|
HAPUS YURAN PEPERIKSAAN --
CADANGAN AHLI PARLIMEN BAGI PMR, SPM DAN STPM
Oleh AZIMI MUSTAPHA
KUALA LUMPUR
27 Jun - Beberapa Ahli Parlimen mencadangkan agar yuran peperiksaan di
sekolah kerajaan meliputi Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
dihapuskan.
Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, yuran tersebut selama ini
menjadi satu bebanan kepada ibu bapa yang berpendapatan rendah kerana
jumlahnya yang amat tinggi.
Katanya, pada masa ini, yuran untuk PMR ialah sekitar RM20, SPM (RM126
hingga RM141) manakala STPM (RM205 hingga RM220).
‘‘Bayangkan jumlah yang perlu dikeluarkan oleh ibu bapa jika mereka
mempunyai dua atau tiga anak yang menduduki peperiksaan tersebut pada
satu-satu masa.
“Sudah tiba masanya, kerajaan memutuskan supaya yuran berkenaan
dihapuskan. Saya percaya, kerajaan tidak akan muflis hanya kerana
menghapuskan yuran peperiksaan,” katanya ketika membahaskan Rang
Undang-Undang Majlis Peperiksaan Malaysia (Pindaan) 2005 di Dewan
Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, jika ini dapat dilakukan, ia merupakan satu ‘hadiah
istimewa’ daripada kerajaan kepada rakyat bawahan terutama di kawasan
luar bandar.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Mahadzir Khir pula berkata, sebagai
wakil rakyat, beliau amat memahami keadaan orang kampung setiap kali
tiba musim peperiksaan.
“Saya selalu didatangi oleh rakyat yang datang semata-mata ingin meminta
bantuan kewangan bagi menjelaskan yuran peperiksaan berkenaan.
“Oleh itu, saya menggesa kerajaan agar segera menghapuskan yuran
tersebut bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat,” katanya.
Loh Seng Kok (BN-Kelana Jaya) berkata, beliau menyokong cadangan
tersebut memandangkan ekonomi negara ini berada dalam keadaan yang baik.
“Saya fikir kos peperiksaan dapat ditampung,” katanya.
Utusan 27
Jun 2007
|