|
USUL dicadangkan oleh LOH SENG KOK, AHLI DEWAN RAKYAT
KAWASAN KELANA JAYA sempena MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KETIGA, PARLIMEN
KE-11, TAHUN 2006 (21 Ogos 2007 - 13 Disember 2007)
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PR-1133-U5643
Loh Seng Kok (Kelana Jaya) akan
mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini melahirkan rasa penuh keyakinan dan
pengiktirafan ke atas prestasi baik yang ditunjukkan oleh Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), iaitu satu jabatan yang telah
ditubuhkan untuk mengurus hal ehwal agama Islam, sebagai agama
persekutuan, sepertimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,
menangani pelbagai masalah dan cabaran memajukan agama Islam di negara
kita, termasuklah menangani ajaran sesat dan soal-soal akidah yang
berkaitan;
Bahawa Dewan ini menyedari hakikat bahawa agama-agama
yang dianuti oleh kira-kira 40% rakyat Malaysia yang bukan beragama
Islam juga menghadapi pelbagai cabaran yang bersangkut-paut dengan
pemupukan akidah serta mengerjakan ibadat agama mereka;
Bahawa Dewan ini menerima baik pembelaan Kerajaan
terhadap kebajikan kerohanian rakyat tanpa mengira kepercayaan dan
agama, dan menerima hakikat bahawa kerohanian rakyat semakin tercabar
dengan ledakan teknologi maklumat yang terlalu meluap-luap, di samping
kewujudan anasir-anasir yang menjatuhkan moral dan akhlak rakyat;
Bahawa Dewan ini menyahut dan menyokong seruan YAB Dato’
Seri Perdana Menteri, bersama-sama membela rakyat dan membina rakyat
Malaysia demi memantapkan usaha pembangunan modal insan negara kita;
Maka dengan ini Dewan ini membuat resolusi agar sebuah
agensi Kerajaan ditubuhkan untuk mengurus hal ehwal agama-agama lain di
negara kita.”
|