik dan oligopolistik. Ini adalah kerana perniagaan yang
besar menikmati kelebihan hasil daripada ‘economies of scale’ untuk
menahan impak daripada penarikan balik subsidi.
23. Kesimpulannya,
penjimatan daripada penarikan balik subsidi mesti digunakan untuk
membantu golongan miskin dan menaiktarafkan infrastruktur dengan menjana
pertumbuhan baru. Sumber-sumber untuk kesejahteraan rakyat mesti
dikendalikan dengan adanya ‘transparency and accountability’.
24. Kerajaan
seharusnya fokus terhadap tenaga sumber manusia dan modal sebagai salah
satu kunci untuk pengembangan produktiviti pada masa hadapan. Pasaran
bebas mesti dibenarkan untuk penentuan sumber-sumber yang paling cekap
itu digunakan dalam ekonomi. Ini selaras dengan perubahan pasaran
liberal untuk menjana keberkesanan ekonomi.
25. Kerajaan
berperanan untuk mewujudkan satu mekanisma ekonomi yang sesuai daripada
hanya menumpu kepada keseimbangan harga yang sepatutnya berdasarkan
pergerakan harga pasaran, bukan pengurusan mikro atau ’micro
management’. Kepincangan dalam sesuatu pasaran bebas seharusnya
ditangani melalui program khusus untuk pembasmian kemiskinan dan
‘capacity building’ dalam sumber tenaga manusia.
26. Malaysia
sedang bergerak dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan dan ini tidak
boleh diteruskan dengan pembahagian aset-aset dan sumber-sumbernya
melalui penggunaan kaedah lama.
(4) KEGUNAAN
PENJIMATAN SUBSIDI MINYAK & KEYAKINAN RAKYAT
27. Apabila
pengurangan subsidi minyak diumumkan 2 minggu lepas, YAB Perdana Menteri
telah memberi jaminan bahawa kenaikan harga runcit sebanyak 30 sen bagi
petrol dan diesel hanya untuk sekali bagi sepanjang tahun ini. Kenaikan
ini membolehkan Kerajaan berjimat kira-kira RM4.4 bilion bagi tahun
2006. Jikalau penjimatan ini diserap untuk perbelanjaan dalam Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK-9), bermakna negara dapat berjimat kira-kira
lebih RM20 bilion bagi 5 tahun yang akan datang.
28. Untuk
meredakan orang ramai tentang kenaikan harga tersebut, pihak Kerajaan
seharusnya melaporkan secara terperinci bagaimana penjimatan sebanyak
RM4.4 bilion tersebut akan digunakan. Kerajaan perlu meyakinkan
masyarakat bahawa wang tersebut tidak akan disalurkan untuk
projek-projek yang tidak mendatangkan manfaat.
29. Untuk
mengukuhkan lagi pendirian bahawa pengurangan subsidi tersebut merupakan
pemulangan secara tidak langsung kepada masyarakat, Kerajaan juga perlu
melaporkan ekoran pengurangan subsidi pada tahun-tahun lepas, bagaimana
penjimatan berbilion ringgit telah digunakan? Maklumat ini adalah
mustahak untuk meyakinkan orang ramai bahawa inisiatif Kerajaan ini
sebenarnya mempunyai manfaat / faedah jangka panjang (long term
benefit).
(Peruntukan
untuk pelaksanaan penyusunan semula pengangkutan awam di Lembah Kelang
bagi tahun 2005 ialah RM252 juta dan RM750 juta bagi tahun 2006)
30. Apa yang
terpenting kini ialah meningkatkan sistem pengangkutan awam yang sedia
ada supaya dapat memenuhi kehendak dan keperluan rakyat keseluruhan.
31. Satu
kajian harus dilaksanakan dengan serta merta untuk meneliti segala
kelemahan dan kekurangan dalam sistem pengangkutan awam kita dan
cara-cara untuk mengatasinya.
(5) PENYUSUNAN
SEMULA SISTEM PENGANGKUTAN AWAM
32. Sistem
transit aliran ringan di bawah STAR dan PUTRA adalah antara
langkah-langkah yang menggalakkan yang diambil oleh Kerajaan dalam
memperbaiki sistem pengangkutan awam. Walaubagaimana, sistem transit
aliran ringan ini masih gagal untuk mengatasi masalah pengangkutan awam
disebabkan kegagalan penguatkuasaan sistem berintegrasi. Kebaikan sistem
transit aliran ringan hanya dikecapi oleh segelintir rakyat di beberapa
destinasi di Lembah Kelang. Fakta-fakta sokongan adalah seperti berikut:-
a) Tiada
cadangan untuk melanjutkan perkhidmatan sistem transit aliran ringan di
beberapa kawasan perumahan yang berpendudukan tinggi seperti di Cheras,
Kepong, Selayang, Subang terutamanya di kawasan-kawasan Utara.
b) Tiada
cadangan untuk melanjutkan perkhidmatan sistem transit aliran ringan di
antara Putrajaya dan tempat lain untuk membolehkan rakyat yang perlu
berurusan dengan agensi Kerajaan. Kerajaan telah memindahkan kebanyakan
kementerian dan agensinya ke Putrajaya, adakah Kerajaan mengambilkira
tentang kos yang perlu ditanggung oleh rakyat dengan jarak yang begitu
jauh jika ingin berurusan dengan Kerajaan setiap hari? Kerajaan perlu
mempertimbangkan untuk mengadakan sistem yang sama iaitu Express Rail
Link (ERL) yang kini menghubungkan KLIA dengan KL Sentral.
c) Sistem
transit aliran ringan ini masih tidak berkesan tanpa sokongan daripada
satu sistem berintegrasi iaitu bas-bas “feeder”. Jadual perjalanan
bas-bas ini ditetapkan oleh syarikat pengangkutan swasta yang
mengutamakan keuntungan. Rungutan pengguna terhadap sistem transit
aliran ringan yang tidak diintegrasikan dengan sistem bas feeder yang
berkesan telah diketengahkan semenjak sistem ini dimulakan. Walau
bagaimanapun, tiada langkah positif diambil.
d) Sistem
pengangkutan awam juga telah gagal untuk mengambilkira
perkhidmatan-perkidmatan dalam kalangan warga universiti di seluruh
negara. Peningkatan penggunaan kenderaan persendirian oleh pelajar
universiti dan kolej telah meningkat semenjak 1997. Di samping
meningkatkan kos perbelanjaan ibubapa dalam membiayai pendidikan
anak-anak mereka, ia turut menimbulkan beberapa masalah sosial.
Kebanyakan pelajar universiti dan kolej merupakan remaja yang masih
belum sedar akan tanggungjawab mereka semasa berada di jalanraya.
Berikutan itu, nahas jalan raya yang melibatkan remaja telah semakin
meningkat kebelakangan ini.
33. Akhirnya
dasar dan polisi kerajaan dalam pelaksanaan satu sistem pengangkutan
awam yang berkesan adalah bergantung kepada ko-ordinasi yang baik di
antara agensi-agensi Kerajaan. Seumpamanya di kawasan Kuala Lumpur,
terdapat beberapa agensi Kerajaan yang terlibat dalam pengurusan sistem
pengangkutan awam. DBKL berfungsi sebagai unit pengurusan dan rancangan
pengangkutan awam di kawasan Bandar. Kementerian Pengangkutan berfungsi
sebagai unit utama dalam rancangan pengangkutan awam untuk keseluruhan
negara. Selain daripada itu, Kementerian Pengangkutan juga
menguatkuasakan polisi, garis panduan berkenaan dengan pengurusan dan
rancangan sistem pengangkutan awam negara.
34. Terdapat
pertindihan dan duplikasi tugas serta fungsi di antara agensi-agensi
Kerajaan berkenaan dengan sistem pengangkutan awam di kawasan Kuala
Lumpur. Hal ini mungkin akan menimbulkan masalah ko-ordinasi dan
perancangan sistem pengangkutan awam yang konsisten.
34a. Adalah
dicadangkan bahawa struktur organisasi agensi-agensi kerajaaan ini
dikemaskinikan supaya dasar dan polisi pengangkutan awam yang berkenaan
dapat dirancangkan dengan teliti dan lancar.
35. Pengawalseliaan
berpusat ini adalah penting kerana rangka kawal selia masakini adalah
masih tidak bersepadu, dengan lebih daripada 10 agensi Kerajaan yang
terlibat dalam penggubalan dasar, perancangan, pelesenan dan
penguatkuasaan.
35a. Mengemaskinikan
struktur organisasi agensi-agensi Kerajaan adalah perlu dijalankan
dengan mewujudkan satu pengawalseliaan berpusat, untuk memberi perhatian
khusus kepada usaha mengintegrasi dan memajukan sistem pengangkutan awam
bandar Lembah Kelang secara menyeluruh.
(6) SUMBER
TENAGA ALTERNATIF
36. Saya juga
mengambil kesempatan ini untuk merujuk kepada Bajet (budget) tahun 2006
yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri. Di bawah tajuk
“Mempelbagaikan Sumber Tenaga”, di bawah Strategi Ke-4 : Meningkatkan
Kesejahteraan Dan Kualiti Hidup Rakyat, Kerajaan merancang untuk
memulakan rancangan adunan biofuel pada tahap 5% minyak sawit diproses
dan 95% minyak diesel untuk digunakan secara percubaan dalam usaha
meringankan pergantungan kepada petroleum. Piawaian 'diesel baru' ini
akan dibangunkan oleh SIRIM. Apakah status rancangan Kerajaan dalam
perkara ini? Ini adalah penting memandangkan kenaikan harga minyak
mentah.
37. Dalam
pembentangan bajet 2006 juga, Kerajaan telah merancang 3 loji bio-fuel
untuk pasaran eksport. Bagaimana pula pasaran domestik? Apakah rancangan
Kerajaan untuk menjual produk bio-fuel dalam pasaran tempatan?
38. Sehubungan
dengan ini, di dalam program SREP (Small Renewable Energy Power
Programme – 11 May 2001), Kerajaan bercadang melanjutkan taraf perintis
daripada 70% kepada 100% selama 10 tahun dan kadar elaun cukai pelaburan
daripada 60% kepada 100% selama 5 tahun. Di samping itu, pengecualian
duti import dan cukai jualan ke atas peralatan yang digunakan dalam
aktiviti berkenaan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2010. Sudahkah
cadangan Kerajaan tersebut dilaksanakan? Apakah tahap sambutan industri
terhadap cadangan tersebut? Dan apakah tahap sumbangan sektor SREP
tersebut kepada industri janakuasa sekarang? Selain daripada itu,
apakah usaha lain oleh Kerajaan untuk menggalakkan pembangunan sektor
SREP?
39. Program
SREP adalah untuk sektor janakuasa sehingga 10 megawatt. Sehubungan itu,
saya ingin tahu apakah galakan Kerajaan kepada pembangunan sektor loji
janakuasa lebih daripada 10 megawatt. Bagaimana pula polisi Kerajaan
dalam milikan ekuiti saham oleh pelabur asing di dalam syarikat SREP dan
juga dalam loji janakuasa lebih daripada 10 megawatt yang menggunakan
bahan kuasa yang boleh diperbaharui (renewable resources) seperti
bio-fuel, bio-mass, solar dan hidro. Adakah bahagian pegangan pelaburan
asing terhad kepada 30% sahaja?
40. Memandangkan
sektor ini melibatkan teknologi canggih yang mungkin tidak dipunyai
Malaysia, adalah wajar Kerajaan membenarkan pelabur asing mengambil
bahagian ekuiti lebih daripada 30% sebagai galakan pindahmilik teknologi
’renewable energy’ kepada Malaysia.
(7) KPI
PERKHIDMATAN AWAM & SISTEM PENYAMPAIAN
41. Saya
mengambil kesempatan di sini untuk menyeru Dewan ini mengalu-alukan
serta memuji Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar berikutan
ucapan beliau pada majlis Perasmian Seminar Ketua Polis Daerah baru-baru
ini. Menurut beliau, PDRM tidak memerlukan pegawai dan anggota yang
tidak berpengetahuan dalam melaksana dan menguatkuasakan undang-undang.
Beliau juga berkata bahawa jika seseorang pegawai dan anggota gagal
berubah untuk memenuhi kriteria tersebut adalah wajar mereka berhenti
dan mencari pekerjaan lain.
42. Titah
ucapan Yang Di-Pertuan Agong juga menyatakan usaha-usaha PDRM kini dapat
meningkatkan tahap kecekapan, integriti dan profesionalisme mereka yang
natijahnya membolehkan rakyat menikmati keamanan dan kedamaian.
43. Namun
Yang Di-Pertuan Agong juga berasa bimbang kerana terdapat laporan
antarabangsa yang menonjolkan kelemahan dan kekurangan sistem
penyampaian Kerajaan dalam konteks mengukuh kedudukan dan daya saing
negara.
44. Sesungguhnya
Kerajaan ingin mewujudkan satu perkhidmatan awam yang cemerlang dan
bertaraf dunia, yang memenuhi kehendak dan cita rasa pelanggan, baik
dalam kalangan rakyat mahu pun dari luar negara. Sikap terbuka Ketua
Polis Negara patut diteladani oleh semua ahli-ahli perkhidmatan awam
negara kita, termasuklah ketua-ketua setiausaha, ketua-ketua pengarah
dan anggota-anggota pentadbiran seperti menteri dan timbalan menteri.
45. Dengan
itu, selain daripada pelaksanaan sistem Key Performance Index (KPI)
dalam agensi-agensi awam dan syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan,
Government Linked Companies (GLC), saya mencadangkan agar sistem KPI
tersebut juga dilaksanakan ke atas pegawai-pegawai tinggi perkhidmatan
awam dan anggota-anggota pentadbiran. Ini disebabkan ’accountability’
atau bertanggungjawab itu adalah ciri yang mustahak dalam perkhidmatan
awam. Pengharapan rakyat ialah pegawai dan anggota berkenaan berkhidmat
secara profesional dengan penuh komitmen bagi memastikan penyampaian
perkhidmatan yang cekap, adil dan berkualiti.
(8) Industri
Perkhidmatan Air (IPA) & Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)
46. Lebih
kurang 72% keluasan bumi dikelilingi dengan lautan, iaitu air. 28% dari
bumi adalah daratan. 10% daripada jumlah keluasan daratan diliputi
dengan air yang menjadi beku, iaitu ais, seperti di Kutub Utara dan
Kutub Selatan. Kita dikelilingi air. Air adalah sumber semula jadi yang
perlu dinikmati oleh semua hidupan.
47. Air
merupakan keperluan asas bagi semua hidupan di muka bumi ini. Tetapi
daripada jumlah air di bumi, dikatakan hanya 3% sahaja yang boleh
digunakan oleh tumbuhan, haiwan dan manusia. Air memainkan peranan
penting dalam tubuh. Lebih 70% daripada tubuh manusia terdiri daripada
air. Jika seseorang itu tidak minum air selama empat hari, beliau akan
menghadapi maut.
48. Penduduk dunia dianggarkan 6 billion orang dan 1.1 billion orang
daripada jumlah itu tidak mendapat bekalan air bersih, manakala 2.4
billion pula tidak dapat menggunakan sistem sanitasi yang sempurna.
Menjelang tahun 2025, dianggarkan bahawa dua orang dari setiap tiga
orang penduduk dunia akan menghadapi masalah bekalan air bersih.
49. Sejak
akhir-akhir ini, isu kekurangan air bersih yang berkualiti telah menjadi
masalah di beberapa negara, termasuk negara kita.
Contohnya,
negara China telah dilanda “bencana padang pasir” (dust storm) dan
keadaannya semakin teruk. Mengikut kajian yang dibuat oleh negara China,
bencana habuk “dust storm” berlaku di Beijing setiap 7-8 tahun satu
kali sejak 1950-an, setiap 2-3 tahun satu kali di 1970-an, dan telah
menjadi tiap-tiap tahun sekali sejak 1990-an.
50. Keadaan
ini telah mengakibatkan masalah kemarau di kawasan berkenaan. Keluasan
kawasan yang dilanda masalah kemarau juga semakin luas.
51. Di negara
kita, masalah kekurangan air juga semakin ketara. Misalnya, negeri
Selangor dijangka akan mula mengalami kekurangan air pada tahun 2007/8.
Oleh itu, projek Pemindahan Air Mentah di antara Negeri Pahang -
Selangor difikir perlu dilaksanakan dan dijangka siap pada tahun 2011.
Projek yang dianggar menelan perbelanjaan sebanyak RM3.8 billion ini
melibatkan pembinaan terowong sejauh 45 kilometer merentasi Banjaran
Titiwangsa. Dijangka selepas penyempurnaan projek itu maka kawasan
Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mendapat bekalan air yang
berterusan.
52. Akan
tetapi, dengan terbinanya terowong ini, adakah masalah perkhidmatan air
akan diselesaikan secara menyeluruh? Belum pasti lagi.
53. Memang
tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan tidak mampan, pemusnahan alam
sekitar dan kekurangan penguatkuasaan undang-undang serta ketidakpatuhan
perundangan perancangan telah menyebabkan kualiti air dan keupayaan
untuk pembekalan air terjejas dan ini seterusnya mengakibatkan suatu
ancaman serius terhadap ekonomi, kestabilan, kesihatan, keselamatan
populasi dan kemasyhuran Malaysia.
54. Baru-baru
ini, satu krisis ancaman kesihatan telah berlaku apabila tahap ammonia
di Sungai Selangor telah mencapai satu peringkat berbahaya pada kadar
9.2 mg seliter (Piawaian oleh Kementerian Kesihatan ialah 1.5mg/l). Ini
bermakna standard itu tidak sesuai sama sekali untuk diminum oleh
manusia mahu pun binatang.
55. Melainkan
satu tindakan drastik diambil tanpa was-was dan tanpa pilih kasih untuk
memperbetulkan keadaan demi kepentingan rakyat, jika tidak, lambat laun
kita akan mengalami satu krisis yang akan menggugat kestabilan negara.
56. Oleh
kerana pelbagai permasalahan yang timbul berkaitan dengan sumber dan
bekalan air, maka Jadual Kesembilan dan Jadual Kesepuluh kepada
Perlembagaan Persekutuan dipinda pada tahun lepas. Selain daripada
menjadikan bekalan dan perkhidmatan air dan pemeliharaan warisan perkara
bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, pindaan telah dibuat
dengan harapan agar Kerajaan Persekutuan perlu mengurus, mengawal selia
industri air dan melesen pengendali air dengan pendekatan yang fokus dan
seragam.
57. Bagi
maksud ini, suatu badan pusat bertaraf suruhanjaya akan kemudiannya
ditubuhkan dan suatu undang-undang persekutuan tentang industri
perkhidmatan air akan diperbuat di dalam Dewan yang mulia ini.
58. Sebelum
Rang Undang-undang (RUU) Industri Perkhidmatan Air (IPA) dan RUU
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dibentangkan dalam Dewan ini,
sukalah saya menyampaikan beberapa pandangan yang merupakan suara rakyat
untuk perhatian Dewan yang mulia ini, dan menggesa Kementerian berkaitan
dan Jabatan Peguam Negara semasa mengemaskini kedua-dua RUU itu,
hendaklah mengambilkira rintihan rakyat.
59. Walaupun
banyak aspek dalam RUU berkaitan dengan perkhidmatan air boleh
dibicarakan, saya hanya ingin menarik perhatian Dewan memberi fokus
kepada satu aspek sahaja iaitu: Kepentingan Rakyat & Perlindungan
Pengguna.
60. Berlainan
dengan hidupan tumbuhan dan haiwan, sumber air yang digunakan oleh
manusia hendaklah terlebih dahulu dipastikan kebersihan dan
keselamatannya. Maka, hendaklah ditetapkan bahawa pihak operator hanya
boleh membekalkan air secara berterusan yang memenuhi piawaian atau
standard kualiti air yang ditetapkan.
61. Memandangkan pihak operator akan diberi hak untuk membuat kutipan,
memotong bekalan air dalam keadaan-keadaan tertentu, mengambil tindakan
sivil atau undang-undang terhadap pengguna di mahkamah, maka hak yang
sedemikian rupa perlu diberi kepada pengguna juga.
62. Orang
awam perlu mempunyai hak untuk mendapatkan pampasan sekiranya pemegang
lesen air gagal untuk mematuhi undang-undang yang mewajibkan mereka
mengikutinya sepanjang masa. Hanya melalui hak dan tindakan pengguna
sahaja yang membolehkan Kerajaan dan rakyat bekerjasama secara efektif
untuk meneliti dan memastikan kesempurnaan pembekalan air memberi
manfaat kepada seluruh negara.
63. Dengan
itu, sekiranya pihak operator gagal membekalkan air bersih yang memenuhi
piawaian kualiti air secara berterusan, maka pengguna boleh menuntut
ganti rugi daripada pihak operator. Ganti rugi yang dituntut oleh
pengguna bolehlah ditentukan oleh mahkamah atau Tribunal Tuntutan
Pengguna.
64. Di
samping itu, standard kualiti air yang minimum hendaklah tersurat di
dalam undang-undang dengan jelasnya. Walau bagaimanapun, standard
kualiti air boleh diperincikan di dalam peraturan yang akan ditetapkan
oleh SPAN, dengan syarat perincian dibuat hanya untuk mempertingkatkan
standard kualiti air.
65. Caj atau
bayaran perkhidmatan bekalan air yang akan dikenakan kepada pengguna
merupakan perkara yang dikuatiri oleh semua lapisan masyarakat.
Kebiasaannya apabila sebuah syarikat swasta mendapat konsesi
perkhidmatan, seperti yang berlaku dalam bidang lebuhraya bertol, sudah
ditentukan dalam tempoh tertentu boleh buat semakan tarif oleh pihak
konsesi pengendali dan bayaran akan dinaikkan. Kalau tidak dibenarkan
kenaikan, Kerajaan kena membayar pampasan kepada syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, akhirnya rakyat juga yang kena tanggung kerana hasil
pendapatan Kerajaan datang daripada pengguna yang menjadi pembayar
cukai.
66. Untuk
memastikan pihak operator sentiasa memastikan bekalan air yang tersedia
ada (availability) dan berkekalan (sustainability) untuk jangka masa
panjang, pihak operator dikehendaki mengemukakan rancangan perniagaan
boleh pinda (rolling plan) bagi tempoh setiap 3 atau 5 tahun dan terbuka
kepada tatapan rakyat. Selepas pelaksanaan rancangan perniagaan boleh
pinda itu terbukti berhasil dan efektif, barulah cadangan tarif disemak
dibenarkan, dan bukannya minta semakan tarif semasa mengemukakan
rancangan perniagaan boleh pinda.
67. Oleh itu,
sungguhpun ada ura-ura mencadangkan supaya kadar tarif air antara negeri
diseragamkan, memandangkan struktur kos pembangunan bekalan air adalah
berbeza mengikut negeri, maka penyeragaman kadar tarif mungkin tidak
dapat dilakukan.
68. Pada
hemat saya, sama ada kadar tarif air diseragamkan atau tidak, hal ini
tidak begitu mustahak. Yang mustahak ialah kadar maksima yang boleh
dikenakan oleh pihak operator. “There must be a price ceiling for the
water service provided” yang tersurat dalam undang-undang. Ini dikatakan
ketelusan untuk mendapat keyakinan rakyat terhadap penggubalan RUU
berkenaan, bukannya sekadar tersirat di dalam perjanjian konsesi yang
semakan boleh dibuat dan operator boleh menuntut kenaikan kadar tarif
sewenang-wenangnya.
69. Kita
dimaklumkan bahawa selepas perwujudan SPAN, sebuah badan industri
sebagai forum industri yang bernama Forum Air akan ditubuhkan. Adalah
disyorkan keanggotaan adalah benar-benar mewakili kepentingan pengguna,
dan bukannya pengendali industri. Daripada 6 tujuan yang dicadangkan
sebagai asas penubuhan Forum Air oleh Kerajaan, 5 tujuan menyentuh
tentang kepentingan pengguna.
i. memberi
maklum balas dan membuat syor kepada SPAN mengenai perkara-perkara yang
berkaitan dengan kepentingan pengguna;
ii. untuk mewakili kepentingan pengguna;
iii. untuk memajukan kepentingan pengguna berhubung dengan tarif dan
standard perkhidmatan;
iv. untuk mengenalpasti dan mengkaji semula perkara-perkara yang
menyentuh kepentingan pengguna dan memastikan pihak operator menyedari
dan responsif terhadap kebimbangan mengenai perkhidmatan mereka;
v. untuk membuat publisiti tentang kewujudan, fungsi dan kerja Forum Air
dalam melindungi kepentingan pengguna;
vi. apa-apa fungsi yang ditentukan oleh Suruhanjaya.
70. Maka
keanggotaan Forum Air yang bakal ditubuhkan hendaklah mempunyai
perwakilan kepentingan pengguna dalam erti kata yang sebenarnya. Oleh
yang demikian, perlulah jelas dalam RUU bahawa Forum Air merupakan satu
badan pengguna dan bukan badan industri.
71. Kita mengalu-alukan cadangan penubuhan suatu “sinking fund” atau
Kumpulan Wang Industri Air bagi maksud perbelanjaan seperti berikut:
i. perlindungan dan pemuliharaan alur air dan kawasan tadahan air;
ii. memastikan kekekalan bekalan air daripada alur air;
iii. peningkatan kualiti air di alur air;
iv. penyediaan perkhidmatan air dan pembetungan di kawasan pembangunan
luar bandar; atau
v. apa-apa maksud lain yang ditentukan oleh Menteri.
72. Saya
mencadangkan agar dimasukkan satu lagi maksud perbelanjaan Kumpulan Wang
Industri Air demi kepentingan pengguna iaitu kumpulan wang itu boleh
digunakan sebagai perbelanjaan kapital yang diperlukan untuk
menggantikan paip air. Ini boleh mengelakkan operator dari menuntut
kenaikan tarif dengan alasan pengguna perlu bayar lagi untuk penggantian
paip air yang sudah tentu menelan kos yang tinggi.
73. Contoh
fakta kos: Aset fizikal perkhidmatan air di Negeri Selangor (April 2005)
sahaja: 15,400 km saluran paip air, 867 kolam air dan tangki air, 285
unit kenderaan, 314 stesen pam booster, 10 pejabat daerah, 16 stor, 1
bengkel, (200 km) 200,000 meter paip air berumur melebihi 7 tahun yang
memerlukan penukaran / penggantian (tidak termasuk 30,000 meter paip
tidak dapat dibaca kerana terletak di dalam premis pengguna).
74. Program
penggantian paip SYABAS (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd) tahun
2005 di 10 daerah ialah 835km dengan anggaran kos RM272 juta, manakala
dikenalpasti sehingga setakat ini, jumlah paip yang perlu diganti
sepanjang tempoh konsesi ialah 6,000km (Anggaran jumlah kos RM1.95
billion).
75. Dengan
fakta kos penggantian paip di atas, bagi mengelak operator memindahkan
kos itu daripada menjadi beban rakyat dan pengguna, maka adalah wajar
Kumpulan Wang Industri Air juga digunakan untuk maksud membiayai projek
penggantian paip.
76. Sebagai
rumusan dalam soal air, perkhidmatan bekalan air bersih berkualiti
hendaklah dikendalikan sebagai satu projek pembangunan masyarakat yang
boleh dinikmati oleh semua rakyat, termasuklah masyarakat bandar, luar
bandar dan pedalaman, golongan yang kurang upaya dan berpendapatan
rendah.
Adalah
diharap semua perkara yang dibincangkan di atas dapat diambil kira dan
dimasukkan sebelum RUU yang berkaitan dibawa ke dalam Dewan yang mulia
ini untuk pertimbangan.
(8) WARISAN
KITA – BUKU TEKS SEJARAH
77. Matlamat
pengajaran sejarah di sekolah bukan semata-mata untuk megetahui kisah
silam / asal usul (origins) kita, tetapi lebih pentingnya, untuk
mengetahui bagaimana zaman sekarang diwujudkan. Keutamaan mata pelajaran
sejarah seharusnya bertumpu kepada makna sezaman isu-isu sejarah dan
tauladan yang boleh dipelajari daripadanya. Oleh itu, pembelajaran
sejarah mesti membina pemikiran yang kritis dan memupuk prinsip
dasar-dasar tentang masyarakat dan negara kita.
78. Dalam
konteks Malaysia, ajaran sejarah adalah bertujuan untuk memastikan
perpaduan nasional dan kemakmuran masyarakat berterusan.
79. Malaysia
merupakan suatu masyarakat pelbagai bangsa, kaum dan agama. Oleh itu,
buku teks sejarah memainkan peranan yang penting untuk memelihara
keseimbangan dalam usaha pembangunan negara.
80. Walau
bagaimanapun, mata pelajaran sejarah masa kini :-
Tidak memadai
untuk mewujudkan pemikiran yang kritis; atau
Tidak mengandungi pemahaman seimbang yang luas tentang sumbangan
bangsa-bangsa lain dalam perkembangan negara. Misalnya, gerakan melawan
penaklukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua digambarkan sebagai suatu
usaha orang Melayu saja, manakala peranan orang Cina dan India telah
diabaikan; atau
Tidak memberi
pemahaman yang mendalam tentang pembentukan tamadun-tamadun lain untuk
mewujudkan semangat bersaing di samping keharmonian masyarakat, misalnya,
dalam kurikulum sejarah Tingkatan 1 – 5, tamadun Cina atau India hanya
disentuh sepintas lalu.
81. Buku teks
sejarah yang sedia ada ini bukan kurang tepat, tetapi adalah kurang
lengkap atau menyeluruh.
82. Malaysia,
majoriti penduduk adalah beragama Islam dapat hidup dengan aman damai
bersama-sama dengan bilangan penduduk pelbagai agama yang amat ketara.
Malaysia sering dipandang sebagai sebuah negara yang sederhana dan
progresif.
83. Pemahaman
tentang budaya dan agama lain serta amalan-amalannya adalah penting agar
generasi muda kita menghargai kekayaan pelbagai budaya dan agama di
masyarakat kita. Ini penting untuk melahir dan membina guna tenaga
manusia yang mampu menyahut cabaran berdaya saing secara global.
84. 5
daripada 10 bab dalam buku teks mata pelajaran sejarah Tingkatan 4
sekarang tertumpu kepada tamadun Islam. Ketidakseimbangan dalam
penyampaian maklumat ini harus diseimbangkan supaya tidak terjejas
peluang bagi generasi muda untuk memahami dan menghargai tamadun-tamadun
agama dan budaya lain, di samping membuka minda untuk menerima idea-idea
baru.
85. Daripada
peristiwa pentadbiran Malayan Union yang telah mendorong gerakan
nasionalisme Melayu, kita mengakui usaha Kongress Melayu pada tahun 1946
dan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu untuk menyatukan kaum
Melayu, demi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.
86. Sesungguhnya,
tidak dapat dinafikan juga usaha sama kaum Melayu, Cina dan India serta
perikatan UMNO, MCA dan MIC yang telah memaparkan kekentalan semangat
juang untuk mencapai kemerdekaan negara kita.
87. Selepas
48 tahun mencapai kemerdekaan, kita dibelenggui sekali lagi dengan
cabaran luar yang dipanggil globalisasi – satu percubaan sekali lagi
yang menguji keteguhan perpaduan negara kita. Murid-murid dan generasi
muda hendaklah dilengkap dan disediakan untuk menghadapi cabaran baru
ini. Buku-buku teks sejarah kita mesti mengiktiraf dan memaparkan
kebenaran warisan daripada perjuangan nenek-moyang kita.
88. Sejarah
mestilah mendedahkan perihal galakan, sokongan dan hormat-menghormati
sesama kita, tanpa mengenepikan jasa bakti semua kaum dan masyarakat,
agar ianya menjadi pengajaran untuk merangsang kita terus bersatupadu
menentang cabaran yang baru ini. Dalam konteks itu, penekanan yang
seimbang harus diberi demi memperihalkan sumbangan yang telah diberikan
oleh semua yang terlibat.
89. Kesimpulan:
Kita harus mengkaji semula kurikulum mata pelajaran sejarah di peringkat
sekolah menengah, peringkat pendidikan tinggi misalnya di kolej-kolej
swasta (e.g. Malaysian Studies), buku-buku teks yang digunakan untuk
penilaian dan ujian kakitangan perkhidmatan awam – untuk memastikan
ketepatan penterjemahan, penghuraian yang lengkap tentang
peristiwa-peristiwa dan fakta-fakta sejarah.
90. Pemilihan
isi kandungan mata pelajaran oleh Pusat Perkembangan Kurikulum mestilah
lebih seimbang dan menggambarkan masyarakat majmuk yang sebenarnya;
90a. Kualiti
dan mutu buku teks yang dicetak mesti dinaikkan taraf, misalnya dari
segi taraf kandungannya, teks-teks rujukan akademik yang digunakan,
kualiti cetakan dan gambarajah yang terkandung dalam buku-buku teks
sejarah.
91. Penguji
di Lembaga Peperiksaan Malaysia juga mesti terdiri daripada pelbagai
bangsa dan seimbang untuk memastikan bahawa kandungan dalam soalan dan
jawapan untuk kertas-kertas peperiksaan mencerminkan objektif dan hasrat
pengajaran sejarah dalam pembentukan negara (nation building).
92. Dalam
erti kata lain, isi kandungan mata pelajaran sejarah mestilah mempunyai
kepelbagaian untuk membekalkan minda anak-anak kita dengan pengetahuan,
ilmu, dan fakta yang boleh memahami sejarah dengan menyeluruh, secara
rasional, kritikal dalam era globalisasi yang begitu kompetitif dan
dalam masa yang sama dapat menghayati semangat rakyat Malaysia yang jati.
92a. `Fakta
Warisan’, sebuah paparan yang diterbitkan di muka depan Utusan Malaysia
adalah suatu contoh yang baik di mana fakta sejarah dari pelusuk dunia
dikongsi bersama untuk penghayatan pembaca-pembaca. Ini patut dipuji
kerana menyumbang kepada penyebaran fikiran rakyat.
(10) BUTIRAN
AGAMA DALAM MYKAD & JABATAN PENDAFTARAN NEGARA
93. Mengenai
isu kesilapan butiran agama dalam Mykad, prosedur semasa yang digunakan
oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN): Tidak perlu mengemukakan
dokumentasi untuk membuktikan agama seseorang, cuma mengisi Borang A dan
membuat pindaan atau pembetulan butiran agama dalam Mykad.
94. Bayaran penalti RM20 untuk pembetulan tersebut jika ianya adalah
kesilapan pemohon (contoh, tidak memberikan maklumat terkini semasa
permohonan), manakala tiada caj jika kesilapan dilakukan oleh pegawai
JPN.
95. Masalah
yang kini dihadapi oleh para pemohon:
i. Ramai pegawai tidak peduli keputusan tersebut dan melengahkan tugas
pengurusan mereka;
ii. Prosedur pengurusan yang tidak konsisten di mana bayaran penalti
untuk menggantikan Mykad berbeza antara RM20 hingga RM50;
iii. Keengganan pegawai untuk memberi salinan cetakan data peribadi;
iv. Secara teknikal, pegawai JPN tempatan tiada kuasa untuk mengubah
maklumat peribadi dalam sistem, tetapi sesetengah pegawai menunjukkan
bahawa mereka boleh berbuat demikian.
96. Dari segi
bukti kesilapan, rakyat menghargai keputusan JPN kerana tidak mengenakan
bayaran penalti terhadap pemohon bagi kesilapan yang disebabkan oleh
pegawai JPN. Namun demikian, ia adalah sukar untuk mengemukakan bukti
sebegini. Satu-satunya bukti adalah borang permohonan. Soalannya,
bolehkah / sudikah pegawai mengeluarkan permohonan asal untuk pengesahan?
97. Begitu
juga, seseorang rakyat akan memohon Mykad pada umur 12 atau 18 tahun
atau atas sebab program baru Kerajaan (new exercise) tertentu. Maka, JPN
harus menyedari bahawa mengemaskini maklumat adalah penting kerana
maklumat peribadi seperti alamat, agama dan sebagainya mungkin berubah
selepas suatu tempoh masa.
98. Seringkali,
JPN silap mengandaikan bahawa seorang Cina itu semestinya beragama
Buddha, seorang India beragama Hindu, dan sebagainya.
99. Cadangan
penambahbaikan ialah rakyat diberi tempoh kelonggaran / simpati (grace
period) antara tiga hingga enam bulan, tanpa bayaran penalti untuk
membetulkan kesilapan butiran agama. Pihak JPN juga hendaklah
menyediakan borang yang sesuai untuk mengemaskini data peribadi.
(11) PERUNTUKAN
& PENYEDIAAN TEMPAT IBADAT SEJAJAR DENGAN PEMBANGUNAN SEJAGAT
100. Setiap
pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan di negara ini sewajarnya
dipastikan selari dengan usaha penerapan nilai-nilai murni yang menuju
ke arah pembentukan masyarakat madani dan pembangunan mampan. Justeru
itu, usaha dan inisiatif untuk membentuk suatu perancangan dan
pembangunan yang berteraskan nilai-nilai murni ini seharusnya diberi
keutamaan dan disambut baik bagi perwujudan petempatan-petempatan
manusia.
101. Garis
panduan perancangan dan pembangunan sejagat yang bermatlamatkan ke arah
mewujudkan keseimbangan antara pembangunan fizikal, pembangunan alam
sekeliling dengan pembangunan insan dan sahsiah itu haruslah diikuti dan
dilaksanakan.
102. Sehubungan
ini, sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk, peruntukan
dan penyediaan tempat ibadat bukan Islam hendaklah tidak diabaikan dan
kemudahan tertentu dibolehkan seperti kuil, gereja dan tokong berfungsi
sebagai tempat melaksanakan penyembahannya. Tempat beribadat bukan Islam
juga boleh berfungsi sebagai pusat sivik, tempat perjumpaan, pertemuan
dan perbincangan serta sebagai salah satu institusi pembangunan
masyarakat dan negara.
103. Kita
mengalu-alukan projek mendirikan sebuah gereja di Putrajaya yang mana
suatu pertandingan sedang diadakan menjemput orang ramai untuk
mengetengahkan cadangan rekabentuk. Kini kita menunggu keputusan
pertandingan ini serta pembinaan bangunan ini yang kelak pasti akan
menyerikan lagi keindahan Putrajaya.
104. Penyediaan
ruang sebagai tempat beribadat sebenarnya adalah selaras dengan
usaha-usaha Kerajaan untuk mencapai Wawasan 2020 dalam membentuk
masyarakat yang bertamadun tanpa mengabaikan nilai akhlak dan moral yang
tinggi. Pada 22 April 2000, Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan telah
meluluskan Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Sejagat, Jabatan
Perancangan Bandar Dan Desa, Semenanjung Malaysia (Piawaian Perancangan
JPBD 4/2000), dengan peruntukan tempat dan penyediaan ruang ibadat bukan
Islam hendaklah ditepati dan dipenuhi, berdasarkan kepada prinsip
Perancangan Tempat Ibadat Bukan Islam, Lokasi Perletakan, Nisbah
Kepadatan dan sebagainya, seperti yang telah dipersetujui.
105. Akan
tetapi, sehingga sekarang, pihak perancang bandar dan para pemaju telah
mengabaikan peruntukan garis panduan tersebut. Banyak golongan agama
tidak diberi petempatan yang sesuai untuk sembahyang. Oleh itu,
penguatkuasaan yang tegas perlu dijalankan agar pemaju perumahan dan
agensi berkaitan membuat perancangan dan pemajuan mengikut ketetapan,
dan merizabkan tapak ibadat bukan Islam di kawasan pemajuan baru.
106. Pada
masa yang sama, memandangkan juga segala hasil pendapatan negara adalah
usaha sama dan sumbangan cukai rakyat Malaysia yang berbilang budaya dan
agama, peruntukan kewangan daripada Kerajaan hendaklah diberi secara
adil dan saksama untuk pembinaan dan penyelenggaraan tempat-tempat
ibadat semua agama utama di negara kita. Pengagihan peruntukan
sekurang-kurangnya hendaklah selaras dengan nisbah kaum.
107. Semasa
pengisytiharan Rukun Negara pada Hari Merdeka tahun 1970 oleh SPB Yang
Di-Pertuan Agong ke-4, salah satu prinsip yang ditegaskan ialah “Islam
is the official religion of the Federation. Other religions and beliefs
may be practiced in peace and harmony and there shall be no
discrimination against any citizen on the ground of religion.”
108. Dengan
itu, penyediaan ruang dan tempat beribadat serta pemberian peruntukan
kepada semua golongan agama hendaklah dilaksanakan oleh Kerajaan tanah
air ini.
(12) PEMBATALAN
DAFTAR GEREJA OLEH PENDAFTAR PERTUBUHAN (REGISTRAR OF SOCIETIES, ROS)
109. Suatu
pertubuhan yang mendaftar dengan ROS adalah tertakluk kepada Akta
Pertubuhan 1966. Namun, kita mesti sedar bahawa pertubuhan dibolehkan
tidak perlu menggunakan undang-undang dan peraturan tertentu yang tidak
sesuai.
110. Masalah
yang dihadapi oleh para gereja dan pertubuhan agama hari ini: Terdapat
aduan bahawa ROS boleh membatalkan pendaftaran sesebuah gereja atau
pertubuhan agama tanpa memberi peluang kepada kononnya yang bersalah
untuk penjelasan atau mengesahkan permasalahannya.
111. Sebuah
gereja, yang bermaksud menjaga kesejahteraan jiwa manusia, telah
dibatalkan pendaftaran baru-baru ini atas sebab-sebab, seperti
1.
Kekeliruan dalam keahliannya
2. Tidak mempamerkan notis mesyuarat-mesyuarat umumnya
3. Menerima keahlian pelajar-pelajar kolej tanpa kebenaran Naib
Canselornya
112. Cadangan:
Pegawai ROS harus meneliti dan berhati-hati (discreetly) apabila ingin
membatalkan pendaftaran sesuatu pertubuhan, terutamanya organisasi
agama.
113. Pertubuhan
berkenaan sepatutnya diberi peluang untuk mengenali masalah dan
memperbaikinya, kerana tiada sesiapa yang sempurna.
114. Dalam
kes yang melibatkan organisasi agama, ROS sepatutnya membuat rundingan
yang sesuai bersama dengan ketua agama berkenaan sebelum mengambil
sebarang tindakan. Dalam kes gereja yang dibatalkan pendaftarannya
kerana aduan daripada orang bukan ahli gereja. Sepatutnya tidak ada
tindakan harus diambil terhadap pertubuhan itu kecuali aduannya dibuat
oleh ahli-ahli pertubuhan itu.
(13) GARIS
PANDUAN TATACARA MEMBACA DOA & PENUBUHAN JABATAN KEMAJUAN AGAMA
115. Kemerdekaan
negara kita adalah hasil perjuangan bersama semua kaum yang berpegang
pada prinsip perpaduan, permuafakatan dan persefahaman. Segala usaha
Kerajaan untuk memperkenalkan peraturan atau dasar baru dalam aspek
pembangunan masyarakat serta pembinaan insan yang bermoral dan berakhlak
mulia, perlulah mematuhi peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan agar
menghormati kebebasan hak beragama kaum masing-masing, di samping
memahami kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
116. Kerajaan
perlu mendorong dialog yang sihat antara penganut agama, serta prihatin
tentang sensitiviti agama khususnya dalam kalangan para pegawai
pelaksana. Isu agama boleh menjadi positif dan juga negatif, justeru
perlu menonjolkan persamaan nilai yang universal antara agama.
117. Baru-baru
ini, saya mendapati bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
sedang menyediakan Garis Panduan Tatacara Membaca Doa untuk seluruh
negara. Saya difahamkan oleh pegawai JAKIM bahawa garis panduan tersebut
adalah dijadikan panduan dan digunapakai oleh semua orang, agensi
Kerajaan dan swasta di majlis-majlis rasmi dan separuh rasmi.
118. Kerja-kerja
penyediaan garis panduan itu dilakukan tanpa konsultasi, rujukan atau
rundingan dengan wakil agama-agama lain, termasuklah pemimpin-pemimpin
Malaysian Consultative Council for Buddhism, Christianity, Hinduism and
Sikhism.
119. Cara ini
bercanggah dengan prinsip-prinsip penghormatan, persefahaman,
permuafakatan, ketelusan yang digalakkan oleh Kerajaan dan pemimpin
negara untuk dipraktiskan khususnya oleh pegawai-pegawai sektor awam.
120. Perkara
ini hendaklah berlandaskan persefahaman antara agama dan dihalusi segera
oleh Kerajaan demi mempertahankan status negara kita yang kaya dengan
kepelbagaian bangsa, agama dan budaya hidup yang dihormati oleh dunia
sejagat.
121. Lanjutan
daripada itu, sebagai langkah pengiktirafan kepada agama-agama lain,
mematuhi prinsip kebebasan hak beragama mengikut Perlembagaan
Persekutuan, maka pelan tindakan pragmatik menggalak dan memupuk
persefahaman serta hubungan harmoni rakyat berbilang agama perlu bermula
dari sektor awam. Dengan itu, mungkin sudah tiba masanya untuk saya
mencadangkan kepada Kerajaan agar ditubuhkan Jabatan Kemajuan
Agama-agama di Malaysia (JAKAM).
122. JAKIM
selama ini telah berjaya mengurus dan mengendalikan hal ehwal Islam
dengan baik (lebih kurang 60% daripada jumlah penduduk yang beragama
Islam). Hal ehwal kerohanian bagi lebih kurang 40% penduduk negara ini
yang bukan beragama Islam perlu dititikberatkan dan dipelihara. Mereka
merupakan sumber manusia yang amat signifikan dan tak ternilai untuk
pembangunan negara juga, di samping mereka juga merupakan penyumbang
utama kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial negara ini. Maka,
Jabatan Kemajuan Agama-agama lain di Malaysia (JAKAM) hendaklah juga
ditubuhkan dan bertanggungjawab serta berfungsi mengikut rujukan bidang
kuasa (term of reference) seperti JAKIM untuk agama-agama bukan Islam.
123. Bagi mengurus hal ehwal yang ada hubung kait antara agama, JAKAM
dan JAKIM boleh sentiasa duduk semeja, di bawah satu bumbung, berganding
bahu untuk menyelia dan mengendali perkara-perkara yang perlu.
KESIMPULAN
124. Biarpun
apa jua usaha dan dasar Kerajaan, pihak-pihak yang terlibat dalam sistem
pelaksanaan terutamanya kakitangan Kerajaan mestilah penuh yakin dengan
Kerajaan dan melaksanakan tugas mereka dengan gigh, cekap, beramanah
tanpa diskriminasi supaya matlamat pembangunan dapat terlaksana.
125. Semoga
dengan usaha, ikhlas dan jujur serta kerjasama daripada semua lapisan
masyarakat, dapatlah melahirkan masyarakat majmuk Malaysia yang bersatu,
di samping berkeyakinan, bermoral, beretika tinggi. Secara tuntasnya,
diharapkan rakyat Malaysia dapat hidup dalam suasana liberal, demokratik,
penyayang dan harmoni. Matlamat ini hanya dapat direalisasikan melalui
pengukuhan dan penghayatan terhadap identiti kebangsaan, perwujudan
integrasi nasional, pembangunan sumber manusia dan masyarakat berbudaya
tinggi.
126. Saya
percaya, Kerajaan yang jujur, prihatin dan mengutamakan kepentingan
rakyat di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, akan
terus berusaha mewujudkan persekitaran yang kondusif, membolehkan rakyat
menjadi warganegara yang berpengetahuan, beretika, bertanggungjawab dan
berkebolehan bagi mencapai taraf hidup yang lebih baik serta memenuhi
kehendak-kehendak dan aspirasi negara selaras dengan prinsip-prinsip
Rukun Negara.
127. Saya
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan yang mulia ini dan
sekali lagi ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua kerana diberi
peluang untuk menyokong usul menjunjung kasih Titah Ucapan Seri Paduka
Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
“Perigi
jarang mencari timba,
Pijat bersarang merata tempat;
Rakyat jelata kebanggaan negara,
Kegemilangan harapan seluruh rakyat”
“Hajat sudah
saya sampaikan,
Harapan kini menumpahi kerajaan;
Sama-sama kita usahakan,
Hajat tertunai menuju kegemilangan.”
128. Dengan
pantun ini, saya mohon menyokong usul yang dicadangkan oleh Yang
Berhormat bagi Kuala Pilah.
Sekian,
terima kasih.
Mca Official
Website 17 Macrch 2006 |